Hanya Lelaki - Pengakuan Duda
Isterikan pertama minta cerai...............Isteri kedua lari
Perkahwinan pertamaku adalah dengan teman wanitaku semasa menuntut di universiti. Aku sesungguhnya bahagia dengan pilihan hidupku. Daripada seorang cahaya mata, kami telah dikurniakan dengan empat orang anak. Aku bersyukur dengan kurniaan Tuhan ini. Awal dulu aku ketawa apabila mendapat tahu ada teman-teman yang memasang niat untuk berkahwin dua, namun akhirnya aku pula terjerat dalam dilema yang sama. Secara tidak sengaja, pertemuan dengan seorang rakan bisnes telah menemukan aku dengan Wati. Pada mulanya, aku dan Wati hanya rakan niaga. Tapi dari hari ke hari, perkenalan tersebut telah membuahkan bibit-bibit cinta. Aku sebenarnya tidak menyangka ia akan berlaku.Ini kerana aku dan Wati hanya berhubungan melalui telefon saja dan dia sendiri juga tahu aku sudah pun berkeluarga. Tapi entah kenapa hubungan kami semakin mesradan cinta itu akhirnya berputik jua. Sungguh pun aku tahu perasaan itu salah tapi kerana mengikut hati, segalanya ku tolak ke tepi. Pernah juga aku cuba untuk mengakhiri perhubungan kerana rasa bersalah terhadap isteri tapi aku tidak berjaya. Nafsu mengawal segalanya. Saat itu jika tidak mendengar suara Wati, aku jadi tidak keruan. Akhirnya, aku mengambil kata putus untuk menikah dengan Wati. Aku sayangkan isteri pertamaku Kay dan aku tidak sanggup kehilangannya. Dalam masa yang sama, aku juga sayang Wati. Aku juga tidak mahu melepaskannya. Tanpa kebenaran Kay, aku dan Wati selamat dinikahkan di Thailand.Kerap berbohongBetapa bahagianya hatiku setelah memperisterikan Wati. Aku menjaga rahsia perkahwinan kedua ini dengan baik sekali. Aku dan Wati hanya berjumpa bila ada kelapangan masa saja hingga menyebabkan Kay tidak pernah mengesyaki apa-apa. Tapi aku kerap kali membohongi Kay demi bertemu dengan isteri mudaku. Alasannya bertugas keluar daerah dan ternyata Kay mempercayainya tanpa rasa curiga.Yalah, sudah 15 tahun kami berkahwin. Apa lagi yang hendak dia risau. Begitulah kehidupan alam rumah tanggaku selama setahun. Bagaimanapun masalah mula melanda apabila Wati mula hamil. Aku gembira dengan perkara tersebut tetapi Wati pula sebaliknya. Entah apa sebabnya, Wati mahukan perhatian yang lebih daripadaku. Tanpa pengetahuanku, Wati mula berani untuk bertemu dengan Kay dan mula berkawan dengan isteri pertamaku tanpa memperkenalkan dirinya. Kay yang tidak pernah mengesyaki sebarang masalah mula menerima kehadiran Wati sebagai kawannya.Sesungguhnya aku tidak mengetahui apa motif Wati. Sejak berkawan dengan Kay sedikit demi sedikit dia meracun fikirannya. Dia meminta Kay agar mengawasi aku. Mungkin sebab terpengaruh dengan katakata Wati, perubahan mula ku lihat dalam diri Kay. Setiap kali aku keluar, Kay akan bertanya berbagai soalan. Lebih teruk lagi, Kay mula mengambil telefonku untuk membaca SMS. Aku kini perlu berhati-hati dengan segala apa yang kulakukan. Aku yang tahu tindakan Wati pernah memarahinya tapi dia tidak mengakui akan perbuatannya.Pada suatu hari, tanpa kusedari, sewaktu aku ke rumah Wati, Kay telah mengekoriku. Kemarahannya tidak dapat dibendung bila mengetahui bahawa Wati adalah isteri keduaku. Katanya tiada maaf bagimu. Terkedu aku mendengar kata-kata Kay itu. Bertambah terkejut apabila dia memfailkan perceraian. Aku tidak mahu berpisah dengan Kay. Aku mencintai dirinya dan aku sanggup bersumpah untuk menceraikan Wati sebaik sahaja dia selamat melahirkan anak. Mendengar pengakuan aku, Kay menjadi bertambah marah. Dia tidak dapat menerima alasanku itu. Dia tetap mahu bercerai. Aku jadi tidak keruan apabila Wati yang tahu dirinya akan diceraikan bertindak keluar dari rumah. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah hidupku. Aku kehilangan Kay manakala Wati pula meninggalkanku. Jika inilah keseronokan yang diperoleh apabila beristeri dua, sudah pasti aku tidak mahu menurut nafsu. Apa yang pasti, akibat nafsu aku menjadi duda dengan sekelip mata.
Selanjutnya di dalam majalah MINGGUAN WANITA minggu ini!