flashvortex

Showing posts with label Us. Kamarulfauzi Esa - Panitia Pend. Islam. Show all posts
Showing posts with label Us. Kamarulfauzi Esa - Panitia Pend. Islam. Show all posts

Friday, October 2, 2009

SINAR ISLAM

Objektif hidup berlandas keredaan Allah
Oleh DR. SAODAH ABDUL RAHMAN

KEPINCANGAN dalam dunia Islam masa kini mempunyai kaitan dengan kelemahan umat mengendalikan urusan hidup mereka. Falsafah atau konsep hidup umat Islam jika tidak dilandaskan kepada keredaan Ilahi boleh menyebabkan umat menjadi lemah dan mudah terperangkap ke dalam kancah kemusnahan. Perselisihan sesama umat Islam dalam arena politik jelas menunjukkan bahwa konsep persaudaraan dalam Islam semakin terhakis dalam sanubari umat masa kini.

Apabila suasana begini wujud maka umat Islam lebih mengutamakan kepentingan diri daripada menumpukan perhatian kepada pembinaan umat dan agama Islam. Suasana begini wujud disebabkan objektif hidup umat Islam sudah terpesong daripada garis panduan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Islam mengajar umatnya supaya memahami konsep hidup di dunia ini dan melatih umat Islam supaya berfikir, berbicara dan bertindak demi mempertahankan agama dan masyarakat bukan untuk kepentingan diri sehingga terlupa bahawa setiap gerak-geri dan bisikan hati berada dalam perhatian Allah. Individu-individu Islam yang tidak menjuruskan objektif hidup berlandaskan keredaan Allah adalah orang yang tidak mempunyai personaliti yang mantap.

Mereka sering menonjolkan kepelbagaian personaliti kerana fikiran dan bisikan hati mereka berasaskan kepada kepentingan diri yang berunsurkan material dan kedudukan. Mereka tidak mempunyai kewibawaan diri dan mudah dipengaruhi oleh kenikmatan hidup di dunia sehingga sanggup menggadai maruah agama dan bangsa. Suasana begini merupakan fenomena kehidupan umat Islam masa kini. Setiap umat Islam sepatutnya mempersoalkan diri mereka tentang matlamat, peranan dan destinasi hidup mereka di dunia ini.

Apabila persoalan begini sering berlegar dalam pemikiran mereka maka setiap bisikan hati, daya pemikiran dan pergerakan mereka adalah terkawal. Mereka mampu berfikir secara lebih rasional dan bijaksana dalam tindakan demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Oleh itu, Allah SWT sering menyeru manusia terutamanya umat Islam supaya merenung, berfikir, bersabar dan menyerah diri kepada-Nya dalam kehidupan di dunia ini. Umat Islam yang sentiasa menyerahkan diri kepada Allah sanggup mengorbankan kepentingan diri demi agama dan negara. Setiap kegiatan mereka berasaskan kepada niat dan hasrat nurani yang murni. Apabila hati nurani bersih dan daya pemikiran tertumpu kepada keredaan Ilahi maka setiap tindakan boleh menggambarkan bahawa mereka adalah ikhlas. Sama ada dalam tugas dan tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.

Rasulullah SAW menegaskan: Setiap amalan atau pergerakan itu berasaskan kepada niat. Ia bermakna, jika niat seseorang itu bersih dan baik maka tindakan dan pergerakannya adalah bersih dan telus. Setiap kegiatan dalam kehidupan sama ada berkaitan dengan keperluan diri atau masyarakat perlu berdasarkan kepada keredaan Ilahi. Jika umat Islam tidak membatasi pergerakan mereka dalam kegiatan berkaitan dengan keperluan diri, maka mereka akan menjadi rakus apabila mendapat peluang tersebut.

Sikap tamak dan rakus tidak dapat dikawal jika niat dan objektif hidup hanya tertumpu kepada kemewahan dan kepentingan hidup di dunia sahaja. Individu sebegini jika melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan dan kenegaraan, tidak akan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara sempurna kerana mereka beranggapan jawatan yang disandang merupakan punca rezeki yang boleh memperkayakan diri. Oleh itu sistem pentadbiran dan kepimpinan menjadi lemah kerana niat dan objektif mereka tersasar daripada konsep dan falsafah kehidupan sebagai hamba Allah yang memegang amanah masyarakat dan negara.
Jika arena politik dianggap sebagai satu cara untuk mendapat kuasa, kedudukan dan kekayaan, maka umat Islam yang tidak memahami konsep dan falsafah hidup berlandaskan keredaan Ilahi ini akan 'berjuang' tanpa memikirkan kepentingan agama dan bangsa. Kepuasan dan keseronokan dalam pertarungan politik sesama umat Islam menjadikan mereka buta memahami konsep "kemenangan" sebenar. Dalam hal ini, kita perlu fahami ungkapan yang "menang menjadi arang dan kalah menjadi abu."

Umat sepatutnya memahami bahwa kehancuran negara-negara Islam berpunca daripada perselisihan politik sehingga mengheret kuasa asing mencampuri hal ehwal dalaman negara. Sehubungan itu, umat Islam di negara ini sepatutnya mengambil iktibar daripada negara Islam lain. Kemenangan dalam pertarungan politik kadangkala tidak boleh dianggap sebagai 'kemenangan'. Mungkin kejayaan itu merupakan satu ujian. Kegagalan dalam perjuangan politik pula mesti dianggap sebagai satu pengajaran. Ia penting supaya setiap ahli politik bermuhasabah tentang kelemahan diri bagi menyediakan diri dengan strategi yang lebih kukuh dan memperbaiki matlamat atau objektif perjuangan berlandaskan keredaan Ilahi.

Wednesday, September 30, 2009

SINAR ISLAM

Jangan terperangkap akibat kejahilan

DALAM sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda, Barangsiapa yang mengada-adakan yakni membuat-buat sesuatu dalam urusan agama kita yang tidak terdapat ajarannya dalam agama, maka hal itu wajiblah ditolak (yakni tidak boleh diterima atau ditiru).

Hadis tersebut memperingatkan umat Islam supaya jangan mudah terpedaya dengan bidaah yang menyimpang daripada ajaran agama Islam. Tetapi malangnya sehingga ke hari ini masih ada umat Islam terutamanya orang Melayu begitu mudah terpengaruh dengan ajaran yang bertentangan dengan agama Islam.

Anehnya, ada amalan dalam ajaran itu yang sah-sah tidak masuk akal, termasuklah solat boleh ditunaikan dengan niat sahaja atau tidak perlu ke Mekah untuk menunaikan haji. Walaupun ia tidak logik tetapi disebabkan pelaksanaannya mudah, maka ramailah umat Islam yang terpengaruh. Mereka sudah tidak mahu lagi memikirkan sama ada ajaran atau suruhan yang diperkenalkan itu betul atau tidak. Akibat daripada kejahilan ini, maka muncullah individu yang boleh dianggap sebagai 'makhluk perosak' kepada kesejahteraan umat Islam, apabila mengaku dirinya nabi dan sebagainya.

Walaupun dakwaan seumpama itu boleh dianggap dilakukan oleh orang yang tidak waras sahaja tetapi masih ada juga umat Islam yang terpengaruh. Keadaan ini sudah tentulah menimbulkan kehairanan kepada kita apatah lagi kalau yang terpengaruh tersebut terdiri daripada mereka yang berpelajaran tinggi. Mungkin ia berlaku kerana ilmu agama mereka terlalu tipis atau mungkin juga dalam keghairahan untuk mencari ilmu itu mereka tidak mengkaji terlebih dahulu kebenaran. Apa pun mereka tidak seharusnya menjadi orang yang bodoh kerana di dalam Islam sudah terdapat tunjuk ajar dan pedoman agar bagi mengelakkan kita terjerumus dalam ajaran yang menyeleweng daripada Islam.

Rasullullah SAW bersabda:Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah kitab Allah (al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk iaitu petunjuk Nabi Muhammad SAW dan seburuk-buruk perkara (ibadat) iaitu yang diada-adakan dan setiap bidaah (perkara baru yang menyalahi al-Quran dan sunnah Nabi) adalah sesat.

Wednesday, September 23, 2009

SYIAR SYAWAL

RAMADAN 1430H/2009M telah pun pergi meninggalkan kita. Kedatangannya kita sambut dengan penuh syukur dan gembira, tetapi pemergiannya tiada siapa yang dapat menghalangnya. Berbahagia mereka yang telah meraikan tetamu agung ini dengan sempurna dan malang sekali bagi mereka yang telah mengabaikan dan gagal menunaikan hak-haknya. Kini kita berada di hari-hari awal bulan Syawal yang begitu selari dengan kemenangan umat Islam menentang hawa nafsunya sendiri lantas kembali kepada fitrah murni acuan Ilahi. Semoga kemeriahan sambutan berpanjangan Aidilfitri seperti yang telah menjadi suatu tradisi dalam masyarakat kita tidak sampai memadam kesan positif madrasah Ramadan pada diri kita. Ada diriwayatkan bahawa sesetengah para Salaf al-Soleh akan terus mengenang Ramadan yang lepas selama enam bulan bersama doa, agar amalan mereka diterima manakala buat enam bulan seterusnya mereka berdoa dan berharap agar dipertemukan dengan Ramadan yang mendatang.

Mengambil semangat itu, pada minggu awal Syawal ini, ruangan ini ingin memetik beberapa peringatan tentang natijah Ramadan yang telah disentuh oleh salah seorang tokoh ulama dan pendakwah unggul mutakhir ini, Sheikh al-Habib Umar Hafiz dari Yaman, dalam ucapan sempena Syawal yang disampaikan olehnya beberapa tahun yang lepas.

Dalam ucapannya beliau menegaskan dua faedah utama yang sepatutnya diraih daripada bulan Ramadan iaitu:

1. Mengambil Kekuatan Daripada Sumber Utama
Kita sentiasa memerlukan kekuatan untuk menghadapi cabaran hidup. Umat Islam sebagai umat pilihan dan umat risalah sentiasa berada dalam keadaan tercabar yang memerlukan unsur kekuatan. Ramadan mengingatkan kita dan melatih secara amali agar sentiasa mengambil kekuatan daripada sumbernya yang utama iaitu Allah SWT. Usaha kita menerusi puasa dan qiam di bulan Ramadan, mengeluarkan sedekah fitrah dan segala ibadah yang lain semuanya merupakan perkara yang menghubungkan kita dengan Tuhan Maha Pencipta SWT. Ramadan mengajar kita untuk tidak menjadi enemy-centric, terlalu tertumpu kepada musuh dan ehwal mereka, tetapi menumpukan kepada sumber kekuatan kita sendiri di mana perkara yang teratas dalam senarai itu adalah hubungan kita dengan Tuhan. Kita tidak boleh hanya berterusan memperkatakan tentang kekuatan orang kafir serta segala fenomena kezaliman, penindasan dan permusuhan daripada segenap sudut, jauh dan dekat. Semua perkara ini tidak sepatutnya membantutkan usaha dan cita-cita utama kita. Juga tidak boleh menjadi penghalang kita ke arah perlaksanaan proses pemulihan dan kebangkitan yang sebenar di atas landasan yang sahih. Ini hanya dapat dilakukan menerusi keprihatinan kita terhadap sifat-sifat yang terdapat di dalam diri kita dan istiqamah dengan amalan diredai oleh Allah SWT. Dengan pendekatan inilah, kita dapat menyingkatkan jarak dan tempoh perjuangan. Usia kita yang merupakan sebaik-baik bekalan dalam perjuangan mungkin akan lenyap begitu sahaja sekiranya kita hanya sibuk beranalisis dan membahaskan realiti. Terlalu tertumpu kepada idea, cadangan dan analisis dan membesarkan sesuatu peristiwa dalam kehidupan dan alam ini boleh melekakan daripada menyedari hakikat keyakinan kepada kekuasaan Allah SWT lalu bergegas menuju dan bergantung kepada-Nya. Maka jadilah seperti apa yang terjadi hari ini. Kita dapati berapa ramai daripada kita - orang Islam - yang alpa daripada kewajipan mereka dalam usaha menguatkan hubungan ini dengan kekuatan yang sebenar, Allah SWT. Mereka lalai tentang hubungan dengan Allah SWT termasuk dengan mengambil mudah perkara-perkara fardu, terjebak dengan segala yang haram, mengabaikan wanita dan keluarga sehingga mereka terjatuh ke lembah kemungkaran dan melanggar syarak yang mulia. Tanpa mereka sedari mereka sebenarnya telah pun terkeluar daripada manhaj Rasulullah SAW dalam urusan kekuatan dan kebangkitan Ummah. Sedangkan Allah SWT dengan jelas menggariskan dua rukun kebangkitan termasuk dalam firmannya yang bermaksud, dan Allah SWT menjanjikan bagi mereka yang beriman di kalangan kamu dan beramal soleh bahawa akan menjadi khalifah di muka bumi. (al-Nur:55) Keprihatinan terhadap amalan dan aspek amali agama akan mendirikan rukun kedua kebangkitan ummah dalam kehidupan selain rukun pertama iaitu keimanan. Berbekalkan fahaman ini, agenda menyucikan hati daripada hasad di antara ahli keluarga, jiran dan kawasan kediaman dan masyarakat seluruhnya menjadi suatu agenda yang besar dan strategik. Menjauhi hasad dan apa yang berkaitan dengannya seperti dengki, takbur, ujub, buruk sangka, atau perkataan yang sia-sia turut naik nilainya menjadi agenda utama dan arus perdana. Bukankah pada hakikatnya, perkara ini begitu banyak berlaku dalam kehidupan kita sedangkan ia adalah antara perkara-perkara yang melemahkan iman.

2. Menjauhi Punca-punca Kekalahan
Menjauhkan diri daripada sebab-sebab yang mengundang kekalahan bererti menjauhkan diri daripada perkara-perkara haram yang telah ditentukan Allah SWT mengikut sunnah Ilahi akan membawa kepada kelemahan dan kekalahan. Antara faktor-faktor kekalahan ialah hati-hati yang saling bercanggah dan berselisihan akibat jarum suntikan syaitan ke dalam hati manusia melalui perkara-perkara yang berkaitan dengan perbezaan mazhab, pandangan, ideologi antara orang Islam atau perkara yang melibatkan assabiah. Selain itu, ketidakfahaman terhadap permasalahan mazhab-mazhab muktabar dalam syariat dan sesungguhnya, perbezaan ini merupakan daripada sumber yang satu. Dan ia telah diterjemahkan daripada luasnya syariat ini oleh ahli-ahlinya yang berhubung dengan sumber yang satu. Dan ketika lenyapnya kesedaran dan kefahaman ini, ia akan diganti dengan kelemahan pandangan, kemudian akan muncul pula dakwaan yang akan dinisbahkan kepada ahli-ahli mazhab, pandangan dan pengikut mereka oleh golongan yang memusuhi mereka. Semua faktor ini merupakan antara faktor-faktor penyumbang kepada perselisihan dan perbalahan yang akan menjauhkan kemenangan daripada umat Islam. Allah berfirman yang maksudnya, dan janganlah kamu berselisih yang menyebabkan kamu gagal lalu hilanglah kehebatan kamu (al-Anfal: 46) Semuanya ini akan menambah lagi musibah dan peristiwa pahit yang berlaku ke atas umat Islam sebagaimana yang mereka keluhkan. Maka, bagaimana boleh menjadi ubat dan penawar sedangkan dalam masa yang sama kita hanya sibuk dengan bercakap banyak, asyik menganalisis, alpa daripada sifat dan amal-amal soleh. Demikian juga, perbezaan itu merupakan antara faktor penyumbang kepada kekalahan umat Islam, iaitu perbezaan dalam permasalahan far'iyyat dan juz'iyyat (cabangan dan pecahan) sehinggakan seolah-olah ia adalah permasalahan pokok (usul) dalam agama. Ia juga makin menyemarakkan lagi api permusuhan dalam kalangan umat Islam yang memerlukan ruang yang lebih besar untuk dibahaskan secara tuntas. Peringatan al-Habib Umar dalam ucapannya ini mengajak kita melihat Ramadan dalam perspektif yang lebih besar. Ramadan bukan hanya urusan ibadah khusus tetapi merupakan kunci kepada kekuatan dan kebangkitan ummah dalam menuntut kedudukannya yang hakiki.

Friday, September 18, 2009

TAZKIRAH RAMADHAN SIRI 28

Menilai kualiti puasa

Ibadah puasa dinyatakan oleh sebuah hadis sebagai satu-satunya pemberian anak Adam kepada Tuhannya sementara amalan lain adalah untuk diri anak Adam itu. Sekalipun puasa merupakan pemberian kepada Allah SWT, ia tetap dikurniai balasan baik ketika di akhirat nanti. Maka, lega dan gembiralah di kalangan mereka yang dapat menyempurnakannya dengan baik pada Ramadan lalu.
Dalam dimensi ini, puasa adalah tanda keimanan seorang hamba terhadap Tuhannya. Apabila ia berpuasa, bermakna ia menjaga hubungan antara hamba dengan Tuhannya. Dengan peringkat-peringkat puasa yang menjadi tanda aras kepada mutu puasa seseorang sama ada sekadar puasa umum, khawwas ataupun khawasil khawwas, maka ia juga menentukan di peringkat mana eratnya jalinan hubungan tersebut. Amat wajar kalau setiap individu Muslim membuat penilaian terhadap kualiti dan peringkat puasa yang telah dijalaninya itu, supaya ia menjadi pemangkin agar individu terbabit lebih bersedia untuk menyambut Ramadan akan datang untuk diisi dengan pengisian-pengisian yang lebih baik dan salih.

Puasa yang berkualiti adalah dengan memeliharanya daripada sebarang perkara yang boleh menghilangkan pahala puasa. Apabila Rasulullah SAW menyatakan bahawa antara sebab yang boleh mengakibatkan pahala puasa terhapus adalah bilamana seseorang itu melakukan pembohongan, mengumpat, mengadu domba, dan membuat sumpah palsu, menunjukkan bahawa puasa memerlukan individu Muslim yang melakukan ibadah tersebut perlu menjaga hubungannya sesama manusia.

Setelah hampir berakhirnya puasa dan menjelang Aidilfitri, perlunya kita bermuhasabah serta menilai sama ada kita masih menjaga tutur kata dan beradab ketika berkomunikasi dengan orang lain. Seterusnya menilai, sama ada kita juga masih berterusan menjaga maruah dan nama baik saudara seagama tanpa mengira ia berada di sisi kita atau di belakang kita. Bukan sahaja dengan memelihara dan mencegah pahala puasa daripada berkurang atau terhapus, melalui hubungan sesama manusia juga pahala boleh diusahakan dan diraih. Dalam hal ini amat banyak hadis yang menyarankan supaya pemberian dan sedekah dibuat kerana ia dapat meningkatkan lagi pahala puasa. Antaranya ingatan daripada Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud bahawa harta tidak akan berkurangan disebabkan sedekah malah pemberi sedekah akan dikurniai ketinggian darjat dan kemuliaan.

Pada bulan Ramadan kita banyak menyaksikan golongan yang memerlukan seperti fakir miskin dan anak yatim menerima layanan yang istimewa dan hampir setiap hari mereka diraikan.
Walaupun demikian, adakah kita mula meninjau di mana mereka berada pada hari ini? Adakah sama seperti sebelum ketibaan Ramadan, kembali dalam keadaan yang terpinggir kerana tangan kita telah berhenti untuk menghulur bantuan dan kebaikan?

Amatlah malang bagi mereka yang berkesungguhan menjaga pemakanannya ketika berpuasa, tetapi terus mengabaikannya bila Ramadan melabuhkan tirainya. Secara ringkasnya selepas berlalunya Ramadan, persoalan yang wajar ditanyakan oleh setiap individu Muslim kepada dirinya sendiri adalah, sama ada puasa yang baru berlalu telah berjaya melaksanakan peranannya dalam membentuk diri sebagai insan yang memiliki istiqamah dalam melakukan sebarang tindakan baik serta memelihara dirinya daripada sebarang keburukan. Juga sama ada hubungan antara hamba dengan Penciptanya dapat dijaga secara berterusan, begitu juga dalam soal hubungan sesama manusia yang tidak membenarkan persengketaan berlaku, malah amat dianjurkan penyatuan dan berkasih sayang melalui pelbagai medium yang terkandung dalam agama Islam, serta sejauh mana pelaksanaan tanggungjawab terhadap diri sendiri dapat dikekal dan diteruskan.

Thursday, September 17, 2009

TAZKIRAH RAMADHAN SIRI 27

Jadikan Ramadan inspirasi Syawal

RAMADAN terbukti berfungsi sebagai bulan tarbiyah dan pelaburan kerana di dalamnya terkandung janji Allah SWT berserta gugusan pahala yang berlipat ganda sebagai anugerah buat sekalian hambanya natijah dari perlaksanaan amalan-amalan wajib dan amalan-amalan sunnah yang disyariatkan.

Rasulullah SAW bersabda, bahawa Allah SWT berfirman dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud: Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan amalan puasa tersebut. (riwayat Muslim)Allah SWT tidak pernah mengabaikan setiap perlakuan amal soleh setiap hamba-Nya meskipun hanya seberat zarah.

Firman Allah yang bermaksud: Maka sesiapa yang berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam buku amalannya). (al-Zalzalah: 7).

Demikian pula sesiapa yang melakukan kejahatan walau seberat zarah, amalannya tetap akan diperlihatkan kepadanya. Firman Allah yang bermaksud: Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam buku amalannya). (al-Zalzalah: 8)

Ramadan al-Mubarak yang berlalu sewajarnya dijadikan inspirasi dalam mempertingkatkan amalan dan menjaga produktivitinya agar mencapai tingkat istiqamah dalam membina jati diri Muslim yang cemerlang selama saki baki umur masih dibekalkan oleh Allah SWT. Syawal yang dirai merupakan proses pertama dalam menilai tingkat penghayatan seseorang sepanjang Ramadan, adakah dia mencapai objektif yang dicita-citakan memperolehi keampunan dan pembebasan dari azab api neraka pada hari kiamat? Apakah keintiman hubungan dengan Allah semakin dirasai dan bertambah kukuh? Apakah tali silaturrahim sesama Muslim terjalin erat dalam usaha mentaati perintah Allah SWT dan mencari keredaannya? Apakah segala amalan yang pernah dilakukan pada saat Ramadan mampu dipraktik untuk kesekian kalinya? Hari raya adalah satu peluang yang cukup besar dan bermakna untuk meningkatkan kualiti amalan, memulihkan hubungan sesama manusia yang merupakan tuntutan syariat Islam, berlapang dada, murah hati, ukhuwah, belas kasihan dan kasih sayang.

Daripada Aisyah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tingkatkanlah amalanmu dengan baik, atau lebih dekatlah kepada kebaikan, dan bergembiralah, kerana amalan seseorang itu tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga. Para sahabat bertanya, "Adakah amalanmu juga begitu, wahai Rasulullah"? Jawab Rasulullah SAW: "Amalanku juga begitu. Tetapi Allah melimpahiku dengan rahmat-Nya. Ketahuilah, sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah SWT ialah amalan yang dikerjakan secara berterusan walaupun sedikit". (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Wednesday, September 16, 2009

TAZKIRAH RAMADHAN SIRI 26

Menghantar Pulang Tetamu Agung

Ramadhan, tetamu agung yang setia datang berkunjung setiap tahun tetap akan pergi meninggalkan kita sedikit masa lagi. Mereka yang benar-benar menghayati dan mendapat faedah dari kedatangan Ramadhan dengan menikmati kemanisan iman dan peningkatan takwa yang datang bersamanya sudah tentu menghadapi saat-saat perpisahan ini dengan penuh kesedihan berbaur kebimbangan dan pengharapan.
Sedih mengenangkan perpisahan dengan bulan yang dikasihi ini. Bimbang adakah amalan diterima dengan tahap penghayatan yang tidak seberapa. Berharap agar dosa-dosa diampunkan, dikembalikan kepada fitrah serta berharap agar bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang.

Inilah sikap yang diriwayatkan daripada sebahagian para salaf. Mereka berdoa kepada Allah SWT selama enam bulan agar dipertemukan dengan Ramadhan. Setelah itu mereka berdoa pula selama enam bulan berikutnya agar Allah SWT menerima amalan mereka di bulan Ramadhan yang berlalu.

Semoga Allah mengurniakan kita himmah yang tinggi dalam beragama seumpama mereka. Marilah kita menghantar pulang Ramadhan kali ini hingga ke 'hujung desa'. Ibarat menjamah juadah yang paling kita gemari, janganlah kita tinggalkan Ramadhan kali ini bersisa sedikitpun.Ibarat suatu perlumbaan marathon yang kita sertai, apalah gunanya kita hebat di peringkat awal larian hanya untuk lemah-lesu ketika menuju garisan penamat. Marilah kita rebut setiap ketika yang berbaki di bulan Ramadhan kali ini dan mengisinya dengan sebaik mungkin.Sesungguhnya La hawla wala quwwata illa billah al-'Aliyyil 'Adzim yang maksudnya, "Tiada daya (menghindari maksiat) dan tiada kekuatan (melakukan ketaatan) melainkan dengan izin Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung".

Tuesday, September 15, 2009

TAZKIRAH RAMADHAN SIRI 25

Al-qadr: Jangan sibuk dengan mencari ‘tanda’

Soalan: Kita selalu mendengar tanda-tanda malam al-qadar antaranya pokok sujud pada malam tersebut dan air yang masin menjadi tawar. Adakah ini berlandaskan nas yang sahih?

Jawapan: Ini adalah pandangan orang lama-lama dan ia termasuk dalam riwayat Israeliyat. Tidak ada sumber yang jelas tentangnya. Tetapi ia masih ada sehingga hari ini kerana tanda-tanda tersebut terdapat dalam kitab-kitab jawi lama. Jadi, guru-guru agama masih menggunakannya.

Bagaimanapun, jika ada tanda-tanda tentang lailatul qadar, ia tidak boleh menggunakan akal atau logik tetapi mengikut nas. Alamat atau tanda secara langsung seperti yang dijelaskan oleh Ibn Uthaimin dalam Fatawawa Rasa'il Ibn Uthaimin antaranya:
1. Sinar cahaya sangat kuat pada malam al-qadr dibandingkan dengan malam-malam lain.
2. Bertambah kuatnya cahaya pada malam itu.
3. Ketenangan dan kelapangan hati yang dirasakan oleh orang-orang yang beriman lebih kuat daripada malam-malam yang lain.
4. Angin dalam keadaan tenang pada malam al-qadr. Tidak bertiup kencang dan tidak ada rebut petir. Ini berdasarkan hadis dari sahabat Jabir bin Abdillah sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Aku melihat lailatul qadr kemudian dilupakannya. Lailatul qadr turun pada 10 akhir (bulan Ramadan) iaitu malam yang tenang, tidak dingin dan tidak panas serta tidak hujan. (riwayat Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban)
5. Terkadang Allah memperlihatkan malam al qadr kepada seseorang dalam mimpinya. Sebagaimana yang terjadi pada diri para sahabat Nabi SAW.
6. Kenikmatan beribadat dirasakan oleh seseorang pada malam itu lebih tinggi daripada malam-malam lainnya.
7. Alamat selepas terjadi (iaitu pada pagi harinya) di antaranya, matahari terbit dalam keadaan tidak tersebar sinarnya dan tidak menyilaukan berbeza dengan hari-hari biasa. Ini berdasarkan hadis dari sahabat Ubay bin Ka’ab yang mengatakan; Sesungguhnya Rasulullah mengkhabarkan kepada kami: Sesungguhnya matahari terbit pada hari itu dalam keadaan yang tidak tersebar sinarnya. (riwayat Muslim)
8. Alamat yang menyebutkan bahawa tidak ada atau sedikit nyalakan anjing pada malam al-qadr adalah tidak benar kerana ada ditemui pada 10 malam terakhir Ramadan anjing dalam keadaan menyalak.

Soalan: Ada juga yang beranggapan jika dapat malam al-qadr maka pada bulan lain bolehlah buat maksiat. Adakah ini betul?

Jawapan: Ini silap. Apabila dapat pahala 1,000 bulan tidak bermaksud akan menafikan syariat yang lain yang dikenakan oleh Allah. Mendapat ganjaran lailatul qadr adalah keistimewaan tetapi syariat lain seperti kewajipan solat, puasa, zakat dan lain-lain masih perlu kita tunaikan.Tentang alamat tadi, tidak semestinya orang yang tidak nampak tanda-tanda malam al-qadr kita tidak mendapat malam tersebut.Menurut Imam al-Munawi dalam Fayd al-Qadir: “Barangkali seorang yang bangun pada malam al-qadr itu tidak memperolehi dari malam itu melainkan peluang beribadah dan tidak ada sebarang tanda yang dilihatnya. “Dia lebih baik dan lebih mulia di sisi Allah daripada orang yang melihat tanda-tandanya sahaja (tetapi tidak beribadat pada malam itu)”.

Wallahua'lam.
KAABAH ENGGAN BERGERAK
utk pedoman kita semua.....

26 Ogos yang lepas saya menaiki motosikal menuju ke Karak Setia untuk menyampaikan kuliah Maghrib di masjid kampung berkenaan. Kereta rosak dan bermalam di pusat servis. Sebab itu saya terpaksa naik motor walaupun langit gelap. Ketika melalui ' Karak Highway ' hujan mula turun setitis demi setitis. Saya teruskan juga perjalanan. Makin lama hujan makin lebat. Baju dan seluar saya basah. Akhirnya saya ambil keputusan untuk berpatah balik. Saya balik ke rumah dan mandi.

Walaupun tidak berjaya dalam misi dakwah pada malam itu, saya tidak mahu malam itu kosong tanpa pengisian. Saya lantas pergi ke surau berhampiran untuk mengikuti kuliah bulanan yang disampaikan oleh ulama' tersohor di negeri ini iaitu Tuan Guru Haji Mohd Baqi Osman. Ketika saya sampai di situ, tok guru dah mula kuliah. Beliau menceritakan tentang peristiwa yang bakal berlaku di akhirat kelak. Tentang syurga, tentang neraka. Para jemaah masing-masing diam, tunduk dan insaf.

Salah satu cerita menarik yang disampaikan oleh tok guru iaitu berkaitan dengan titian As Sirat. Jambatan yang merentangi neraka menuju ke syurga itu bersifat fleksibel. Ia boleh membesar, mengecil, memendek dan memanjang mengikut kumpulan yang akan melintasinya. Jika orang beriman, pastilah ia akan melebar dan memendek. Manakala bagi orang kafir, ia akan mengecil dan memanjang.

Antara yang akan turut berarak menuju ke syurga ialah kaabah. Malaikat datang membawa perintah Allah kepada kaabah yang dihias indah pada hari itu supaya bergerak menuju ke syurga. Yang menghairankan, biarpun kaabah tahu itu perintah Allah, namun ia enggan bergerak. Lalu malaikat bertanya kenapa enggan bergerak ke syurga. Kaabah menjawab bahawa ia tidak akan bergerak ke syurga melainkan jika diiringi oleh semua manusia yang pernah tawaf di sekelilingnya.

Lalu malaikat mengumpulkan semua yang pernah tawaf untuk mengiringi kaabah ke syurga. Kaabah terus mendiamkan diri tak mahu bergerak. Malaikat bertanya lagi kenapa tak mahu bergerak. Kaabah menjawab, ada lagi beberapa orang yang tidak hadir. Apabila diperiksa, rupa-rupanya orang-orang berkenaan telah dilempar ke dalam neraka kerana kesalahan yang pernah mereka lakukan di dunia. Malaikat maklumkan bahawa orang berkenaan adalah orang-orang yang berdosa dan perlu disiksa di dalam neraka. Kaabah berkata, ia tidak peduli orang itu berdosa atau tidak. Yang penting ia tidak akan bergerak ke syurga melainkan diiringi oleh semua orang yang pernah tawaf di sekelilingnya. Malaikat mengadu kepada Allah tentang hal yang berlaku.... Allah yang Maha Pengampun dan Maha Mengasihani terus mengisytiharkan bahawa orang-orang itu telah diampunkan dosa mereka.Mereka lantas di bawa keluar daripada neraka dan mengiringi kaabah menuju ke syurga.... Wallahua'lam...

Monday, September 14, 2009

TAZKIRAH RAMADHAN SIRI 24

Semangat fitrah makin kurang dihayati ketika rai Aidilfitri

RAMADAN dan Syawal datang silih berganti. Kehadiran dua bulan berkat ini sememangnya dinantikan umat Islam. Ramadan adalah bulan ujian dan Syawal membawa bersamanya perayaan Aidilfitri meraikan kejayaan umat Islam berjaya melalui ujian Ramadan. Sesuai dengan namanya, Aidilfitri adalah perayaan bagi meraikan tuntutan fitrah anugerah Allah kepada seluruh umat manusia. Fitrah makan dan minum, berkasih-sayang, menghubungkan silaturahim, mencintai keharmonian melalui tradisi bermaaf-maafan, berhias-hiasan, dan kasih-mengasihi sesama manusia tanpa mengenal darjat, taraf dan bangsa. Islam sesungguhnya adalah agama yang memelihara tuntutan fitrah manusia sehingga diwujudkan suatu hari istimewa untuk meraikannya. Menariknya, meraikan fitrah tidak akan menjejaskan kredibiliti iman seseorang, sebaliknya, meninggalkan fitrah dianggap suatu pengkhianatan besar terhadap agama.

Namun, berapa ramaikah daripada kita yang menyedari hakikat ini sedangkan inilah dia semangat fitrah yang seharusnya diketahui, dirai dan dihayati umat Islam semua lebih-lebih lagi di Aidilfitri yang mulia. Allah menegaskan bahawa 'fitrah' adalah 'ketetapan Allah yang telah ditentukan kepada umat manusia sejak awal penciptaannya. Imam al-Ghazali, Ismail Raji al-Faruqi dan Sayed Naquib al-Attas adalah kalangan sarjana Islam yang membincangkan secara terperinci berkaitan fitrah dalam karya ilmiah mereka. Secara umumnya, mereka menyimpulkan bahawa fitrah sebagai suatu potensi dalam diri manusia yang cenderung kepada nilai positif sejagat meliputi kecenderungan kepada kehidupan beragama dan nilai dipegang agama.

Perbincangan mengenai Aidilfitri, sewajarnya umat Islam merenung kembali sejauh manakah Aidilfitri diraikan dalam suasana menghayati fitrah. Pada hari ini, umat Islam bersuka-ria, bergembira, menikmati juadah enak, memakai pakaian baru, menghias kediaman, ziarah-menziarahi, bermohon maaf antara sanak saudara dan taulan, mengeluarkan zakat fitrah untuk disedekahkan kepada yang memerlukan.

Kesimpulannya, Aidilfitri adalah hari di mana nilai positif sejagat diraikan sebagai satu tuntutan agama. Sesungguhnya, Aidilfitri adalah bukti rahmat Allah kepada umat Islam. Adalah malang sekali andainya Aidilfitri semata-mata menjadi hari di mana kita membalas dendam terhadap nafsu makan dan minum yang dikekang di Ramadan yang lalu. Berpakaian baru dan menghias kediaman sekadar menunjuk-nunjuk. Ziarah-menziarahi dan bermohon maaf sekadar suatu tradisi. Zakat fitrah, sedekah raya semata-mata kerana memenuhi tanggung-jawab peribadi dan sosial. Mampukah semangat fitrah ini dihayati seandainya lebih ramai daripada kita memilih untuk duduk saja di rumah menonton rancangan menarik yang disajikan. Daripada sudut ekstrem, ada pula antara kita memilih memulakan puasa sunat seawal dua Aidilfitri sehingga menghalang budaya ziarah-menziarahi yang digalakkan di Aidilfitri.

Sunday, September 13, 2009

TAZKIRAH RAMADHAN SIRI 23

Ramadhan Bulan Turunnya Al-Quran

KITA sekarang berada pada fasa terakhir Ramadan yang mana di dalamnya terkandung malam al-qadar. Malam paling istimewa di mana mereka yang beribadat pada malam ini akan diberi ganjaran pahala 1,000 bulan atau 84 tahun.Ia sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Malam Qadar itu lebih baik daripada 1,000 bulan. (al-Qadr: 3)Dalam satu hadis Nabi SAW bersabda yang maksud-Nya: Dan sesiapa yang bangun mendirikan lailatul qadar dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa yang telah lalu. (riwayat Bukhari)

Soalan: Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran. Ramai juga yang membacanya pada bulan mulia ini tetapi tidak ramai yang mengambil iktibar daripadanya. Mengapa berlaku demikian?

Jawapan: Memang Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekelian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan di antara yang benar dan salah. (al-Baqarah: 185)Mengapa ada yang tidak mengambil iktibar daripada ayat-ayat Allah ini sebab utamanya adalah kerana kita tidak memahami al-Quran. Oleh yang demikian, kita tidak dapat menghayati pengajaran yang terkandung di dalamnya. Seterusnya, menyebabkan kita gagal menghayati dan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.Sejarah membuktikan bagaimana seorang yang digelar 'singa' seperti Saidina Omar al-Khattab yang pada zaman jahiliahnya sangat garang dan membenci Rasulullah SAW akhirnya menjadi insan yang hebat imannya selepas mendapat hidayah Allah menerusi ayat daripada surah Taha.Bagi kita yang bukan Arab, hendaklah kita berusaha mempelajari al-Quran melalui pengajian-pengajian ilmu tafsir. Ini bukanlah terlalu sukar dilakukan kerana banyak institusi di negara kita sama ada masjid, surau atau juga pusat-pusat pengajian tinggi yang menawarkan kuliah atau pengajian ilmu tafsir.Satu lagi punca berlaku begini ialah kebanyakan kita hanya mempelajari al-Quran secara tradisi. Maknanya kita mula mengaji semasa kecil dan cukup setakat khatam al-Quran sahaja. Sepatutnya pencarian ilmu itu tidak terhenti di situ. Sebaliknya, selepas belajar mengaji kita meningkatkan ilmu dengan mempelajari ilmu tajwid dan qiraat. Apabila dewasa diteruskan dengan pengajian ilmu tafsir.

Soalan: Sebagai kitab yang memberi petunjuk seharusnya sikap kita kepada al-Quran adalah sama iaitu membaca, menghayati dan mengamalkannya. Sebaliknya, wujud perbezaan pendirian dalam hal ini. Mengapa ini berlaku?

Jawapan: Tidak semua di kalangan manusia yang beragama Islam memiliki cita rasa yang sama terhadap al-Quran. Perkara ini telah ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Kemudian kitab itu kami wariskan kepada orang-orang yang kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri sendiri, ada yang bersederhana dan ada yang berlumba-lumba berbuat kebaikan dengan izin Allah, yang demikian itu adalah kurniaan yang amat besar. (Faatir: 32).
Ayat ini menggambarkan tiga kelompok manusia yang berbeza pendirian terhadap al-Quran:
a) Golongan yang menganiaya diri sendiri iaitu golongan yang kesalahan dosa mereka lebih banyak daripada pahala kebaikan. Sebabnya, mereka tidak membaca al-Quran, mentelaah, berdiskusi apatah lagi beramal dengan perintah Allah di dalamnya.
b) Golongan yang bersederhana iaitu golongan di mana kesalahan dosa mereka sama banyak dengan pahala. Mereka adalah golongan yang membaca al-Quran tetapi belum bersedia melaksanakan isi kandungannya yang terdiri daripada hukum hakam Allah.
c) Golongan yang berlumba-lumba berbuat kebaikan. Mereka amat banyak melakukan kebaikan dan jarang membuat kesalahan. Mereka adalah golongan yang bersedia melaksanakan hukum Allah dalam al-Quran.

Seorang ulama terkenal, Muhammad Syakib Arslan berkata beberapa sebab yang membawa kemunduran umat Islam antaranya adalah kejahilan tetapi boleh diajar dan dibentuk. Kedua, mempunyai ilmu tetapi tidak sempurna. Ini lebih bahaya daripada orang jahil yang lebih mudah diajar. Ketiga, rosak akhlak menyebabkan piawaian hidupnya adalah kebendaan.

Saturday, September 12, 2009

TAZKIRAH RAMADHAN SIRI 22

Keutamaan lailatul qadar

Keutamaan utama hari-hari terakhir Ramadan ini berputar sekitar pemburuan mendapatkan keutamaan lailatul qadar. Satu malam gilang-gemilang yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Malam yang begitu agung dalam kerajaan langit sehingga diabadikan dalam suatu surah al-Quran yang khusus untuk mengisytiharkan keistimewaannya iaitu surah al-Qadr. Bagi mereka yang sentiasa menjadikan urusan amal ibadah sebagai tumpuan perhatian dan kebimbangan mereka, inilah satu tawaran istimewa daripada Allah SWT yang 'haram' dilepaskan.

Sangat malanglah bagi seorang hamba yang dikurniakan hadiah begitu berharga daripada Tuhannya sendiri tetapi tidak mengendahkannya atau tidak menerimanya dengan baik. Benarlah pesan Rasulullah SAW bahawa, "Sesiapa yang diharamkan mendapat kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah diharamkan. (daripada mendapat segala kebaikan)". Memang lailatul qadar adalah suatu hadiah atau anugerah bagi umat ini. Para ulama meriwayatkan pelbagai riwayat bagaimana lailatul qadar dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW kerana mengambil kira jangka hayat umat ini yang jauh lebih pendek berbanding umur umat sebahagian nabi-nabi terdahulu.

Dengan beramal ibadah pada malam ini barulah boleh kita menyaingi kuantiti ibadah umat-umat yang dikurniakan umur yang jauh lebih panjang. Harus diinsafi bahawa sebagai suatu urusan ibadah, kelebihan utama lailatul qadar bukan terbatas kepada sifir 1,000 bulan yang begitu sinonim dengan malam tersebut. Dalam mana-mana urusan ibadah nilai utama sesuatu amalan tetap tergantung kepada rahmat dan kasih Tuhan yang menjadi tumpuan sesuatu amalan tersebut. Oleh itu memburu lailatul qadar bukan bererti kita sekadar mengejar gandaan seribu bulan itu tetapi yang lebih penting, berusaha mencarinya bererti kita bersungguh-sungguh untuk menyambut dan meraikan suatu bukti kasih dan rahmat Allah SWT kepada kita.

Sesuai sebagai anugerah yang begitu bernilai dan berharga, lailatul qadar tidaklah sampai begitu mudah diperolehi oleh sesiapa sahaja tanpa perlu berusaha. Walaupun kita mewarisi pelbagai panduan dan petua daripada Rasulullah SAW sendiri dan para ulama pewaris Baginda SAW tentang mengenalpasti malam lailatul qadar, masih tidak ada satu kesepakatan tentang bilakah sebenarnya jatuhnya malam itu. Akhirnya, bolehlah disimpulkan bahawa peluang untuk mendapatkannya adalah lebih cerah bagi mereka yang menghidupkan malam-malam yang ganjil dari 10 malam yang terakhir, sangat cerah bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam terakhir dan paling terjamin bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam-malam Ramadan.

Juga harus diingat, para ulama turut berpandangan bahawa siangnya lailatul qadar juga perlu diisi dengan amal ibadah sama seperti malamnya. Sesuai sebagai tanda rahmat dan pemberian Tuhan, lailatul qadar tidaklah pula terlalu sukar dan terlalu jauh dari capaian kita. Ia ditentukan jatuh di dalam bulan Ramadan. Bulan Ramadan adalah bulan ibadah umat ini yang mana rata-ratanya malam-malam Ramadan adalah malam-malam yang lebih baik pengisian ibadahnya bagi kita semua. Walaupun sebahagian ulama berpandangan bahawa kelebihan lailatul qadar dicapai dengan menghidupkan sebahagian besar malam itu, sebahagian ulama meriwayatkan bahawa untuk syarat minimum untuk mendapatkan sebahagian laba malam ini bukannya terlalu sukar.

Imam Malik dalam kitabnya al-Muwatto' misalnya, meriwayatkan pandangan Ibnul Musayyib bahawa, "Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak pada malam lailatul qadar secara berjemaah, maka sesungguhnya dia telah mendapat laba / bahagian daripadanya (lailatul qadar)".Pandangan-pandangan yang lebih ringan ini meletakkan syarat mendapatkan lailatul qadar pada menjaga solat-solat fardu pada malam tersebut. Jika pandangan ini yang kita ambil nescaya mendapatkan lailatul qadar bukannya terlalu sukar dan boleh diusahakan oleh semua orang.

Tetapi Tuhan itu Maha Adil, hakikatnya, mereka yang biasa lalai tetap akan lalai dan gagal hatta untuk menjaga solat-solat fardu ini walaupun di malam-malam akhir Ramadan. Semoga Allah menjauhkan diri kita dan mereka yang bersama kita daripada tergolong dalam golongan yang lalai. Zikir dan doa yang diajarkan oleh nabi SAW untuk lailatul qadar juga cukup pendek mampu diamalkan oleh semua orang. Maka marilah kita memperbanyakkan doa ini di hari-hari ini, Allahumma innaka 'Afuwwun tuhibbul 'afwa fa'fu 'nniy yang maksudnya, "Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun , sukakan keampunan maka ampunilah aku".

Walaupun pintu untuk kita menghayati lailatul qadar melalui ibadah khusus lebih terbuka di bulan Ramadan dengan budaya dan suasananya yang tersendiri, ini tidak menafikan hakikat luasnya makna dan bentuk ibadah dalam Islam. Mereka yang terpaksa menyelesaikan tugasan dan kerja mereka yang tidak bercanggah dengan agama dan dalam kadar yang sesuai dengan bulan Ramadan ini, tetap boleh meniatkan kerja-kerja mereka sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk mendapatkan dan menghayati lailatul qadar. Wallahua'lam.

Friday, September 11, 2009

TAZKIRAH RAMADHAN SIRI 21

Pencarian lailatul qadar

KITA sudah pun berada dalam sepuluh hari-hari terakhir Ramadan yang dirindui oleh para kekasih Allah SWT. Ini bererti kita sudah memasuki sepertiga terakhir Ramadan yang menandakan Ramadan akan melambaikan salam perpisahannya dalam beberapa hari yang pendek. Hari-hari ini dirasakan pendek oleh para Solehin kerana mereka begitu yakin dengan ketinggian nilai dan keistimewaan hari-hari ini yang menyebabkan mereka seolah-olah merasa tidak mencukupi dengan saki-baki minit dan jam yang ada. Begitu banyak amal bakti yang belum sempurna dipersembahkan ke hadrat ilahi. Masih banyak bukti pengabdian yang belum sempurna dipersembahkan ke hadapan-Nya.

Di suatu sudut lain, sebahagian orang pula merasakan hari-hari ini begitu pendek kerana pelbagai kesibukan duniawi apabila mengenangkan Hari Raya yang menjelang tiba. Pelbagai persiapan pakaian, rumah dan juadah yang hendak disempurnakan. Masih banyak urusan kerja dan perniagaan berkaitan Ramadan dan Aidil Fitri yang belum selesai. Jika tidak berwaspada, sinar hari-hari terakhir Ramadan ini mudah pudar dan tenggelam dalam keriuhan ambang Syawal sedangkan sepertiga terakhir Ramadan inilah merupakan peringkat terpenting dalam madrasah Ramadan yang sedang kita lalui ini.

(bersambung...)

Thursday, September 10, 2009

TAZKIRAH RAMADHAN SIRI 20

Fadilat puasa bagi kesihatan

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Para ilmuwan menganggap berpuasa sebagai fenomena yang penting dan semula jadi, di mana kehidupan yang sempurna dan kesihatan yang baik tidak dapat diperoleh tanpa berpuasa. Apabila seseorang atau bahkan seekor haiwan tidak berpuasa, maka ia akan terjangkit berbagai macam penyakit.

McFadon, seorang ahli kesihatan Amerika, menyatakan: "Setiap orang perlu berpuasa, kerana kalau tidak berpuasa maka ia akan sakit. Sebab racun makanan berkumpul dalam tubuh dan membuatnya seperti orang sakit, memberatkan tubuhnya, dan mengurangkan vitalitinya. "Apabila ia berpuasa, maka berat badannya menurun, dan racun-racun terurai daripada tubuhnya dan keluar, sehingga tubuhnya menjadi bersih secara sempurna dan sel-sel kembali baik".

Menurut kajiannya, di antara manfaat kesihatan daripada berpuasa ialah:
1. Merehatkan tubuh dan memperbaiki saraf.
2. Menyerap zat-zat yang mengendap di usus. Pengendapan dalam jangka waktu yang lama mengakibatkan perubahan endapan itu menjadi kotoran yang beracun.
3. Memperbaiki fungsi pencernaan dan penyerapan.
4. Mengembalikan virtaliti organ pembuangan, dan memperbaiki fungsinya untuk membersihkan tubuh, yang mengakibatkan terkawalnya kestabilan dalam darah dan berbagai cairan dalam tubuh.
5. Mengurai zat-zat yang berlebihan dan endapan di dalam jaringan yang sakit.
6. Mengembalikan keremajaan dan vitaliti sel-sel serta berbagai jaringan dalam tubuh.
7. Menguatkan indera dan meningkatkan IQ.
8. Memperelok dan membersihkan kulit.

Alexis Carrel, pemenang hadiah nobel di bidang kedoktoran, dalam bukunya Man the Unknown menyatakan: "Banyaknya bahan makanan dapat melemahkan fungsi organ, dan itu merupakan faktor yang besar bagi berdiamnya jenis-jenis virus dalam tubuh. "Fungsi tersebut adalah fungsi adaptasi terhadap bahan makanan yang sedikit. Gula pada jantung bergerak, dan bergerak pula lemak yang tersimpan dalam kulit."Semua organ tubuh mengeluarkan zat khususnya untuk mempertahankan keseimbangan dalaman dan kesihatan jantung. Berpuasa benar-benar memberikan dan pengganti jaringan tubuh kita".

Sementara Prof. Nicko Lev dalam bukunya, Hungry for Healthy menyatakan: "Setiap orang mesti berpuasa dengan berpantang makan selama empat minggu setiap tahun, agar ia memperoleh kesihatan yang sempurna sepanjang hidupnya". Seterusnya, menurut penelitian beliau, mukjizat penetapan waktu berpuasa dari matahari terbit hingga matahari terbenam, adalah dengan tidak berlebihan saat berbuka puasa. Penelitian ilmiah membuktikan bahawa jarak waktu yang tepat untuk berpuasa adalah antara 12 hingga 18 jam. Selepas itu, simpanan gula dalam tubuh mulai terurai.

Dreanik dan kawan-kawannya, pada tahun 1964, mencatat sejumlah penyakit komplikasi kritis akibat berpuasa lebih dari 31 hari. Di sini nampak jelas mukjizat Nabi SAW dalam larangan berpuasa bersambung (tidak termasuk puasa sunat Syawal).Di samping itu, penelitian ilmiah membuktikan kepentingan makan sahur dan berbuka adalah untuk membekalkan tubuh dengan zat asam lemak dan amino, tanpa kedua zat ini, lemak dalam tubuh kita akan terurai dalam jumlah besar, sehingga mengakibatkan sirosis pada hati, dan menimbulkan berbagai bahaya besar bagi tubuh.

Wednesday, September 9, 2009

TAZKIRAH RAMADHAN SIRI 19

Mendalami ilmu jaminan ibadat puasa sempurna, tepati syariat

SEMENTARA umat Islam berdoa dan berpuasa sunat pada Syaaban sebagai penghormatan dan pengharapan kedatangan Ramadan, mereka perlu juga menyambut kedatangannya dengan ilmu. Mereka perlu mempunyai ilmu pengetahuan bagaimana mengerjakan ibadat puasa dengan betul mengikut syariat, menunaikan zakat fitrah dengan sempurna dan beramal dengan amalan sunat ketika berada pada bulan Ramadan. Hanya dengan ilmu segala ibadat dapat dikerjakan sempurna dan Insya-Allah diterima Allah. Di samping itu, jika seorang Muslim menunaikan fardu puasa dengan didasari ilmu pengetahuan, ketakwaan dan keikhlasan, puasa dikerjakan adalah puasa yang dikategorikan sebagai ibadat.

Justeru, kita dapati ramai orang yang puasa tidak menepati konsep ibadah sebenar kerana menganggap bulan Ramadan hanya bulan adat dan budaya. Puasa dikira sebagai sambutan ritual semata-mata. Akhirnya puasa mereka hanya puasa adat dan bukan ibadat. Jika bakal haji diberikan kursus secukupnya oleh pihak tertentu seperti Lembaga Tabung Haji untuk pengetahuan dan pendedahan mengenai urusan haji, kenapa tidak dalam menghadapi fardu puasa diberikan pengetahuan berkaitan puasa oleh pihak jawatankuasa surau, masjid dan institusi. Ini penting kerana ilmu diperlukan untuk memantapkan ibadah puasa pada Ramadan. Bagaimanapun, di negara ini kebanyakan kuliah atau majlis ilmu berkaitan puasa diadakan ketika Ramadan.

Tidak menjadi kesalahan mengadakannya sebelum atau ketika Ramadan, cuma barangkali ada antara kita umat Islam lupa mengenai puasa kerana sudah meninggalkan Ramadan 11 bulan lalu. Justeru, kita perlu menggilap semula pengetahuan mengenai puasa supaya puasa kita benar-benar menepati kehendak syariat. Tambahan pula, kita boleh ibaratkan persiapan ilmu itu seperti persiapan seorang tentera yang akan berjuang di medan perang. Lebih elok jika bersiap sedia sebelum hari pertempuran. Bagaimanapun kita mengalu-alukan jika persediaan dilakukan sebelum dan ketika menunaikan ibadah puasa. Umat Islam perlu mengulang kaji sekurang-kurangnya dua aspek, iaitu puasa dari sudut fikah dan akhlak. Puasa dari segi fikah ialah perkara dan persoalan mengenai puasa seperti terkandung dalam buku fikah. Sementara dari segi akhlak, Imam Ghazali menyebut dalam buku Bimbingan Mukminin sebagai kewajipan puasa batiniah. Beliau menyenaraikan enam perkara perlu diketahui dan dijaga oleh orang berpuasa antaranya menjaga dan mengelak mata melihat perkara melalaikan ingatan kepada Allah.

Selalunya umat Islam boleh memahami dan mengikuti peraturan serta ketetapan puasa daripada segi fikah. Namun ada kalanya kita tidak dapat menyelami persoalan puasa dari sudut akhlaknya. Memang puasa itu sah tetapi bimbang tidak mendapat habuan setimpal kecuali lapar, dahaga dan penat. Ramadan perlu diberi liputan yang banyak supaya umat Islam merasa rindu bertemu dengan bulan barakah itu. Kita bimbang apabila sambutan hari lebaran lebih dimeriahkan akhirnya nanti mereka lebih rindu bertemu Syawal untuk menyambut hari raya. Mereka lebih ghairah berhari raya daripada berpuasa walaupun mereka masih berada di bulan Syaaban. Dengan erti kata lain, mereka akan bersiap untuk menyambut hari raya sedangkan Ramadan belum menjelang dan mereka pun tidak pasti akan menemui bulan Ramadan dan Syawal.

Tuesday, September 8, 2009

TAZKIRAH RAMADHAN SIRI 18

Soal Jawab Zakat Fitrah

Ada orang yang berpuasa tetapi tidak menunaikan zakat fitrah, apa hukumnya?

Menunaikan zakat fitrah adalah wajib yang mutlak di dalam Islam dan mengabaikannya adalah haram dan berdosa di sisi Allah SWT. Ibnu Umar r.a meriwayatkan: Rasulullah telah memerintahkan untuk mengeluarkan zakat fitrah sebelum orang-orang keluar melaksanakan solat Idul Fitri. (riwayat Bukhari dan Muslim).Hikmah zakat fitrah adalah untuk membersihkan orang-orang yang berpuasa daripada kelalaiannya, Ibnu Abbas menyatakan: "Rasulullah saw telah mewajibkan zakat fitrah untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada bicara yang tiada manfaatnya dan kata-kata kotor". (riwayat Abu Daud).Ulama fikah menyatakan, orang yang enggan berzakat kerana kesengajaan dan mengingkari kewajipannya, maka dia boleh jatuh kepada kekufuran. Namun, jika kerana terlupa, maka hendaklah segera dia menunaikannya walau sudah terlepas waktunya (menjadi qada) dan segeralah memohon ampun kepada Allah SWT di atas kelalaiannya sebelum itu. Wallahua'lam.

Adakah zakat fitrah boleh ditunaikan seawal Ramadan atau sebaik-baiknya ditunaikan sebelum solat sunat Aidilfitri?

Adalah harus mengeluarkan zakat fitrah sejak bermulanya Ramadan. Hadis daripada Umar menyatakan: "Telah mewajibkan Rasulullah SAW zakat fitrah pada bulan Ramadan". Walau bagaimanapun, ulama berbeza pendapat mengenai waktu wajibnya. Imam Syafie, Ahmad, Ishaq, Tsuri dan Malik menyatakan, ia menjadi wajib apabila terbenamnya matahari pada akhir Ramadan. Abu Hanifah, Imam Laits dan Abu Tsaur pula menyatakan, ia wajib setelah terbit fajar satu syawal.Untuk memudahkan kita, ulama fikah telah membahagikan waktunya seperti berikut, iaitu harus sejak awal Ramadan, menjadi wajib sebelum solat Aidilfitri dan makruh setelah menunaikan solat Aidilfitri. Sesiapa yang tidak menunaikan zakat fitrah sehingga terbenam matahari satu Syawal, maka dia dianggap berdosa dan wajiblah segera mengeluarkannya dan kala itu ia dianggap qada.

Seorang miskin tidak wajib menunaikan zakat harta tetapi wajib pula menunaikan zakat fitrah, bolehkah dijelaskan keadaan ini?

Zakat fitrah diwajibkan kepada semua orang Islam, tanpa mengira sama ada mereka kaya, miskin, merdeka atau hamba sahaya. Abu Hurairah r.a menyatakan: Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan kepada orang yang merdeka, hamba sahaya, lelaki dan perempuan, anak-anak, dewasa, fakir atau kaya - daripada kalangan kaum muslimin. (riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim, rujuk Hukum Zakat, al-Qardhawi, hal. 927).Ini kerana, zakat harta mempunyai syarat nisab (batas minima kekayaan) yang berbeza dengan zakat fitrah. Nisab zakat harta adalah 85 gram emas pada harga semasa; sedangkan zakat fitrah meletakkan, mereka yang mempunyai makanan dari malam raya sehingga keesokan harinya (sehari semalam) adalah dianggap wajib menunaikan zakat fitrah. Di samping itu, kadar zakat fitrah juga disandarkan kepada nilai segantang Baghdad makanan asasi (2.7 kg), iaitu kadar yang dianggap rendah dan tidak membebankan golongan miskin bagi menunaikannya.Jika seseorang itu tidak mempunyai makanan yang mencukupi bagi diri dan keluarganya pada sehari semalam pada hari raya, maka terlepaslah kewajipan zakat fitrah ke atas dirinya.

TAZKIRAH RAMADHAN SIRI 17

Ghazwah Badar al-Kubra

Setelah membincangkan tentang Nuzul Al-Quran pada siri yang lepas, marilah kita renung satu lagi peristiwa penting dalam bulan Ramadhan. Jika al-Quran turut dinamakan al-Furqan kerana penurunan al-Quran memisahkan antara yang hak dan batil, pertempuran Badar pula dinamakan Yaum al-Furqan yang bermaksud Hari Pemisah antara Hak dan Batil. Sebabnya, inilah hari yang menentukan sama ada kebenaran yang akan tertegak atau pun kebatilan. Allah memberi perhatian yang besar kepada peristiwa Badar sebagaimana firman-Nya: Jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada 'Hari Al Furqaan', iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. (al-Anfal: 41).

Sejarah mencatatkan Ghazwah Badar al-Kubra berlaku pada Jumaat, 17 Ramadan tahun 2 Hijrah. Ia adalah peperangan paling besar dan penting bagi umat Islam kerana ia peperangan yang menentukan masa depan umat Islam, bahkan masa depan umat manusia seluruhnya. Justeru, seluruh umat Islam terhutang budi dengan pahlawan-pahlawan Islam Badar kerana tanpa semangat juang mereka yang tinggi demi mempertahankan agama Islam yang suci, pengorbanan dan kekuatan tawakal mereka kepada Allah, sudah pasti kita tidak dapat menikmati Islam seperti yang kita kecapi pada hari ini.

Jika dibandingkan bilangan tentera Muslimin ketika itu yang hanya seramai 313 dan kelengkapan perang mereka yang tidak mencukupi dengan bilangan tentera musyrikin yang melebihi 1,000 orang lengkap dengan peralatan perang, mustahil pada akal umat Islam beroleh kemenangan gilang gemilang seperti yang dikecapi oleh umat Islam dalam peperangan Badar. Namun, Allah telah merakamkan kemenangan umat Islam dalam peperangan Badar melalui firman-Nya: Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (ali-'Imran: 123-127)

Ini memberitahu kita bahawa faktor fizikal atau kuantiti bukanlah modal utama bagi suatu kejayaan tetapi faktor dalaman atau kualiti yang lebih utama dan berkesan. Sifat tawaduk, yakin dengan Allah dan tawakal yang dimiliki oleh tentera Islam telah menarik pandangan Allah hingga Allah menghantar pertolongan-Nya melalui malaikat-malaikat yang diutuskan. Sifat bongkak, takbur dan menganggap kejayaan itu datang daripada diri sendiri yang dimiliki oleh kaum Quraisy adalah modal utama bagi suatu kegagalan dan kekecewaan.

Jasa dan bakti yang begitu besar para satria Badar demi memperjuangkan kemerdekaan agama perlu kita kenang dan uar-uarkan. Bukan kerana mereka memerlukan kita kerana mereka telah pun mendapat kedudukan yang tinggi sebagai syahid di sisi Allah dan dijanjikan dengan syurga Firdaus. Tetapi kitalah yang perlu mengambil formula dan keberkatan daripada mereka bagi mendapatkan jiwa yang waja dan thabat (tetap) seperti mereka dalam mencintai dan mempertahankan agama Allah.

Hanya dengan sedikit cubaan dan fitnah, kita terus rebah meninggalkan medan perjuangan dan dakwah, lesu untuk berkorban, malah terjebak dalam tipuan dunia dan perangkap musuh. Justeru, insafilah diri kita pada Ramadan kali ini. Adilkah kita mencaci dan mencerca mereka sebagaimana yang dilakukan oleh pengikut fahaman Syiah Rafidhah yang melakukan perbuatan mencaci para sahabat nabi SAW. Jika kita berada di tempat mereka ketika itu, apakah kita sanggup berdepan dengan tentera musuh yang terdiri daripada panglima-panglima tentera yang bengis dan hebat? Wallahu 'Alam.

Monday, September 7, 2009

TAZKIRAH RAMADHAN SIRI 16

Menghayati makna, hikmah peristiwa Nuzul al-Quran

RAMAI pengkaji berselisih pendapat tarikh sebenar turunnya kitab suci al-Quran, namun mereka bersepakat mencatat peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan. Perkataan 'nuzul' bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jenayah, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Firman Allah SWT: "Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)." (Al-An'am:38) Nuzul al-Quran suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai 'kitab induk' panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Bukan setakat membaca, bahkan kita harus berusaha menyelidiki rahsia ilmu pengetahuan di dalamnya.

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan. Dalam sejarah Nabi SAW, ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada surah Al-'Alaq. maksudnya: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (al-'Alaq:1-5) Nabi SAW banyak membaca al-Quran dalam bulan Ramadan. Maknanya Nabi juga belajar secara berguru iaitu dengan Jibril dan umatnya juga dituntut belajar dengan berguru. Nabi Muhammad juga mengulang-ulangi bacaan al-Quran begitu juga dengan para sahabat. Nabi bersabda maksudnya: "Semulia-mulia umatku ialah orang yang menghafaz al-Quran."

Antara faedah membaca al-Quran adalah;
1. Mampu mengusir bisikan syaitan terkutuk;
2. Menjadi penyebab meraih keredaan Allah SWT;
3. Memperoleh pahala yang banyak;
4. Membahagiakan rakan seperjuangan;
5. Menghapus kesalahan dan dosa;
6. Menjadikan wajah (pembaca al-Quran) berseri-seri;
7. Melapangkan hati dan fikiran, menjernihkan sanubari;
8. Melahirkan ketenteraman dalaman antara seorang hamba dengan Allah SWT;
9. Memelihara umur manusia;
10. Merangsang seorang hamba untuk terus melakukan kebaikan dalam hidup yang sementara; 11. Mengembali, menjernihkan hati kepada Allah untuk meningkatkan kualiti hubungan dengan-Nya.

TAZKIRAH RAMADHAN SIRI 15

Nuzul al-Quran

Di Malaysia, apabila tiba 17 Ramadan, rata-rata umat Islam mengadakan sambutan sempena Nuzul al-Quran. Mengimbau sejarah penurunan al-Quran, mengingatkan umat Islam tentang keagungan mukjizat Nabi Muhammad SAW yang terbesar ini. Sebenarnya Allah SWT berkuasa menurunkan al-Quran tanpa melalui perantaraan sesiapa. Tetapi Allah telah menghendaki al-Quran itu diturunkan melalui perantaraan Jibril a.s untuk disampaikan kepada insan pilihannya, Nabi Muhammad SAW kerana rahsia agung yang terdapat di sebaliknya. Rasulullah SAW pula bukan sahaja berjaya menyampaikan wahyu tersebut dengan sempurna.

Baginda SAW mengaplikasi dan mencernakan setiap wahyu tersebut dalam segenap tindakan dan perbuatannya sehinggakan akhlak Baginda dinobatkan sebagai al-Quran. Justeru, nabi SAW adalah gambaran al-Quran. Menceritakan tentang kebesaran al-Quran bermakna menceritakan tentang keindahan akhlak baginda SAW. Maka tidak wajarlah kita mengadakan sambutan Nuzul Quran tetapi meminggirkan insan pilihan yang menjadi penyebab kita dapat memahami dan menikmati keindahan al-Quran tersebut.

Di antara mukjizat al-Quran adalah Allah SWT sendiri menjamin penjagaan terhadap isi kandungannya hingga kiamat. Sekalipun pelbagai usaha dilakukan untuk mencemarkan dan mengubah kandungannya, al-Quran tetap terpelihara seperti mana yang dapat kita lihat hari ini. Allah berfirman: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memeliharanya. (al-Hijr :9).

Al-Quran disampaikan daripada satu generasi ke satu generasi melalui kaedah yang cukup sistematik, terperinci dan menyeluruh. Kaedah ini dinamakan sebagai sanad atau isnad. Diriwayatkan daripada Abu Abbas al-Daghuli berkata: Saya mendengar Muhammad ibnu Hatim ibnu al Muzaffar berkata: "Sesungguhnya Allah SWT telah memuliakan umat ini dan melebihkannya dengan isnad. Tidak seorang pun dari umat-umat terdahulu dan yang akan datang dikurniakan isnad.

"Hanya suhuf (lembaran-lembaran) yang berada di tangan mereka, tetapi Kitab-kitab mereka telah bercampur dengan khabar-khabar mereka. Mereka tidak dapat membezakan di antara kitab Taurat dan Injil yang diturunkan, dan di antara cerita-cerita yang masuk ke dalam kitab mereka yang diambil daripada orang-orang yang tidak dipercayai."

Sebagai agama yang suci, Islam amat menitikberatkan permasalahan sanad dan ijazah sebagai bukit kesahihan serta ketulenan sesuatu riwayat dalam membendung perkara-perkara yang dibawa masuk serta ditokok tambah di dalam agama dari perkara usul dan cabangnya. Ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmannya: Wahai orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya. (al-Hujuraat: 6).

Namun, hari ini, ramai umat Islam tidak lagi peka dan faham tentang apa yang dinamakan sanad. Malah, mereka mempersoalkan majlis-majlis bagi menghidupkan konsep sanad dan ijazah dalam periwayatan ilmu. Justeru, memandang pelik dan ganjil terhadap sanad adalah suatu kejahilan. Penyakit yang menimpa umat ini akibat telah tersusuk dengan jarum-jarum para musuh Islam yang sentiasa berusaha keras meruntuhkan keutuhan dan kekebalan agama Allah yang tertinggi ini dengan meruntuhkan kekuatan spiritual dalam Islam yang terhasil dari kesinambungan rantaian ruhiyyah dan keberkatan kepada nabi yang diwarisi oleh para Salafussoleh sejak zaman berzaman.

Sunday, September 6, 2009

Manfaat saintifik solat tarawih (Ulang Siaran)

ANTARA keistimewaan dan kelebihan bulan Ramadan yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain ialah solat tarawih. Umat Islam berpeluang mengerjakan solat tarawih sepanjang bulan Ramadan dan tidak boleh dilakukan pada bulan-bulan lain memandangkan solat ini eksklusif di bulan puasa sahaja. Lazimnya ada yang mengerjakan solat tarawih sebanyak lapan rakaat sahaja dan yang berkeupayaan mengerjakan dua puluh rakaat serta ditambah dengan tiga rakaat solat witir. Menarik dan hebatnya, di samping ganjaran pahala serta kebaikan yang berlipat kali ganda, solat sunat tarawih seperti mana solat-solat sunat dan fardu lain sebenarnya memberi kesan positif terhadap tubuh badan manusia secara fizikal, emosi dan mental.

Kajian saintifik yang telah dilakukan mengesahkan hal ini terhadap hasil dan kesan solat ke atas kesihatan seseorang individu. Ini meliputi kesihatan fizikal, emosi dan mental pengamalnya, termasuklah kesan ke atas sistem kardiovaskular, komposisi tubuh badan, isyarat otak dan aktiviti otot. Kajian seperti mana yang direkodkan dalam buku Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains mendapati pergerakan solat yang melibatkan keadaan berdiri tegak, rukuk, duduk dan sujud secara tertib dan berulang boleh diumpamakan sebagai senaman ringan. Kajian juga menunjukkan mereka yang mengamalkan solat yang sempurna mempunyai tahap kesihatan yang lebih baik berbanding mereka yang tidak melakukannya dengan sempurna. Solat lima kali sehari semalam misalnya selain merupakan ibadah wajib, dapat mengurangkan kadar lemak dalam badan.

Maka di bulan puasa ini, solat tarawih sudah tentu dapat membantu merawat mereka yang mengamalkan sikap 'membalas dendam' dengan berlebihan makan ketika berbuka. Tambahan pula, tabiat mengamalkan kedudukan tulang belakang lurus melintang ketika rukuk menurut kajian dapat melambatkan proses penuaan, tisu bertambah aktif, proses imbangan air dalam badan menjadi lebih baik dan melancarkan fungsi buah pinggang. Ibadat solat dalam masa yang sama juga dapat meningkatkan penumpuan dan daya ingatan seseorang, membuktikan ibadah solat dapat menyediakan otak untuk lebih bersedia dalam menghadapi tugas-tugas yang lebih mencabar. Apatah lagi ketika berpuasa, seseorang perlu menahan lapar dan dahaga di samping mesti bersabar dalam apa jua keadaan, berfikiran kreatif serta sentiasa berada pada tahap produktiviti yang tinggi. Lebih menakjubkan lagi ialah solat juga merupakan satu terapi yang memberikan kesan yang sangat positif ke atas sistem andrologi dan kekuatan tenaga batin lelaki.

Kajian menunjukkan aktiviti solat boleh melancarkan pengaliran darah dan mengurangkan masalah disfungsi ereksi atau mati pucuk di kalangan lelaki. Penemuan serta petua dan amalan ini sudah tentu tidak boleh dilepaskan oleh mereka yang mementingkan kesihatan batin. Oleh yang demikian, penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan menunaikan solat dan tidak boleh meninggalkannya sama sekali. Sehubungan itu, melihat kepada keutamaan dan keunikan yang terdapat pada ibadah solat, maka di bulan Ramadan yang mulia ini sewajarnyalah menjadi medan penumpuan utama memperkasakan ibadah wajib dan sunat dalam usaha merebut ganjaran kebajikan yang dijanjikan oleh Allah. Biarlah pengisian Ramadan kali menjadi lebih baik daripada Ramadan yang lepas dan jangan sia-siakan segala ruang serta peluang yang ada kali ini, Insya-Allah.

Saturday, September 5, 2009

TAZKIRAH RAMADHAN SIRI 14

Aura Ramadan suburkan sedekah

MENJELANG Ramadan, maka antara perkara yang sering diingati oleh umat Islam ialah amalan sedekah dan zakat. Sebenarnya, zakat juga adalah sedekah; namun ia adalah sedekah yang wajib. Misalnya Allah SWT menyatakan: "Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah" (at-Taubah: 103), maka makna 'sedekah' di sini adalah zakat. Begitu juga apabila Allah SWT menyatakan: "Sesungguhnya sedekah itu adalah untuk fakir, miskin, amil, muallaf…" (at-Taubah: 60), maka sekali lagi, 'sedekah' yang dimaksudkan oleh Allah SWT di sini ialah zakat.Oleh itu, kita dapat membahagikan amalan sedekah di bulan Ramadan ini kepada dua, iaitu sedekah sunat dan sedekah wajib (zakat). Sedekah sunat memang sudah menjadi sesuatu yang sebati, khususnya di dalam jati diri masyarakat Melayu-Islam.

Misalnya, jika di kampung-kampung, amalan memberi sedekah walaupun sepiring kuih atau pengat pisang, memang diamalkan sejak turun-temurun. Natijahnya, apabila jiran saling bertukar juadah, maka makin suburlah ukhuwah. Inilah hebatnya aura sedekah. Namun begitu, arus pemodenan semakin menghakis budaya atau amalan saling bertukar juadah yang berupa sedekah ini. Masyarakat Melayu-Islam yang tinggal di bandar besar, makin sibuk untuk menghulurkan walau sepiring cekodok pisang kepada jiran di sebelah pagar atau jiran yang berkongsi dinding dengannya. Sedangkan, mereka tinggal di rumah teres atau apartmen, yang masing-masing berkongsi dinding, lantai bahkan bumbung. Maka, inilah cabaran kehidupan moden dalam mengekalkan tradisi bersedekah khususnya di bulan Ramadan.

Di samping itu, kita juga seharusnya merebut pahala yang lebih besar dan utama sepanjang Ramadan ini dengan memberi makanan kepada orang yang berbuka puasa. Ironinya, senario ini lebih subur di kawasan bandar dan ia agak asing jika di kampung. Agaknya, inilah pula kelebihan di bandar besar. Pengalaman penulis sendiri saat belajar sehingga berkerja di Kuala Lumpur, sempat beberapa kali berbuka puasa secara percuma di beberapa buah masjid beramai-ramai dan ia amat meriah.

Masjid-masjid ini pasti telah mendapat tajaan daripada individu mahu pun syarikat umat Islam yang pemurah, sehingga mereka mampu menyediakan makanan kepada umat Islam dalam jumlah yang besar setiap hari. Dalam menegaskan hal keutamaan memberi makan orang berbuka puasa ini, Nabi Muhammad SAW sendiri menyatakan: "Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, maka dia akan beroleh pahala seperti mana pahala orang yang berpuasa itu tanpa pahala orang itu dikurangi sedikit pun," (riwayat Ahmad, an-Nasai, Termizi, Ibn Majah dan Darimi dan disahihkan oleh al-Albani)