flashvortex
Wednesday, October 21, 2009
PEMBERITAHUAN PENTING!!!
Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 9 September 2009 telah bersetuju supaya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melaksanakan sistem penggredan baru Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun peperiksaan 2009. Perubahan sistem penggredan ini bertujuan memperincikan pencapaian Gred A calon yang mencapai tahap sangat cemerlang di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
2. Perubahan ini melibatkan penambahan Gred A+ yang lebih tinggi daripada gred tertinggi sedia ada 1A. Gred-gred lain diubah seperti jadual berikut:
Gred Sedia Ada______ Gred Baru
Tiada =============> A+
1A ===============> A
2A ===============> A-
3B ===============> B+
4B ===============> B
5C ===============> C+
6C ===============> C
7D ===============> D
8E ===============> E
9G ===============> G
3. Adalah menjadi tanggungjawab Pengetua dan pengurus sekolah memberikan penjelasan yang secukupnya berhubung sistem penggredan baru kepada semua murid yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun 2009. Ini adalah penting kerana urusan permohonan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi bagi tahun kemasukan 2010 akan mengguna pakai sistem penggredan baru ini.
4. Sila memaklumkan kandungan surat pekeliling ikhtisas ini kepada semua pegawai yang bertanggungjawab di Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan semua pengetua di bawah pentadbiran Y.Bhg. Datuk/Dato’/Datin/Tuan/Puan. Sekian. Terima Kasih.
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
TAN SRI DATO’ HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD DOM
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Kementerian Pelajaran Malaysia
umber: http://www.moe.gov.my/
Wednesday, September 30, 2009
Oleh Azrul Affandi Sobry (Berita Harian, 29/09/2009)
AWAL tahun, hari sukan, hari kokurikulum, mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), hari terbuka, musim peperiksaan, pertandingan peringkat daerah dan negeri, minggu suai kenal serta banyak lagi beban kerja yang selama ini terpaksa ditanggung guru sehingga sering kali memberi tekanan kepada mereka. Guru kini bukan sekadar pengajar, malah semakin kurang dapat memberi tumpuan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran, walaupun semua pihak menekankan kewajipan itu sebagai skop tugas utama guru di sekolah. Apa tidaknya, jengoklah ke mana-mana sekolah, atau tanyalah kepada mana-mana guru pun, pasti keluhan dan rungutan yang akan kedengaran mengenai tumpuan tugas mereka yang semakin hari semakin membebankan. Itulah gambaran yang sewajarnya dilihat bagi menceritakan betapa guru kini tidak seperti guru pada satu zaman sebelum ini yang dihormati atas kredibiliti sebagai guru yang tegas dalam menyampaikan pengajaran serta cukup disegani atas kedudukan sebagai gedung ilmu.
Banyak pihak yang mungkin mencebik, menjuih bibir apabila guru merungut mengenai beban yang mereka hadapi. Tak kurang juga yang mengatakan guru ketika ini manja dan banyak 'songeh' serta pelbagai kritikan lagi seperti – 'sudahlah kerja separuh hari, cuti banyak pula, itupun nak merungut'. Namun, mereka yang kebanyakannya menyalahkan guru dalam isu rungutan itu mungkin tidak peka mengenai situasi sebenar kerjaya itu ketika ini yang bukan sekadar kerap perlu bekerja melebihi masa sepatutnya, malah dibebani dengan longgokan kerja yang ada kalanya tak selesai di sekolah, terpaksa dibawa sehingga atas katil sebelum tidur. Hampir kebanyakan tugas yang selayaknya diuruskan kerani atau pegawai data kini menjadi tanggungjawab guru. Daripada tugas merekod maklumat murid, data peribadi, keputusan peperiksaan secara manual dan berkomputer, bayaran yuran, rekod pinjaman buku teks, inventori aset sekolah sehinggalah kepada urusan pada peringkat pejabat pendidikan daerah serta jabatan pelajaran negeri.
Justeru, tidak wajar guru dulu dan sekarang dijadikan perbandingan kerana pada zaman berteknologi maklumat serba canggih ini, semuanya perlu direkodkan secara berkomputer walaupun rekod bertulis turut perlu dibuat dan yang menyedihkan, bukan semua guru ada komputer atau lebih parah lagi, tak semuanya celik komputer. Sebagai contoh, setiap tahun guru perlu mengemaskini maklumat murid serta data peribadinya. Tak cukup dengan itu, kutipan yuran perlu dibuat sendiri dan direkodkan dengan kemas. Maklumat lain termasuk rekod pinjaman buku teks dan keputusan peperiksaan perlu dikemas kini segera. Bagi guru yang ditugaskan mengepalai panitia pula, beban itu ditambah dengan keperluan menyediakan kertas soalan peperiksaan hampir setiap dua atau tiga bulan. Ada pula guru yang mahir sedikit dalam reka bentuk grafik ditugaskan pula menyediakan grafik untuk majalah sekolah. Tidak perlulah diperincikan semua beban tugas lain yang perlu lakukan kerana realitinya itu bukan tugas utama guru di sekolah, malah tak pernah diajar ketika mereka mengambil kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG). Guru kelas pula pastinya sering merungut setiap kali musim kemas kini data tiba dan mereka ini juga yang kebiasaannya ditugaskan sebagai guru panitia, guru pembimbing rumah sukan serta kelab.
Persoalannya, bukankah semua beban tugas itu sewajarnya dilakukan oleh mereka yang lebih pakar dalam tugas merekod data atau maklumat. Bukankah kerja membabitkan kewangan perlu dilaksanakan kerani kewangan dan perihal data pula diuruskan oleh pegawai data? Memang ada guru data di sekolah, tetapi mereka sebenarnya bukan fokus dalam hal data semata-mata kerana perlu juga mengajar di kelas, malah ada yang perlu mengajar subjek kritikal. Guru IT pula hanya layak mengajar asas komputer seperti menggunakan perisian Microsoft Word, Powerpoint atau Excel tanpa ada skil membuat sistem data yang lebih memudahkan guru memasukkan maklumat secara pantas dan pengiraan markah peperiksaan dibuat secara berkomputer, malah guru IT juga guru biasa yang perlu mengajar.
Sememangnya tugas guru sekarang amatlah berat.......... tambahan lagi dibebani dengan tekanan untuk meningkatkan prestasi oleh pihak pentadbiran!!!!!! Walaupun setiap guru menanggung beban tugas yang tinggi tetapi penilaian skt yang diberikan adalah tidak setimpal dan amat-amat mengecewakan , guru-guru terasa seperti diperbodohkan dan diperkudakan oleh pihak pentadbir kerana markah prestasi yang tidak cemerlang langsung . Wajarkah guru baru digandingkan dengan guru veteren serupa porshe lama dengan porshe baru.........mana lebih kuat mengaum.......
Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan Guru Malaysia, Jemali Paiman, berkata kementerian wajar mewujudkan satu jawatan baru di sekolah iaitu staf sokongan yang ditugaskan merekodkan data. "Ketika ini, guru terutama guru kelas adalah mereka yang paling teruk dibebani dengan tugas tambahan selain mengajar dan ia paling kritikal ketika musim persekolahan baru bermula. Ketika itu, guru bukan setakat perlu menyediakan maklumat peribadi pelajarnya tetapi dibebani dengan banyak lagi tugas lain. "Mereka perlu mengutip yuran, sediakan buku kedatangan pelajar, dapatkan maklumat murid serta keluarga mereka seterusnya membuat analisis kelayakan untuk diberi bantuan, malah guru juga bertindak sebagai pegawai kesihatan yang merekodkan maklumat kesihatan.
"Justeru, penambahan jawatan staf sokongan itu amat penting untuk mengembalikan guru kepada tugas sebenar mereka iaitu mengajar. Mereka perlu fokus untuk pengajaran, bukan dalam kerja pekeranian. Jangan biarkan mereka terus buat banyak kerja lain setiap hari dan pening kepala setiap hujung bulan," katanya. Jemali turut bersetuju bahawa guru kini bukan sekadar layak digelar kerani tetapi mungkin tukang kebun, pengasuh, pereka grafik, tukang cat dan semua beban kerja yang dilonggokkan ke bahu mereka. Katanya, masa yang lapang hanya dua atau tiga waktu tetapi mengikut pekeliling, ia perlu diisi dengan persiapan mengajar. "Cuti tahunan atau cuti rehat khas hanya ada tujuh hari. Mana cukup untuk digunakan apabila perlu.
Berbeza dengan sektor lain, mereka ada tempoh cuti tahunan lebih panjang dan dapat fokus pada skop kerja mereka. "Contohnya, mana ada jururawat yang ditugaskan membuat landskap hospital. Mana ada jurutera yang ditugaskan mengecat bangunan pejabat, tapi guru ada ketikanya perlu buat semua itu. malah, mural sekolah atau mengecat bangunan sekolah juga tergalas di bahu mereka," katanya. Justeru, adalah wajar kementerian memantau apa keperluan dan keperitan yang dihadapi penggerak utama dalam sektor pendidikan di negara ini. Jangan satu hari nanti, kerjaya guru tidak lagi dipandang tinggi lantaran tidak lagi bertindak sebagai penyampai ilmu berkaliber kerana terlalu fokus pada tugas lain.
Sunday, September 27, 2009
Nicol menang Terbuka Dunia kali ke-4
27/09/2009 9:49pm
KUALA LUMPUR 27 Sept. - Datuk Nicol Ann David memenangi Kejohanan Skuasy Terbuka Dunia 2009 yang berlangsung di Amsterdam, Belanda untuk kali empat.
Beliau menewaskan Natalie Grinham dari Belanda dalam empat set 5-11, 11-6, 11-3 dan 11-8. Warga SMK Dangi mengucapkan tahniah kepada beliau atas kejayaannya. Semoga kejayaan ini menjadi contoh kepada semua untuk terus berusaha, dan berusaha.....
Wednesday, September 9, 2009
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian bantuan khas kewangan RM500 kepada penjawat awam kumpulan sokongan seperti yang diumumkan hari ini. "Kami berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian itu tetapi kami juga kecewa kerana menjangkakan sebulan bonus kepada semua penjawat awam," kata Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, ketika dihubungi. Beliau berharap, kerajaan akan menggantikannya dengan bonus yang lebih tinggi tahun depan.
Kira-kira 860,000 penjawat awam akan menerima bayaran khas kewangan itu yang akan dibuat sebanyak dua kali iaitu RM250 dibayar sebelum Aidilfitri manakala bakinya pada Disember. Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan pemberian khas itu yang dibuat selepas mengambil kira kebajikan penjawat awam dalam kumpulan itu terutama bagi meringankan beban kos persediaan musim perayaan dan persekolahan akhir tahun ini. Implikasi kewangan kepada kerajaan bagi bayaran itu adalah sebanyak RM430 juta.
Sumber: Berita Harian - Bernama
Berita H1N1
KUALA LUMPUR: Tiada kematian baru akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga jam 9 pagi ini dan angka korban kekal pada 73 kes untuk enam hari berturut-turut. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, berkata sejumlah 173 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan. Katanya, pada masa yang sama sejumlah 174 kes telah dibenar keluar. Ini menjadikan baki seramai 1,175 ILI sedang dirawat di 98 buah hospital termasuk 11 hospital swasta di seluruh negara.
"Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 275 pesakit (23%) telah disahkan positif H1N1," katanya dalam kenyataan media hari ini. Dr Mohd Ismail berkata, daripada 275 kes yang telah disahkan H1N1, 41 kes berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana tiga kes adalah kemasukan baru, sementara dua lagi kes telah keluar dari ICU. Katanya, daripada 41 kes yang sedang dirawat di ICU, 33 (80%) mempunyai faktor risiko.
PENGUMUMAN
Aplikasi permohonan pertukaran guru antara negeri telah bermula pada 1 September 2009, manakala tarikh tutup permohonan adalah pada 30 September 2009. Oleh itu, guru-guru yang ingin membuat permohonan boleh melayari laman web http://www.moe.gov.my/ dan klik pada Pengumuman: Pertukaran Guru Secara Onlie (e-GTukar). Harap maklum.
Tuesday, September 8, 2009
PENGUMUMAN
08/09/2009 6:07pm
KUALA LUMPUR 8 Sept — Sesi persekolahan tahun depan akan bermula pada 3 Januari bagi Kedah, Kelantan serta Terengganu, dan negeri-negeri lain pula pada hari berikutnya iaitu 4 Jan, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom. Beliau berkata cuti penggal pertama pula akan bermula dari 12 hingga 20 Mac bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu, sementara bagi negeri lain pada 13 hingga 21 Mac.
“Sementara itu cuti pertengahan tahun pula bermula dari 4 hingga 19 Jun bagi ketiga-tiga negeri itu, dan negeri lain bermula pada 5 hingga 20 Jun,” katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini.
Beliau berkata cuti penggal kedua pula akan bermula dari 3 hingga 11 Sept, dan cuti akhir tahun dari 19 November hingga 1 Jan 2011 bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu. Sementara bagi negeri-negeri lain, cuti penggal penggal kedua akan bermula pada 4 hingga 12 Sept, dan cuti akhir tahun dari 20 Nov hingga 2 Jan 2011,” katanya.
Alimuddin berkata jumlah hari persekolahan termasuk cuti am tahun depan ialah 210 hari, manakala jumlah cuti penggal 78 hari.
Berita H1N1
KUALA LUMPUR: Tiada kes kematian akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan untuk lima hari berturut-turut dan angka korban kekal 73 kes. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sehingga jam 9 pagi tadi sejumlah 126 pesakit baru dengan gejala penyakit seakan influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan. Katanya, pada masa sama sejumlah 233 kes telah dibenar pulang dan menjadikan baki seramai 1,176 ILI sedang dirawat di 98 buah hospital termasuk tujuh hospital swasta di seluruh negara.
"Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 372 pesakit (31.6 peratus telah disahkan positif H1N1).
"Daripada 372 kes yang telah disahkan H1N1, 40 kes berada di ICU di mana tiga kes adalah kemasukan baru, sementara 11 lagi kes telah keluar dari ICU.
"Daripada 40 kes yang sedang dirawat di ICU, 25 (62.5 peratus) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah seperti berikut: penyakit kronik (10), morbid obesiti (9), kanak-kanak bawah 5 tahun (5), dan penyakit respiratori (1)," katanya.
Monday, September 7, 2009
KUALA LUMPUR: Bilangan korban akibat Influenza A (H1N1) kekal pada 73 apabila tiada kes kematian baru dilaporkan sehingga jam 9 pagi tadi. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata seramai 228 pesakit baru dengan gejala penyakit seakan influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pada masa yang sama 248 kes telah dibenar keluar. "Ini menjadikan baki seramai 1,283 ILI sedang dirawat di 96 buah hospital termasuk tujuh hospital swasta di seluruh negara. "Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 214 pesakit (16.7%) telah disahkan positif H1N1,"
Friday, September 4, 2009


Kapal Selam Kebanggaan Negara
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menegaskan aset terbaru pertahanan negara iaitu kapal selam KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak adalah bukti kesungguhan kerajaan memastikan kedaulatan negara terus selamat dan terjamin. Titah baginda, perolehan dua kapal selam Scorpene dari Perancis itu turut memberikan manfaat dalam mewujudkan satu angkatan tentera negara yang lebih berwibawa dan disegani terutamanya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
‘‘Projek perolehan kapal selam TLDM ini adalah satu pelaburan dan komitmen terbesar yang dibuat oleh kerajaan untuk meningkatkan keupayaan tentera Malaysia dalam menentukan kedaulatan negara terjamin dan selamat daripada sebarang ancaman.
‘‘Selain itu, perolehan aset ketenteraan ini juga membolehkan TLDM khususnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi satu angkatan yang lebih berwibawa di rantau ini,” titah baginda.
KD Tunku Abdul Rahman memulakan pelayaran pulang ke negara ini dari Toulon, Perancis pada 11 Julai lalu selepas selesai pembinaannya serta menjalani latihan selama empat bulan meliputi kemahiran serta penyenggaraan. Dalam tempoh pelayaran yang meliputi jarak sejauh 6,000 batu nautika, KD Tunku Abdul Rahman telah singgah di beberapa pelabuhan utama dunia meliputi Jeddah, Djibouti dan Cochin di India.
Tuanku Mizan turut melahirkan rasa kagum terhadap anak kapal KD Tunku Abdul Rahman yang berjaya mengharungi latihan selama empat tahun bagi memahirkan diri dalam pengendalian serta taktik peperangan kapal selam.
‘‘Beta sedar kapal selam memerlukan warga kerja yang memiliki kecenderungan dan kemahiran yang tinggi bagi mengoperasi dan mengendalikannya.
‘‘Maka kejayaan ini juga hasil dedikasi, kerjasama dan komitmen yang cemerlang semua warga KD Tunku Abdul Rahman selaras dengan cogan kata TLDM iaitu Sedia Berkorban,” jelas baginda.
Tuanku Mizan turut mengingatkan TLDM supaya menjaga dan menggunakan sepenuhnya aset penting dan berteknologi tinggi seperti KD Tunku Abdul Rahman bagi memastikan kredibiliti angkatan laut itu sebagai pasukan yang menjaga perairan negara terus terpelihara.
Wednesday, September 2, 2009
Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 1 Sept. – Ura-ura kemungkinan kakitangan awam akan menikmati bonus sebelum Aidilfitri hangat diperkatakan walaupun Bajet 2010 dijadual dibentangkan pada Oktober ini.
Bayangan mengenai perkara itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Mohd. Hanadzlah baru-baru ini.
‘‘Ya, saya ada timbulkan pada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Kedua supaya jika dapat dipertimbangkan (pembayaran bonus) dan mereka senyum sahaja.
‘‘Saya yakin senyuman yang diberikan itu akan membawa kegembiraan kepada kakitangan kerajaan yang dijangka menyambut Hari Raya Puasa pada 20 September ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdapat 1.2 juta kakitangan kerajaan di seluruh negara dengan 75,000 orang pesara yang layak menerima bonus.
Tengku Adnan berkata, saban hari beliau mendengar rayuan daripada kakitangan kerajaan di Putrajaya terutama dari kumpulan sokongan yang berpendapatan kecil.
‘‘Sebenarnya di Putrajaya ramai kakitangan kerajaan yang berjawatan rendah merayu supaya saya bawakan kepada pengetahuan Perdana Menteri supaya dipertimbangkan bonus atau insentif untuk sambut raya.
‘‘Mereka sedar keadaan ekonomi tidak begitu baik tetapi mereka merayulah kalau boleh kerajaan faham mereka juga dalam keadaan yang tidak begitu stabil ekoran kenaikan harga barang,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS), Omar Osman berkata, belum pernah berlaku dalam sejarah pembayaran bonus dibuat sebelum pembentangan bajet.
‘‘Bagaimanapun, CEUPACS amat berharap agar kerajaan akan bagi bonus kepada kakitangan awam supaya dapat menceria dan memeriahkan lagi sambutan hari raya kami,” katanya.
Thursday, August 20, 2009
KUALA LUMPUR - Sukan Para ASEAN V (KL'09) secara rasmi melabuhkan tirainya semalam dengan menyaksikan Malaysia menduduki tempat kedua di belakang Thailand menerusi pungutan pingat sebanyak 94 emas, 81 perak dan 71 gangsa. Keputusan baik tersebut membolehkan Malaysia mengatasi persaingan hebat yang dipersembahkan oleh kontinjen paralimpik Vietnam yang berjaya mengumpul 73 emas, 57 perak dan 45 gangsa. Thailand mengekalkan kejuaraan yang dicapai ketika di Korat, dua tahun lalu apabila mengumpul 157 emas, 75 perak dan 57 gangsa.
KL'09 merupakan kejohanan Sukan Para ASEAN kali kedua yang dianjurkan oleh Malaysia, setelah menganjurkannya pada 2001. Apa yang lebih manis pada kejohanan KL'09, Malaysia berjaya menambah bilangan emas kepada 94 pingat, berbanding 82 di Korat walaupun acara berkurangan.
Chef-de-Mission Malaysia, Datuk Fathul Razi Bakri berkata, pencapaian kontinjen paralimpik negara pada persaingan kali ini adalah sangat memuaskan. Katanya, dua kejayaan bermakna telah dihasilkan oleh Malaysia di negara sendiri iaitu mempertahankan kedudukan di tempat kedua dan menambah bilangan pingat emas.
"Saya berasa sangat puas hati dengan pencapaian baik ini. Malaysia masih berjaya mengekalkan kedudukan kedua terbaik seperti yang dicatatkan di Korat, Thailand meskipun mendapat tentangan sengit dari beberapa buah negara lain, terutamanya Vietnam.
"KL'09 menyaksikan Malaysia memungut 94 emas, mengatasi catatan 82 emas di Thailand, dua tahun lalu. Malah keputusan ini sememangnya cukup bagus kerana jumlah acara sukan yang dipertandingkan adalah lebih sikit berbanding di Thailand.
"Ia sekali gus menunjukkan petanda bahawa atlet paralimpik negara boleh terus bersinar untuk saingan Sukan Para Asia 2010 dan Sukan Paralimpik 2012," katanya.
20/08/2009 3:09am
GENEVA 20 Ogos - Angka kematian akibat jangkitan selesema babi meningkat kepada 1,799 orang sejak virus baru itu ditemui pada April lalu, kata Pertubuhan Kesihatan Bangsa-bangsa Bersatu (WHO) semalam.
Jumlah keseluruhan kematian diumumkan oleh WHO dalam laman web mereka.
Ghana, Tuvalu dan Zambia adalah negara-negara yang melaporkan kematian buat pertama kali, kata WHO selain menyebut bahawa pandemik influenza A itu telah merebak sehingga ke 170 buah negara.
Kematian terbesar dilaporkan di utara dan selatan Amerika dengan 1,579 kematian diikuti dengan rantau Asia Tenggara dengan 106 kematian manakala di Eropah mencatatkan 53 kematian. - AFP
Tuesday, August 18, 2009
KUALA LUMPUR 17 Ogos - Kerajaan akan membuat pengumuman lebih awal kepada rakyat sekiranya keadaan penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) dilihat mendekati gelombang kedua terutama pada musim tengkujuh yang dijangka berlaku Oktober hingga Disember ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Malaysia tidak terkecuali dari menghadapi situasi yang memudaratkan itu berikutan penularan semasa yang kian meningkat di seluruh dunia ketika ini.
"Kementerian meramalkan masyarakat lebih mudah dijangkiti demam dan selesema pada musim tengkujuh dan situasi ini menyebabkan risiko seseorang dijangkiti selesema babi atau influenza A (H1N1) lebih tinggi.
"Pengisytiharan darurat kesihatan akan diumumkan lebih awal oleh Majlis Keselamatan Negara sekiranya situasi ini berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kesihatan Asia 2009 di sini hari ini.
Menurut Tiong Lai, pihaknya akan terus memantau mengenai situasi semasa penularan H1N1 dan akan mengambil tindakan yang lebih efektif bagi mengelakkan ia terus berlaku.
Tambahnya, kementerian juga telah mengeluarkan arahan kepada semua doktor agar memberi suntikan anti viral kepada pesakit yang mengalami demam lebih daripada dua hari termasuk mereka yang menghidap penyakit serupa influenza (ILI).
"Kerajaan sememangnya sedang berusaha mengawal penularan wabak ini dan apa yang mampu saya katakan di sini ialah Malaysia masih berada dalam keadaan kecemasan kesihatan serta masih terkawal.
"Atas sebab itu, saya tegaskan agar semua pihak bekerjasama dengan kerajaan agar wabak ini tidak terus menular 'dengan sengaja' ," tegasnya.
Mengulas cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kemungkinan menjadikan penutup mulut dan hidung sebagai barang kawalan, Tiong Lai berkata: "Kami sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengenai perkara ini.
"Ia bagi mengelakkan syarikat-syarikat pengeluar mengambil kesempatan dengan meletakkan harga sesuka hati namun masih ada beberapa perkara yang perlu diteliti dan pengumuman harga akan dilakukan dalam masa terdekat." katanya.
Musim tengkujuh dijangka percepat wabak
KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin menghadapi gelombang kedua virus Influenza A (H1N1) pada Oktober, November dan Disember ini kerana musim tengkujuh dijangka mempercepatkan penularan wabak itu. Berikutan itu, Kementerian Kesihatan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengarahkan kumpulan pakar kesihatan kementerian melakukan pemantauan rapi dari semasa ke semasa.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihaknya bimbang virus berkenaan akan merebak dengan serius pada musim tengkujuh kerana hujan berterusan memudahkan orang ramai, terutama kanak-kanak mendapat selesema.
"Kita khuatir komplikasi (selesema) itu kemudian akan bercampur dengan virus H1N1. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) beberapa hari lalu juga sudah mengingatkan semua negara supaya mengambil langkah sewajarnya bagi menghadapi gelombang kedua H1N1.
"Kita memantau keadaan H1N1 secara serius. Jika kita kesan berlaku gelombang kedua, kementerian akan membuat pengumuman awal supaya rakyat dapat mengambil langkah berjaga-jaga," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penjagaan Kesihatan Asia 2009 di sini, semalam.
Liow berkata, ketika ini Malaysia berada di tahap kecemasan kesihatan kerana angka kematian akibat H1N1 masih di bawah 0.1 peratus. "Sekiranya kadar kematian disebabkan H1N1 melebihi 0.4 peratus, kementerian dengan segera akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengisytiharkan darurat kesihatan," katanya.
Beliau menjelaskan mengikut panduan WHO, peratusan kematian H1N1 dikira berdasarkan jumlah kes jangkitan dan didarab 20 serta dibahagi jumlah kematian. Berdasarkan angka korban 64 orang dan 4,425 kes jangkitan sehingga semalam, bermakna peratusan kematian H1N1 di Malaysia kini hanya sekitar 0.007 peratus. Mengikut perangkaan Kementerian Kesihatan semalam, 284 pesakit lagi sedang menerima rawatan di hospital manakala 33 pesakit dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).
Liow berkata, beliau sudah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi semalam berhubung status darurat kesihatan. "Kerajaan mendapati negara belum di tahap untuk diumumkan darurat kesihatan kerana kadar kematian disebabkan virus H1N1 masih di bawah 0.1 peratus.
"Selain daripada jumlah kematian, kementerian juga perlu mengambil kira perkara lain seperti nasihat pakar kesihatan yang sedang memantau situasi virus ini daripada semasa ke semasa," katanya. Liow berkata, hanya MKN mempunyai kuasa untuk mengumumkan sama ada negara perlu diisytiharkan darurat kesihatan atau tidak. Katanya, kementerian juga sudah mengarahkan semua hospital kerajaan dan swasta memberikan ubat antiviral kepada mereka yang didapati menghidap demam secara berterusan selama dua hari. "Ubat yang sama juga perlu diberikan kepada mereka yang mengalami simptom influenza-like illness (ILI). Doktor perlu bertindak segera bagi membendung virus berkenaan," katanya.
Beliau turut menasihatkan rakyat supaya tidak mempercayai khabar angin yang disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya negara sudah mengumumkan darurat kesihatan. Dalam perkembangan lain, Liow berkata, hospital kerajaan masih kekurangan doktor, iaitu hanya 13,902 daripada 24,236 jawatan yang ditawarkan dipenuhi sehingga 31 Jun lalu, "Bagi doktor gigi pula kita tawarkan 2,549 jawatan, tetapi hanya 1,441 dipenuhi manakala ahli farmasi, jumlah jawatan yang ditawarkan ialah 4,030 dan diisi cuma 2,986. Bagi jawatan jururawat kanan sejumlah 44,897 jawatan ditawarkan dan hanya 39,263 dipenuhi," katanya.
Monday, August 17, 2009
17/08/2009 11:40am
BUKIT MERTAJAM 17 Ogos - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sebanyak dua kematian akibat wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) dilaporkan di negara ini hari ini menjadikan jumlah kes kematian meningkatkan kepada 64 kes. Katanya, sebanyak 33 pesakit masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital seluruh negara manakala 284 pesakit dirawat di wad biasa.
"Sehingga hari ini, jumlah kes terkumpul akibat jangkitan H1N1 di Malaysia adalah 4,225 kes," katanya pada sidang akhbar. - Utusan.
17/08/2009 10:43am
BUKIT MERTAJAM 17 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesyorkan supaya penutup mulut dan hidung dijadikan barang kawalan bagi memastikan harga yang dijual adalah berpatutan. Muhyiddin berkata, barangan ini diharap dapat diteliti oleh kementerian yang berkenaan berikutan terlalu banyak aduan berhubung harga penutup mulut dan hidung yang melambung tinggi.
"Saya difahamkan harganya daripada 30 sen telah melambung hingga RM5 seunit ketika ini, jadi diharapkan kementerian berkenaan dapat menjadikan ia barangan kawalan di bawah Akta Kawalan Harga.
"Bekalan juga harus dipastikan cukup selain harga yang munasabah perlu dipastikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kerana penutup mulut dan hidung sudah menjadi satu keperluan ketika keadaan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) seakan-akan menjadi darurat kesihatan," katanya. - Utusan.