LIOW (kiri) bersama Dr Ismail pada sesi taklimat bersama media, di Putrajaya, semalam.
400,000 dos vaksin ditempah
Kementerian terima bekalan bernilai RM14 juta Oktober, Januari depan
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sudah menempah 400,000 dos vaksin Influenza A (H1N1) bernilai RM14 juta yang dijangka diterima pada Oktober dan Januari depan. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata vaksin itu mampu memenuhi keperluan 200,000 rakyat negara ini dan pihaknya bersedia menambah stok bekalan vaksin itu dari semasa ke semasa. "Suntikan vaksin akan diberikan kepada petugas hadapan khususnya kakitangan kementerian yang berurusan secara langsung dengan pesakit dan golongan yang berisiko tinggi seperti obesiti serta pengidap diabetes," katanya selepas mempengerusikan majlis dialog bersama media mengenai langkah menangani pandemik H1N1 di sini, semalam.
Liow turut mengingatkan semua doktor di klinik dan hospital swasta supaya mematuhi Garis Panduan Pencegahan H1N1 dikeluarkan kementerian. "Kementerian akan mengadakan pertemuan dengan doktor klinik dan hospital swasta minggu ini bagi memastikan mereka mematuhi garis panduan ditetapkan.
Pematuhan terhadap garis panduan ini bertujuan memastikan doktor dapat memberikan bantuan serta rawatan tepat dan cepat kepada pesakit ," katanya. Mengenai ubat antiviral, Liow berkata, semua klinik dan hospital swasta boleh mendapatkan bekalan ubat itu daripada pembekal pada harga RM80 sekotak berbanding RM160 hingga RM180 sekotak sebelum ini. Katanya, langkah itu bertujuan memudahkan klinik dan hospital swasta merawat pesakit yang disahkan positif H1N1.