Darurat kesihatan diumum lebih awal jika dekati tahap kedua
KUALA LUMPUR 17 Ogos - Kerajaan akan membuat pengumuman lebih awal kepada rakyat sekiranya keadaan penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) dilihat mendekati gelombang kedua terutama pada musim tengkujuh yang dijangka berlaku Oktober hingga Disember ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Malaysia tidak terkecuali dari menghadapi situasi yang memudaratkan itu berikutan penularan semasa yang kian meningkat di seluruh dunia ketika ini.
"Kementerian meramalkan masyarakat lebih mudah dijangkiti demam dan selesema pada musim tengkujuh dan situasi ini menyebabkan risiko seseorang dijangkiti selesema babi atau influenza A (H1N1) lebih tinggi.
"Pengisytiharan darurat kesihatan akan diumumkan lebih awal oleh Majlis Keselamatan Negara sekiranya situasi ini berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kesihatan Asia 2009 di sini hari ini.
Menurut Tiong Lai, pihaknya akan terus memantau mengenai situasi semasa penularan H1N1 dan akan mengambil tindakan yang lebih efektif bagi mengelakkan ia terus berlaku.
Tambahnya, kementerian juga telah mengeluarkan arahan kepada semua doktor agar memberi suntikan anti viral kepada pesakit yang mengalami demam lebih daripada dua hari termasuk mereka yang menghidap penyakit serupa influenza (ILI).
"Kerajaan sememangnya sedang berusaha mengawal penularan wabak ini dan apa yang mampu saya katakan di sini ialah Malaysia masih berada dalam keadaan kecemasan kesihatan serta masih terkawal.
"Atas sebab itu, saya tegaskan agar semua pihak bekerjasama dengan kerajaan agar wabak ini tidak terus menular 'dengan sengaja' ," tegasnya.
Mengulas cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kemungkinan menjadikan penutup mulut dan hidung sebagai barang kawalan, Tiong Lai berkata: "Kami sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengenai perkara ini.
"Ia bagi mengelakkan syarikat-syarikat pengeluar mengambil kesempatan dengan meletakkan harga sesuka hati namun masih ada beberapa perkara yang perlu diteliti dan pengumuman harga akan dilakukan dalam masa terdekat." katanya.