Guru korban kelapan H1N1
KUALA LUMPUR: Dua lagi kematian dicatatkan akibat selesema babi (H1N1), menjadikan jumlah keseluruhan lapan membabitkan seorang guru wanita berusia 51 tahun di Unit Rawatan Rapi, Hospital Seremban dan seorang ibu berusia 23 tahun yang baru bersalin di Hospital Miri. Menteri Kesihatan, Datuk sri Liow Tiong Lai dalam kenyataan akhbarnya berkata, guru berkenaan dari Kuala Selangor juga menghidap radang paru-paru disahkan meninggal jam 11 malam tadi. Dia mendapat rawatan di klinik swasta dan Hospital Sungai Buloh sebelum ke Hospital Seremban, kata Liow. Ibu muda berkenaan meninggal pula dunia jam 4 pagi semalam selepas dua minggu melahirkan bayi perempuan.
Wanita berkenaan dimasukkan ke hospital sejak 17 Julai lalu dan disahkan positif selesema babi sebelum meninggal akibat gangguan pernafasan serius awal pagi semalam menjadikannya korban pertama H1N1 di Sawarak. Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, berkata bayinya bagaimanapun sihat. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam negeri berkata, keadaan ibu muda itu bertambah serius sejak 23 Julai. Doktor dari Kuching turut dihantar ke Miri untuk merawatnya, namun gagal.
"Imuniti wanita mengandung dan selepas bersalin rendah. Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkannya, beliau meninggal awal pagi ini," katanya di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam. Kelmarin, budak lelaki 11 tahun mangsa keenam selesema babi di negara ini meninggal di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu. Dr Chan berkata, setakat ini 110 kes jangkitan tempatan dan 25 kes import dilaporkan di Sarawak dan keadaan agak membimbangkan. "Keadaan semakin serius. Saya tidak suka menggemparkan orang ramai tetapi semua pihak harus memberi kerjasama mengawal wabak ini," katanya.
Justeru, katanya, orang ramai dinasihat mendapatkan rawatan di klinik atau hospital jika demam, selesema, batuk atau mengesan tanda dijangkiti wabak itu.
Sementara itu di KELANTAN, 13 kes baru dijangkiti H1N1 menjadikan jumlah 21 kes yang kebanyakannya di pusat pengajian tinggi. Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, berkata empat pusat pengajian tinggi itu ialah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pengkalan Chepa; Kolej Kejururawatan Masyarakat, Pasir Mas; Universiti Malaya, Kampus Nilam Puri dan Kolej Islam Sains dan Teknologi (Kist), Bachok. Katanya, daripada 13 kes baru, hanya dua ditahan dalam wad, manakala selebihnya dikuarantin.
Di KUANTAN, Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) menangguh pendaftaran pelajar lama sehingga minggu depan berikutan kira-kira 50 pelajar baru dikesan mempunyai tanda demam, batuk dan selesema. Pengarahnya, Abu Bakar Ahmad, berkata 50 daripada 1,500 pelajar baru mengadu demam, selesema dan batuk sejak kelmarin. Berikutan itu, katanya pihaknya mendapatkan kerjasama Jabatan Kesihatan melakukan pemeriksaan kesihatan dan saringan ujian darah pelajar. Beliau menjangkakan keputusan ujian darah itu diketahui sehari dua lagi.
Di PUTRAJAYA, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata sehingga semalam 17 kes baru dilapor menjadikan keseluruhan 1,446 kes dan daripada jumlah itu 574 adalah kes import, manakala 872 kes jangkitan tempatan. "Semua kes dicatat semalam adalah jangkitan tempatan dan sporadik atau terpencil membabitkan warga Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, semalam. Beliau berkata, setakat semalam 1,408 kes pesakit dijangkiti H1N1 sudah sembuh dan hanya 29 kes menerima rawatan antiviral di hospital. Daripada jumlah itu, beliau berkata, lapan pesakit dirawat di ICU dan sembilan lagi sedang menerima rawatan antiviral di rumah. "Daripada lapan kes yang dirawat di ICU, empat daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu masing-masing satu bagi obesiti dan hamil, manakala dua lagi mempunyai imuniti rendah," katanya. Bagi kes sporadik pula, Dr Ismail berkata, tujuh pesakit sedang dirawat di wad isolasi hospital, icu (1) dan pesakit luar (9).
Posted by: Zul Ezam bin Kamarul Ariffin
Guru Data SMK Dangi