flashvortex

Sunday, August 9, 2009

Kes selesema babi ragut 2 lagi nyawa

KUALA LUMPUR: Dua lagi kematian akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan di negara ini, menjadikan bilangan keseluruhan korban 18 orang manakala kes jangkitan meningkat kepada 1,578 dengan 53 kes baru dicatatkan sehingga semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, dua mangsa terbaru adalah kanak-kanak berusia setahun empat bulan yang meninggal di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, manakala seorang lagi lelaki berusia 63 tahun yang meninggal dunia di Hospital Selayang. Seramai 64 orang masih di dirawat di hospital dan 14 daripada mereka berada di Unit Rawatan Rapi (ICU). Katanya, selain dua kematian terbaru, kementerian itu turut mengesahkan kematian seorang budak lima tahun yang dilaporkan, kelmarin.

“Kanak-kanak berusia setahun empat bulan itu mengalami demam dan selesema selama seminggu sebelum dimasukkan ke hospital pada 2 Ogos. Mangsa disahkan dijangkiti virus itu dua hari kemudian dan meninggal dunia, kelmarin.

“Lelaki itu pula dimasukkan ke hospital pada 2 Ogos lalu dan disahkan positif H1N1 dan tibi pada 4 Ogos sebelum meninggal pada 6 Ogos lalu akibat pneumonia yang teruk,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik HSC Jepun dan Karnival Kesihatan Jepun di sini, semalam.

Selain itu, Liow berkata, kementerian turut memantau rapi sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, berikutan ancaman wabak H1N1 berkenaan. Katanya, setakat ini, keadaan wabak itu stabil dan pihaknya akan mengambil pelbagai langkah termasuk menyaring suhu badan peserta dan orang ramai yang hadir. “Buat masa ini, persediaan sambutan masih diteruskan” katanya.

Beliau berkata, peserta sambutan Hari Kemerdekaan akan dipantau rapi bagi memastikan mereka yang mempunyai simptom, mendapat rawatan segera. Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata wabak H1N1 kini menjadi ancaman serius kepada negara dan menasihati orang ramai supaya tidak menghadiri majlis perhimpunan di tempat awam. Beliau meminta semua rakyat mengambil langkah pencegahan secara menyeluruh berikutan angka kematian H1N1 terus dan banyak sekolah dan institusi pendidikan tinggi ditutup kerana terdapat kes jangkitan.

Di SEGAMAT, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai, berkata jumlah kematian akibat H1N1 di negeri ini terus meningkat kepada enam orang apabila dua kematian dicatatkan malam kelmarin membabitkan seorang penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Segamat, di sini dan seorang bayi perempuan berusia 16 bulan di Johor Bahru. Mangsa, Siti Aisyah Koestiadi, 23, penuntut tahun akhir Ijazah Perakaunan berasal dari Kampung Bukit Bintang, di sini, disahkan meninggal dunia di Hospital Segamat kira-kira jam 8 malam kelmarin selepas dimasukkan ke wad sejak Ahad lalu.

Posted by: Zul Ezam Kamarul Ariffin
Guru Data SMKD