flashvortex

Thursday, August 6, 2009


Minggu Peperiksaan Percubaan PMR SMK Dangi berjalan lancar

Peperiksaan Percubaan Bersama PMR sedang rancak berjalan dari 3 Ogos hingga 7 Ogos 2009 di seluruh sekolah menengah di Negeri Sembilan walaupun ancaman wabak H1N1 semakin merebak serta terdapat beberapa sekolah yang terpaksa ditutup.

Namun, bagi pelajar-pelajar SMK Dangi, keadaan ini tidak sedikitpun menjejaskan tumpuan mereka dalam menghadapi peperiksaan tersebut. Menurut salah seorang pelajar, Ummi Kalsum binti Abdullah, dia berasa sangat gembira kerana persekolahan masih berjalan lancar dan dia telah bersedia menghadapi peperiksaan tersebut, walaupun peperiksaan ini hanya merupakan percubaan sahaja namun dapat dijadikan kayu pengukur sejauh mana prestasi pelajaran mereka sehingga kini.

Seorang pelajar lain pula, Chen Woei Ying mengakui agak sedikit gementar untuk menghadapi peperiksaan tersebut namun dia sedar untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan memandangkan peperiksaan sebenar hanya tinggal kira-kira 2 bulan sahaja lagi.

Sementara itu, wakil pemantau perjalanan peperiksaan dari PPD Kuala Pilah amat berpuas hati dengan perjalanan peperiksaan Percubaan PMR yang sedang berlangsung, sama ada dari segi aspek penyediaan dewan peperiksaan dan aspek pengawasan oleh guru. Diharapkan para pelajar SMK Dangi akan dapat mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan seterusnya berjaya meningkatkan tahap kehidupan mereka pada masa akan datang.

Posted by: Kamarulfauzi Esa
Setia Usaha Peperiksaan SMKD