Pencapaian atlet paralimpik amat membanggakan
KUALA LUMPUR - Sukan Para ASEAN V (KL'09) secara rasmi melabuhkan tirainya semalam dengan menyaksikan Malaysia menduduki tempat kedua di belakang Thailand menerusi pungutan pingat sebanyak 94 emas, 81 perak dan 71 gangsa. Keputusan baik tersebut membolehkan Malaysia mengatasi persaingan hebat yang dipersembahkan oleh kontinjen paralimpik Vietnam yang berjaya mengumpul 73 emas, 57 perak dan 45 gangsa. Thailand mengekalkan kejuaraan yang dicapai ketika di Korat, dua tahun lalu apabila mengumpul 157 emas, 75 perak dan 57 gangsa.
KL'09 merupakan kejohanan Sukan Para ASEAN kali kedua yang dianjurkan oleh Malaysia, setelah menganjurkannya pada 2001. Apa yang lebih manis pada kejohanan KL'09, Malaysia berjaya menambah bilangan emas kepada 94 pingat, berbanding 82 di Korat walaupun acara berkurangan.
Chef-de-Mission Malaysia, Datuk Fathul Razi Bakri berkata, pencapaian kontinjen paralimpik negara pada persaingan kali ini adalah sangat memuaskan. Katanya, dua kejayaan bermakna telah dihasilkan oleh Malaysia di negara sendiri iaitu mempertahankan kedudukan di tempat kedua dan menambah bilangan pingat emas.
"Saya berasa sangat puas hati dengan pencapaian baik ini. Malaysia masih berjaya mengekalkan kedudukan kedua terbaik seperti yang dicatatkan di Korat, Thailand meskipun mendapat tentangan sengit dari beberapa buah negara lain, terutamanya Vietnam.
"KL'09 menyaksikan Malaysia memungut 94 emas, mengatasi catatan 82 emas di Thailand, dua tahun lalu. Malah keputusan ini sememangnya cukup bagus kerana jumlah acara sukan yang dipertandingkan adalah lebih sikit berbanding di Thailand.
"Ia sekali gus menunjukkan petanda bahawa atlet paralimpik negara boleh terus bersinar untuk saingan Sukan Para Asia 2010 dan Sukan Paralimpik 2012," katanya.