Puasa didik rohani jauhi sifat keji
Keseronokan beramal pada Ramadan semakin terasa selepas lebih 10 hari berpuasa. Umat Islam juga mula memahami bahawa bukan berpuasa saja ibadah yang boleh dilakukan pada bulan rahmat ini, tetapi juga amalan lain seperti bersedekah, beriktikaf, bertadarus, menunaikan umrah dan qiyam pada malam sunyi, mudah-mudahan mendapat rahmat lailatul qadar dan sebagainya. Puasa juga mendidik rohani agar menjauhi semua sifat terkeji yang didalangi iblis. Amalan bersedekah seperti memberi makan orang berbuka puasa, sudah menjadi rutin umat Islam. Dulu, amalan ini dilakukan kepada anak yatim dan golongan miskin, tetapi hari ini ramai dermawan menunaikan hajat dengan bersedekah di surau atau masjid tanpa mengira golongan disasarkan. Anak yatim dan orang miskin sudah mewah dengan juadah berbuka yang diadakan di hotel, bahkan mereka diberikan lagi duit raya walau Ramadan baru sehari dua.
Seperti dimaklumi, salafus salih seperti Abdullah bin Umar, Dawud Ath-Tha'i, Malik bin Dinar, Ahmad bin Hambal, Hasan Al-Bashri, Ibnul Mubarak dan lain-lain lagi sentiasa berlumba-lumba memberi makan dan mereka lebih mengutamakannya daripada ibadah lainnya sama ada dengan memberi makan orang lapar atau memberi makan saudara yang salih, bukan semata-mata seseorang fakir saja. Keadaan ini berlarutan walaupun selepas Ramadan kerana nikmat berkasih sayang dengan membantu sesama mukmin mendekatkan diri mereka dengan Allah SWT. Dalam sebuah hadis diriwayatkan At-Timizi (dengan sanad hasan), Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa saja di antara orang mukmin yang memberi makan saudaranya sesama mukmin yang lapar, nescaya Allah akan memberinya buah-buahan syurga. Siapa saja di antara orang mukmin memberi minum saudaranya sesama mukmin yang dahaga, nescaya Allah memberinya minuman Rahiqul Makhtum."
Sekiranya umat Islam menghayati nikmat kehambaan dan merasai manisnya iman kerana berbuat baik sesama Muslim, pasti semuanya tidak melepaskan peluang Ramadan kali ini untuk menunaikan hajat saudara yang kurang berkemampuan, atau sekurang-kurangnya mengurangkan beban orang susah.
(Bersambung)...