Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!
Kelebihan Ramadan
Mengenai kelebihan bulan Ramadan, terdapat banyak hadis Nabi SAW yang membicarakan tentangnya. Antaranya: "Bulan Ramadan adalah bulan keampunan. Apabila seseorang hamba berpuasa pada permulaan bulan Ramadan, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya hingga akhir bulan tersebut hingga ke Ramadan berikutnya. Bagi hamba tersebut, dibina mahligai yang indah di dalam syurga, pintunya diperbuat dari emas bagi setiap hari dia berpuasa dan 70,000 malaikat memohon keampunan untuknya dari pagi hingga tenggelam matahari".
Bulan Ramadan dikenali dengan 'bulan kesabaran'. Ini kerana pada amalan berpuasa pada bulan ini menuntut kita bersabar menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa dan perkara yang membawa kepada kurangnya pahala puasanya. Rasulullah SAW sendiri menamakan bulan Ramadan dengan bulan kesabaran. Dalam satu hadis dari Salman r.a yang diriwayatkan oleh Khuzaimah di dalam Sohihnya bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: "Ia adalah bulan kesabaran dan pahala kesabaran ialah syurga." Menurut pendapat cendekiawan Islam, sabar boleh dibahagi kepada tiga:
- Pertama: Sabar dalam mentaati perintah Allah SWT.
- Kedua: Sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.
- Ketiga: Sabar dalam menerima takdir Allah SWT yang perit dan menyakitkan.
Kesemua jenis sabar ini terangkum di dalam ibadah puasa, kerana mereka yang berpuasa perlu bersabar dalam mentaati perintah Allah SWT, bersabar meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah iaitu kehendak syahwat dan bersabar menghadapi keperitan rasa lapar, dahaga dan lemah badan kerana melakukan ibadah puasa. Ramadan juga adalah bulan digandakan amalan kebaikan yang dilakukan. Abu Bakar ibn Abi Maryam r.a berkata daripada sheikh-sheikhnya, bahawa mereka berkata: "Apabila tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu meluaskan nafkah pada bulan tersebut, kerana memberi nafkah pada bulan tersebut digandakan pahalanya seperti memberi nafkah pada jalan Allah dan sekali bertasbih pada bulan tersebut lebih afdal daripada seribu tasbih pada bulan yang lain. Satu solat yang dikerjakan pada bulan Ramadan lebih afdal daripada seribu rakaat solat yang dikerjakan pada bulan yang lain".
Ramadan adalah bulan yang digandakan segala amal kebaikan. Allah SWT menggandakan ganjaran amalan berpuasa melebihi amalan-amalan yang lain. Maka berpuasa di bulan Ramadan sudah tentu menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding puasa pada bulan lain. Inilah antara kesan kemuliaan bulan Ramadan dan puasa Ramadan yang difardhukan oleh Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya. Ibadah puasa merupakan suatu kefardhuan yang jami', (komprehensif dan merangkumi ibadah-ibadah yang lain) dan ibadah yang kamil (sempurna dan lengkap) kerana melalui puasa seseoraang mampu mengenal kemanisan iman dan ihsan. Intipatinya ialah hati dan roh. Tujuannya supaya orang yang berpuasa dapat menghayati dan merasai kehidupan golongan soleh yang telah berjaya menyucikan jiwa dan raga, orang-orang yang luhur dan mendekatkan diri kepada Allah SWT, tidak melakukan kefasiqan, perbalahan, kemaksiatan zahir dan batin.
Ibadah puasa juga merupakan suatu amalan simbolik, menjadi rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya. Lantaran itu, orang yang berpuasa diberi keistimewaan Allah SWT memilih dari senarai carta ibadah-ibadah yang lain untuk disimpan di dalam perbendaharaannya sebagai jaminan untuk dipersilakan masuk ke syurga dan layak bertemu dengan-Nya. Rasulullah SAW mengungkapkan dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Tuhan-Nya yang bermaksud: "Semua amalan anak Adam adalah bagi dirinya melainkan puasa. Ia adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya"