Soalan: Pada bulan puasa, ramai yang datang masjid awal pada Jumaat. Sayangnya, ada di kalangan mereka bukan beribadat tetapi memenuhi masa dengan tidur. Bagaimana seharusnya kita memanfaatkan masa yang berharga ini?
Jawapan: Dalam hal ini, elok kita hayati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati". (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi) Keadaan mereka yang datang awal ke masjid tetapi tidak dimanfaatkan dengan ibadat sunat termasuk baca al-Quran bolehlah kita kategorikan sebagai golongan yang lalai. Apabila kita menganggap bahawa kehidupan kita masih lagi panjang, kita tidak merasai perlunya menjadikan Ramadan yang kita temui itu sebagai yang terbaik. Persoalannya, tahukah kita bila kita akan mati. Sebab itu, kita perlu ada semangat dan tanamkan azam bahawa Ramadan kali ini adalah yang terakhir. Lalu, peluang ini perlu direbut dan diisi dengan segala ibadat yang termampu. Jika kita sampai awal di masjid, sepatutnya kita ambil kesempatan untuk solat sunat kemudian membaca al-Quran dan berzikir. Jangan pula datang awal lebih-lebih lagi di masjid yang ada penghawa dingin kemudian terus tidur. Sepatutnya, setelah sekian lama kita berpuasa iaitu sejak akil baligh, semakin baik dan berkualiti puasa dan amalan kita di bulan Ramadan. Malah, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Siapa yang berpuasa ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu. (riwayat Bukhari dan Muslim) Maka, selepas kita mencapai tahap ini barulah bertepatan kita menyambut Hari Raya Aidilfitri iaitu kembali kepada fitrah (diampunkan dosa). Maka, ketika itu kita ibarat kain putih bersih dan perlu membuka lembaran baru hidup dengan penuh ketakwaan.Untuk merancakkan sambutan puasa, elok juga kita budayakan amalan mengucap 'Selamat Menyambut Ramadan' kepada rakan-rakan kita. Sebabnya, Ramadan itu penuh dengan keberkatan yang perlu kita ambil peluang memanfaatkannya melalui pelbagai perlakuan ibadat yang disyariatkan. Lagipun, belum tentu kita diberi kesempatan bertemu dengannya pada tahun hadapan.