flashvortex

Wednesday, August 12, 2009

Tindakan bendung wabak H1N1 dipergiat
12/08/2009 7:40pm

KUALA LUMPUR 12 Ogos — Tindakan membendung wabak Influenza A(H1N1) dipergiatkan di seluruh negara, terutama bagi meningkatkan kesedaran rakyat pentingnya mereka mengelak diri daripada terdedah kepada risiko wabak itu.

Di SEREMBAN, pihak berkuasa mula menjalankan saringan terhadap penjawat awam yang bertugas di Wisma Negeri di sini serta orang ramai yang berurusan di pejabat itu. Hari ini, tiga pelawat tidak dibenarkan masuk ke bangunan itu kerana suhu badan tinggi, iaitu lebih daripada 38 darjah selsius. Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu pemberita selepas mesyuarat Exco Negeri bahawa saringan itu dibuat di pintu masuk Wisma Negeri bagi mengelakkan wabak merebak ke pejabat kerajaan. “Tambahan pula kita menggunakan sistem hawa dingin berpusat, kuman ini boleh merebak melalui sistem hawa dingin,” katanya. Beliau meminta orang ramai supaya tidak menyerahkan perkara penjagaan kesihatan dan tindakan pencegahan kepada kerajaan semata-mata. Menurutnya, kerajaan negeri juga telah mengurangkan penganjuran majlis-majlis rasmi yang dianggap kurang penting.

Di IPOH, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Perak Datuk Nadzri Ismail menyarankan agar umat Islam mengadakan solat hajat dan tolak bala. Beliau juga meminta kerajaan negeri menganjurkan solat hajat diikuti bacaan Yassin secara serentak di semua masjid dan surau di negeri itu ekoran penularan wabak Influenza A(H1N1) yang semakin serius. “Selain dari bekalan ubat, kaedah rawatan dan sesi penerangan yang dimulakan di sekolah-sekolah, kita juga perlu mengadakan majlis keagamaan ini,” katanya.

Di ALOR SETAR, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak turut menasihatkan rakyat supaya mengadakan solat hajat dan majlis bacaan Yassin memohon supaya rakyat dilindungi daripada wabak berkenaan. Mengenai majlis keramaian, beliau berkata kerajaan negeri masih menunggu pandangan serta arahan daripada kerajaan pusat sebelum membuat keputusan sama ada akan membatalkan semua penganjuran majlis berkenaan. Sementara itu, pihak pentadbiran sekolah-sekolah meneruskan sesi penerangan dan pemeriksaan suhu badan pelajar bagi memantau kesihatan mereka.

Di KUANTAN, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff mengarahkan semua sekolah di seluruh Pahang menangguhkan aktiviti luar sekolah untuk mengawal penularan wabak tersebut.

BERNAMA - Dipetik dari Utusan Malaysia Online
Posted by: Zul Ezam Kamarul Ariffin