flashvortex

Saturday, August 15, 2009

TINGKATKAN IBADAT DALAM BULAN SYAABAN

BULAN Rejab telah berlalu meninggalkan kita. Ini bermakna latihan peringkat pertama untuk memasuki gerbang Ramadan telah pun berlalu. Ada di antara kita yang telah berjaya melatih diri dengan melakukan ibadah puasa, qiamullail, membanyakkan istighfar, selawat, bacaan al-Quran dan sebagainya.
Bermacam-macam amalan kebaikan yang dihidangkan oleh Allah kepada hamba-Nya untuk dilakukan bagi mendekatkan diri kepada-Nya kerana Allah Maha Mengetahui hamba-Nya akan bosan jika melakukan satu amalan tertentu sahaja.
Namun, tidak semua kita yang prihatin dengan kedatangan saat yang penting dan mulia ini kerana keprihatinan terhadap dunia telah menguasai diri. Akibatnya, kita lebih peka dengan tarikh Mega Sale di pusat-pusat membeli belah sempena hari kemerdekaan dan hari raya daripada tarikh dan masa yang lebih penting dan bernilai dari dunia dan seisinya.
Oleh kerana itu, pakaian dan perhiasan lahiriah untuk menyambut hari raya telah kita rancang dengan sempurna tetapi pakaian dan perhiasan batiniah bagi menyambut Ramadan dan Hari Aidilfitri kita lupakan kerana penyakit cintakan dunia telah membarah di hati.