flashvortex

Tuesday, August 18, 2009

Tuan Mohd. Irwan Tuan Daud berbual dengan Dr. Mahathir Mohamad sambil diperhatikan datuknya, Tuan Yaakob Mat dan nenek, Tuan Embong Tuan Kecik pada majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Petronas.


Kurang upaya bukan penghalang

Ketinggiannya hanya 98 sentimeter, namun keadaan itu tidak sedikit pun menjadi penghalang untuknya mencipta kejayaan cemerlang. Tuan Mohd. Irwan Tuan Daud, 22, muncul antara pelajar cemerlang Universiti Teknologi Petronas (UTP) apabila lulus dengan keputusan Kelas Kedua Atas, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Elektrik dan Elektronik. Pada masa yang sama, beliau juga merupakan penerima Anugerah Projek Tahun Akhir.

Ketika ditemui, anak sulung daripada dua beradik ini berkata, beliau tidak pernah menjadikan kecacatan yang dialami sejak lahir itu sebagai alasan untuk tidak cemerlang seperti rakan-rakan normal lain.

Malah, katanya, seperti rakan-rakan lain, beliau juga berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak menghampakan harapan menggunung keluarganya di kampung.
''Saya belajar seperti orang lain. Tiada beza," katanya pada majlis Konvokesyen Kesembilan Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini hari ini.

Kegembiraan Tuan Mohd. Irwan yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan, sempena hari istimewanya itu turut diraikan oleh ibu, datuk dan neneknya. Bagaimanapun, bekas pelajar tajaan Petronas ini memberitahu, beliau kini masih menunggu tawaran pekerjaan daripada syarikat-syarikat berkenaan.

''Saya ada menghantar permohonan kerja kepada dua, tiga syarikat dan telah menghadiri temu duga dengan Petronas baru-baru ini," katanya.

Ditanya apa nasihatnya kepada rakan-rakan kurang upaya lain supaya mereka juga menjadi cemerlang sepertinya, Tuan Mohd. Irwan berkata: ''Jangan rasa rendah diri. Yang penting kita belajar bersungguh-sungguh."