flashvortex

Thursday, September 3, 2009

TAZKIRAH RAMADHAN SIRI 9

Menilai tingkat tadabbur terhadap ayat-ayat al-Quran

Ramadan al-Mubarak pastinya menggamit memori sejarah besar bagi seluruh Umat Islam lantaran di dalam bulan inilah berlakunya penurunan al-Quran atau disebut sebagai Nuzul al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: Bulan Ramadan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). (al-Baqarah: 185) Al-Quran diturunkan untuk dihayati setiap perkatan dan bait-bait maksudnya. Firman Allah yang bermaksud: (Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab yang mempunyai banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayat-Nya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna sebagai peringatan dan iktibar. (Shaad: 29).
Kefahaman yang tepat dan mendalam terhadap isi kandungan al-Quran akan menjadikan seseorang hamba itu bertambah teguh keimanannya kepada Allah SWT. Dr. 'Aid Ibn Abdullah Al Qarni mengatakan: "Seseorang itu tidak dianggap membaca al-Quran jika tidak menghayati (tadabbur) apa yang dibacanya kerana tadabbur merupakan sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia. Tadabbur melahirkan iman, menanamkan keikhlasan dalam hati dan memberikan ruang dan dapatan ilmu kepada manusia tentang ketauhidan. "Keyakinan dan keutuhan seseorang itu kepada Allah SWT akan semakin bertambah cantik sekiranya menghayati setiap untaian kalam Allah SWT". (Sejenak Bersama Hidangan Al-Quran)
Selain itu, hafalan ayat-ayat Allah SWT di samping tadabbur merupakan usaha yang sangat efektif untuk mengecapi roh al-Quran. Natijah istiqamah dalam gerak kerja murni ini akan memberi kekuatan bagi setiap hamba dalam mengharungi mehnah dan tribulasi yang menimpa dalam kehidupan. Namun persoalannya adakah setiap dari kita berusaha memperoleh nikmat kefahaman dan tadabbur yang dinyatakan dalam setiap tilawah yang dibaca, tidak berusaha memahami dan memikirkan isi al-Quran? Firman Allah SWT yang bermaksud: (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)? (Muhammad: 24)
Berapa ramai pembaca al-Quran yang membaca ayat-ayat al-Quran, namun akhlaknya tidak meneladani akhlak nabi SAW serta kehidupannya jauh dari garapan dan ajaran al-Quran al-Karim. Mereka membaca al-Quran sebagaimana puak al-khawarij membaca al-Quran. Bacaan al-Quran mereka tidak meruntun dan menyelinap masuk ke dalam hati sanubari dan hanya mengikut desakan hawa nafsu semata-mata.
Ali r.a pernah berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Pada akhir zaman kelak akan muncul kaum yang muda usia dan lemah akalnya. Mereka berkata-kata seolah-olah mereka adalah manusia yang terbaik. Mereka membaca al-Quran tetapi tidak melepasi kerongkong mereka. Mereka keluar dari agama sebagaimana anak panah menembusi binatang buruan. Apabila kamu bertemu dengan mereka, maka bunuhlah mereka kerana sesungguhnya, membunuh mereka akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah pada hari kiamat. (riwayat al-Imam al-Bukhari, Muslim, al-Nasai, Abu Daud).