flashvortex

Tuesday, September 29, 2009

Pengaruh media dalam P&P

UNSUR media dalam pendidikan tidak boleh dipisahkan. Masing-masing mempunyai hubungan rapat dan saling lengkap melengkapi. Walaupun dalam sistem pendidikan negara tidak mempunyai mata pelajaran media secara khusus namun unsur berkenaan boleh diselitkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Kini proses P&P menjadi lebih berkesan, canggih dan mudah difahami. Komputer dilengkapi sistem bunyi serta kamera membolehkan guru menerangkan sesuatu topik dengan lebih jelas. Kecanggihan itu menyuntik semangat serta perhatian murid untuk terus mengikuti sesuatu pengajaran, selain mewujudkan proses pembelajaran dua hala.

Menyedari pentingnya peranan media dalam proses pembelajaran harian, menjadi tanggungjawab semua pihak terutama pelaksana dasar memastikan kemudahan media digunakan secara optimum dalam menarik minat pelajar di kelas. Sebagai contoh, bagi mata pelajaran sains, setiap pengenalan mahupun penerangan mengenainya boleh dilaksanakan secara lebih berkesan menerusi media. Unsur media boleh diterapkan menerusi sistem pendidikan sedia ada dengan mengambil kira aktiviti pengiklanan, pengucapan awam, penerbitan dan penyiaran. Semua kegiatan itu memberi peluang pelajar meneroka sesuatu yang baru untuk dikongsi dan dimanfaatkan bersama. Sebagai contoh menerusi pengucapan awam, pelajar dapat panduan berkesan berhadapan dengan khalayak dengan penuh yakin. Ini boleh dilaksanakan dengan mengadakan aktiviti seperti ucapan dan syarahan.

Begitu juga nilai kreativiti yang ditonjol menerusi pengiklanan. Aktiviti sedemikian memberi peluang pelajar meneroka sesuatu yang baru, sekali gus memberi ilham mereka untuk berfikir secara kreatif dan inovasi. Semua usaha ini penting kerana media sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian. Malah ia membangkitkan inspirasi kepada individu untuk meneroka ilmu baru. Berhadapan dunia tanpa sempadan, menjadi tanggungjawab semua pihak terutama ibu bapa dan guru menangani masalah penyalahgunaan media di kalangan pelajar. Pendidikan serta panduan awal penting supaya mereka dapat berfikir mengenai baik dan buruknya pengaruh media. Pendedahan awal penting kerana pelajar dapat melihat kegunaan media dan mengoptimumkan penggunaan dengan mengambil yang baik dan membuang jauh perkara negatif.

Sejak kebelakangan ini, pelajar menjadikan media sebagai saluran alternatif melakukan aktiviti tidak berfaedah termasuk melayari laman web tidak sesuai dengan usia hingga terikut-ikut dengan perwatakan negatif hingga menjejaskan prestasi dan imej mereka. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku jika pelajar didedahkan lebih awal mengenai kebaikan yang perlu dijadikan panduan dan keburukan untuk dihindari. Sebelum ini sudah ada cadangan supaya pendidikan media diperkenalkan di sekolah, bagaimanapun ia tidak dilaksanakan kerana jumlah mata pelajaran sedia ada sudah banyak dan membebankan pelajar.

Bagaimanapun pendidikan itu boleh dilaksanakan dengan hanya menyelit unsur media dan komunikasi dalam mata pelajaran sedia ada. Guru perlu kreatif mengaitkan sesuatu topik dan hubungannya dengan media. Malaysia kini memiliki lima juta pelajar dengan lebih 350,000 guru yang begitu dedikasi menjalankan tugas. Mereka boleh memanfaatkan kemudahan peralatan komunikasi antaranya komputer dan internet dalam menerapkan unsur media dalam proses pengajaran. Kaedah pengajaran secara kreatif dan inovatif mampu melahirkan generasi muda yang lebih seimbang dan mampu menganalisis sesuatu isu serta boleh bertindak secara rasional apabila berhadapan dalam kesulitan.