flashvortex

Showing posts with label Zul Ezam Kamarul Ariffin. Show all posts
Showing posts with label Zul Ezam Kamarul Ariffin. Show all posts

Saturday, April 24, 2010

Wednesday, April 14, 2010

PERTANDINGAN KAWAD KAKI KRS






13 APRIL 2010

Tuesday, November 17, 2009

PROGRAM RIMUP BERKELOMPOK

Dangi, 17 November - SMK Dangi telah menjadi tuan rumah bagi Program RIMUP Berkelompok dengan menganjurkan perlawanan Bola Tampar 3 Penjuru, melibatkan tuan rumah, SMK Jelai dan SMK Datuk Undang Abdul Manap.

Perlawanan pertama yang bermula jam 8.30 pagi menyaksikan pertarungan antara SMK Dangi dengan SMKDUAM yang dimenangi SMK Dangi dengan straight set 15 - 5 dan 15 - 4. Manakala perlawanan kedua di antara SMKDUAM dengan SMK Jelai berkesudahan SMKDUAM tewas lagi dengan 1 - 15 dan 5 - 15.



Pemain SMK Jelai memperlihatkan kesungguhan untuk mencapai kemenangan

Perlawanan ketiga di antara SMK Dangi dengan SMK Jelai ibarat 'buku bertemu ruas'. Pertarungan berlangsung sengit dan pasukan masing-masing telah bermain bermati-matian. Walaupun ketinggalan pada awal perlawanan, pasukan SMK Dangi telah berjaya memenangi set pertama dengan 15 - 10. Namun pasukan SMK Jelai tidak berputus asa, sebaik set kedua dimulakan mereka telah menunjukkan peningkatan dan akhirnya berjaya membawa perlawanan ke set penentuan dengan kemenangan 15 - 12.



Pemain SMK Dangi dan SMK Jelai bersalam-salaman sebelum memulakan perlawanan

Perlawanan set ketiga dikuasai sepenuhnya oleh pemain SMK Jelai dan akhirnya memenangi perlawanan dengan 15 - 9. Ketiadaan ketua pasukan SMK Dangi, Rose Izzaty Ishak untuk mengemudi pasukan SMK Dangi dilihat sebagai salah satu faktor kekalahan mereka.

Para pemain tetap mempamerkan kesungguhan walaupun cuaca mulai panas

Selepas perlawanan, acara penyampaian hadiah dan jamuan telah diadakan di Bilik Gerakan SMK Dangi. Pihak penganjur berharap agar program ini dapat diteruskan demi mengeratkan hubungan sesama sekolah berjiran di samping mengintegrasikan pelajar yang berbilang kaum demi mencapai hasrat 1 Malaysia.



Tuan Pengetua sedang menyampaikan hadiah kepada wakil peserta


Pasukan SMK Jelai menerima hadiah selaku johan pertandingan


Para guru pengiring sedang mengambil makanan

Wednesday, November 11, 2009

LAWATAN RIMUP SMK DANGI

Seremban, 11 November - Pihak SMK Dangi telah menganjurkan satu lawatan sempena program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang disertai oleh 4 orang guru pengiring bersama 4o pelajar yang terdiri daripada berbilang kaum. Program lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar berkenaan kerjaya di samping melaksanakan misi kerajaan dalam mengeratkan perpaduan dalam usaha merealisasikan "1 Malaysia".

Lawatan yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu telah singgah di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Chembong, Rembau pada jam 9.00 pagi. Sesampainya di sana, En. Zulkifli yang mewakili pihak IKBN telah memberi penerangan tentang peluang belajar kemahiran dan seterusnya menceburi bidang kerjaya dalam bidang automotif dan binaan. Para pelajar SMK Dangi yang menyertai lawatan ini telah mengambil kesempatan untuk mengemukakan beberapa soalan bagi mengukuhkan pengetahuan.


Para peserta rombongan sedang khusyuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh Encik Zulkifli.

Pn. Khairani sedang menyampaikan cenderahati kepada pihak IKBN.

Selepas itu, para rombongan telah berkesempatan untuk mengunjungi Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad (RTM) di Sg. Gadut atau lebih dikenali dengan panggilan "Negeri FM". Bertempat di Auditorium Tunku Puan Chik yang berhawa dingin, para guru dan pelajar telah diberi penerangan tentang tugas seorang penyampai radio dan kelayakan yang diperlukan sekiranya berminat untuk menceburi bidang penyiaran oleh Auntie AMY. Para pelajar juga berpeluang melawat di sekitar kompleks termasuklah bilik konti, bilik MCR dan bilik editing. Dan yang paling istimewa, para pelajar dan guru telah dipelawa untuk menjadi Ahli Waris Negeri FM, sebagai tanda sokongan kepada Negeri FM. Lawatan yang mengambil masa kira-kira 1 jam 15 minit ini telah memberi banyak manfaat dan meninggalkan memori indah kepada para peserta rombongan.
Para rombongan tiba di pintu masuk Negeri FM.

Khusuknya... mendengar taklimat dari Auntie AMY

Lawatan ke bilik konti.

Sempat lagi beri cenderahati.....
Selepas itu, lawatan ke kilang Yakult telah mengisi slot yang telah diatur kira-kira jam 2.00 petang. Di sini telah diterangkan tentang kebaikan dan khasiat minuman kultur bakteria oleh Cik Farah selaku koordinator lawatan. Para peserta telah berpeluang melihat proses-proses yang dijalankan untuk penghasilan minuman tersebut, di samping tayangan slaid dan video turut membantu memberi kefahaman kepada semua.
Oh... macam ni cara proses minuman Yakult. Den tau minum yooo.....

Para pelajar berpeluang melihat bakteria melalui mikroskop.

Mak ooiii... halusnya... tak nampak kek bijik mato den.....

Lawatan ini telah dapat mencapai matlamat untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang dunia kerjaya di samping mengintegrasikan warga SMK dangi yang terlibat.

Saturday, October 10, 2009

LATIHAN DALAM PERKHIDMATAN KE-7 2009













Dangi, 10 Oktober - SMK Dangi telah menganjurkan Latihan Dalam Perkhidmatan Ke-7 pada hari Sabtu, 10 Oktober bermula jam 8.30 pagi. Penceramah jemputan iaitu En. Rosli bin Hj. Ahmad (Kaunselor PPD Kuala Pilah) telah menyampaikan motivasi kepada guru dengan tajuk "Kepimpinan Instruksional". Selama 2 jam bengkel diadakan, selain daripada beliau menyampaikan ceramahnya, sesi perbincangan dan pembentangan juga telah dijalankan dan guru telah mendapat ilmu yang baru dan berguna sebagai panduan dalam menempuhi alam pendidikan yang kian mencabar.

Tuesday, September 29, 2009

Pengaruh media dalam P&P

UNSUR media dalam pendidikan tidak boleh dipisahkan. Masing-masing mempunyai hubungan rapat dan saling lengkap melengkapi. Walaupun dalam sistem pendidikan negara tidak mempunyai mata pelajaran media secara khusus namun unsur berkenaan boleh diselitkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Kini proses P&P menjadi lebih berkesan, canggih dan mudah difahami. Komputer dilengkapi sistem bunyi serta kamera membolehkan guru menerangkan sesuatu topik dengan lebih jelas. Kecanggihan itu menyuntik semangat serta perhatian murid untuk terus mengikuti sesuatu pengajaran, selain mewujudkan proses pembelajaran dua hala.

Menyedari pentingnya peranan media dalam proses pembelajaran harian, menjadi tanggungjawab semua pihak terutama pelaksana dasar memastikan kemudahan media digunakan secara optimum dalam menarik minat pelajar di kelas. Sebagai contoh, bagi mata pelajaran sains, setiap pengenalan mahupun penerangan mengenainya boleh dilaksanakan secara lebih berkesan menerusi media. Unsur media boleh diterapkan menerusi sistem pendidikan sedia ada dengan mengambil kira aktiviti pengiklanan, pengucapan awam, penerbitan dan penyiaran. Semua kegiatan itu memberi peluang pelajar meneroka sesuatu yang baru untuk dikongsi dan dimanfaatkan bersama. Sebagai contoh menerusi pengucapan awam, pelajar dapat panduan berkesan berhadapan dengan khalayak dengan penuh yakin. Ini boleh dilaksanakan dengan mengadakan aktiviti seperti ucapan dan syarahan.

Begitu juga nilai kreativiti yang ditonjol menerusi pengiklanan. Aktiviti sedemikian memberi peluang pelajar meneroka sesuatu yang baru, sekali gus memberi ilham mereka untuk berfikir secara kreatif dan inovasi. Semua usaha ini penting kerana media sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian. Malah ia membangkitkan inspirasi kepada individu untuk meneroka ilmu baru. Berhadapan dunia tanpa sempadan, menjadi tanggungjawab semua pihak terutama ibu bapa dan guru menangani masalah penyalahgunaan media di kalangan pelajar. Pendidikan serta panduan awal penting supaya mereka dapat berfikir mengenai baik dan buruknya pengaruh media. Pendedahan awal penting kerana pelajar dapat melihat kegunaan media dan mengoptimumkan penggunaan dengan mengambil yang baik dan membuang jauh perkara negatif.

Sejak kebelakangan ini, pelajar menjadikan media sebagai saluran alternatif melakukan aktiviti tidak berfaedah termasuk melayari laman web tidak sesuai dengan usia hingga terikut-ikut dengan perwatakan negatif hingga menjejaskan prestasi dan imej mereka. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku jika pelajar didedahkan lebih awal mengenai kebaikan yang perlu dijadikan panduan dan keburukan untuk dihindari. Sebelum ini sudah ada cadangan supaya pendidikan media diperkenalkan di sekolah, bagaimanapun ia tidak dilaksanakan kerana jumlah mata pelajaran sedia ada sudah banyak dan membebankan pelajar.

Bagaimanapun pendidikan itu boleh dilaksanakan dengan hanya menyelit unsur media dan komunikasi dalam mata pelajaran sedia ada. Guru perlu kreatif mengaitkan sesuatu topik dan hubungannya dengan media. Malaysia kini memiliki lima juta pelajar dengan lebih 350,000 guru yang begitu dedikasi menjalankan tugas. Mereka boleh memanfaatkan kemudahan peralatan komunikasi antaranya komputer dan internet dalam menerapkan unsur media dalam proses pengajaran. Kaedah pengajaran secara kreatif dan inovatif mampu melahirkan generasi muda yang lebih seimbang dan mampu menganalisis sesuatu isu serta boleh bertindak secara rasional apabila berhadapan dalam kesulitan.

Tuesday, September 8, 2009

SALAM AIDILFITRI 1430H


SALAM AIDILFITRI
KEPADA SEMUA
WARGA SMK DANGI
MAAF ZAHIR & BATIN
DARIPADA:
ZUL EZAM KAMARUL ARIFFIN
& KELUARGA

Saturday, September 5, 2009

Berita H1N1

UPSR: Kerjasama ibu bapa cegah H1N1

Ibu bapa kepada calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Selasa depan diminta bekerjasama dengan pihak sekolah memaklumkan sekiranya anak mereka mempunyai tanda jangkitan influenza A (H1N1) atau selesema babi. Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Dr. Julaihi Bujang berkata, perkara itu penting bagi mencegah berlaku penularan jangkitan selesema babi kepada calon lain yang menduduki peperiksaan itu.

Katanya, calon-calon yang dijangkiti atau disyaki mendapat H1N1 juga dikehendaki memakai topeng penutup mulut dan hidung sepanjang masa dan kerap membasuh tangan.

''Selain itu, mereka juga dinasihatkan supaya tidak pergi ke tempat perkumpulan orang ramai bagi memastikan mereka tidak dijangkiti wabak berkenaan sebelum peperiksaan UPSR bermula," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Julaihi memberitahu, Jabatan Pelajaran telah mengambil tiga langkah awal bagi membendung penularan wabak berlaku semasa UPSR berlangsung iaitu dengan membenarkan murid yang telah dimasukkan ke wad boleh menduduki peperiksaan itu di hospital. Selain itu katanya, mereka yang mempunyai tanda jangkitan H1N1 akan diasingkan dengan calon yang sihat di sebuah bilik khas.

''Langkah terakhir ialah sekiranya penularan wabak berlaku, hanya calon yang menduduki peperiksaan sahaja diminta hadir ke sekolah.
''Namun, pihak sekolah perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada Pegawai Pelajaran Daerah masing-masing sebelum melaksanakan tindakan itu," katanya.

Thursday, September 3, 2009


Para pelajar 1M sedang menjalani pembelajaran Literasi Komputer dengan lebih selesa dan menyeronokkan

MAKMAL KOMPUTER SMK DANGI BERWAJAH BARU...

Johol, 3 September - Satu revolusi telah dilaksanakan di Makmal Komputer SMK Dangi oleh Guru Penyelaras ICT, Encik Zul Ezam dengan menyusun atur semula kedudukan meja komputer dengan persetujuan Pengetua, Puan Yap Yoke Sim.

Perubahan yang dilaksanakan ini bertujuan untuk memberi lebih keselesaan kepada para pelajar di samping memudahkan pemantauan oleh guru-guru yang membawa pelajar untuk tujuan P & P di makmal tersebut.

‘SPIDERMAN’ Perancis, Alain Robert mengangkat kedua-dua belah tangan sebagai tanda kejayaannya menakluki puncak tertinggi Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur, semalam.


SPIDERMAN TAWAN PUNCAK MENARA BERKEMBAR PETRONAS

KUALA LUMPUR 1 Sept. – Setelah dua kali gagal, lelaki warga Perancis yang terkenal dengan gelaran ‘Spiderman’ kerana kebolehannya menakluk bangunan pencakar langit tanpa kelengkapan, akhirnya hari ini berjaya menawan puncak tertinggi Menara Berkembar Petronas.
Alain Robert, 47, pernah memanjat bangunan yang mempunyai ketinggian 88 tingkat atau 452 meter termasuk antena pada 1997 dan 2007, namun kedua-dua percubaannya itu terhalang apabila ditahan pihak berkuasa di tingkat 60.
Sebaik menuruni salah satu puncak menara berkenaan, Menara Dua hari ini, Alain ditahan pihak keselamatan di tingkat 88 sebelum diserahkan kepada polis kira-kira pukul 8.20 pagi.
Difahamkan, dia yang hanya berbekalkan sebotol air minuman dan bedak penyerap peluh mula memanjat pada pukul 5.45 pagi dan mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai ke puncak Menara Dua.
Para petugas daripada beberapa agensi berita asing yang mengetahui rancangan Alain untuk menakluk Menara Berkembar Petronas, berada di lokasi sejak pukul 5.30 pagi untuk membuat liputan.
Menurut jurugambar Sipa Press yang berpusat di Paris, Halim Berbar, Alain berada di ibu negara sejak seminggu lalu untuk membuat persiapan. Dia menginap di salah sebuah hotel terkemuka ibu negara.

“Amat menakjubkan, Alain begitu tenang memanjat tingkat demi tingkat tanpa sebarang masalah dan dalam tempoh singkat.
“Saya merakamkan aksi-aksi Alain ketika di atas puncak Menara Dua itu. Dia mengibarkan bendera Malaysia dan mengangkat kedua-dua belah tangan sambil menunjukkan tanda keamanan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Halim, Alain sepatutnya turun dengan cara yang sama, tetapi terpaksa melupakan hasratnya ekoran keadaan cuaca tidak mengizinkan.
Jurukamera Reuters, Yong Chee Weng, 57, yang sempat menghubungi Alain memberitahu, Alain berasa hebat dan cukup lega kerana akhirnya berjaya menawan puncak Menara Berkembar Petronas.
Alain kini ditahan untuk siasatan lanjut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan dijangka didakwa esok.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, polis menahan Alain di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.
Katanya, tindakan itu membahayakan nyawanya sendiri.
“Dia sepatutnya meminta kebenaran terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.
Katanya, jika sabit kesalahan, Alain boleh dihukum penjara maksimum tiga bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya.

Tuesday, September 1, 2009

Laungan 1Malaysia Bergema

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mendengar laungan merdeka tujuh kali diikuti laungan 1Malaysia oleh Najib dan jemaah menteri pada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52, di Dataran Parlimen, semalam.

Hari Kemerdekaan Ke-52 disambut secara sederhana, ringkas

KUALA LUMPUR: Perayaan Hari Kemerdekaan Ke-52 di seluruh negara semalam, tetap memberi impak besar terhadap keutuhan perpaduan kaum di negara ini yang disemarakkan dengan semangat 1Malaysia, walaupun sambutan berlangsung dalam suasana sederhana dan ringkas berikutan kebimbangan penularan wabak selesema babi (H1N1). Dataran Parlimen yang menjadi simbol demokrasi berparlimen di negara ini, mencatat sejarah apabila julung kalinya menjadi lokasi sambutan peringkat nasional bertemakan '1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan' dengan pembabitan 10,302 peserta berbilang kaum dan agama.

Sambutan bermula sebaik keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah tepat jam 8 pagi. Ketibaan baginda berdua disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta kenamaan. Lambaian Jalur Gemilang dan sorakan peserta yang berbaris di sepanjang jalan kira-kira 1.5 kilometer bermula dari bulatan Bank Negara Malaysia hingga ke pekarangan Dataran Parlimen mewarnai acara sambutan yang hanya mengambil masa kurang sejam.





Tuesday, August 25, 2009


PESURUHJAYA Tinggi Malaysia ke Australia Datuk Salman Ahmad (dua dari kanan) bersama penerima anugerah (dari kiri) Kenny Hwang, Ileana Celestine dan Shaiful

Anak penjual nasi lemak pelajar terbaik di Australia

Shaiful terima anugerah The Patron's Trophy

MELBOURNE: Anak penjual nasi lemak dari Taiping, Perak menerima anugerah berprestij selepas dipilih pelajar terbaik Malaysia pada peperiksaan tahun akhir di Universiti Adelaide, Australia Selatan. Shaiful Zakaria, 24, pelajar Ijazah Sarjana Seni Bina, menerima anugerah The Patron's Trophy pada majlis tahunan penyampaian Anugerah Merdeka, anjuran Majlis Perniagaan Australia Malaysia (AMBC) bagi kawasan Australia Selatan di Adelaide.

Selain trofi, Shaiful menerima sijil, komputer riba dan wang tunai A$1,500 atau kira-kira RM4,410 daripada AMBC. Penaung anugerah, Sir Eric Neal, bekas Gabenor Australia Selatan memberi sumbangan peribadi sebanyak A$1,500 kepada Shaiful. Pemenang kedua adalah Kenny Hwang, dari Johor Bahru, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, juga dari Universiti Adelaide, menerima sijil dan A$1,000 atau kira-kira RM2,940. Tempat ketiga dimenangi Ileana Celestine Soon Yin Ying dari Kota Kinabalu, Sabah, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kewangan dari Universiti of South Australia.

Shaiful, 24 berkata, ia adalah mimpi yang menjadi kenyataan dan sangat gembira menerima anugerah itu. Beliau berkata, bapanya, Zakaria Husain dan ibu, Jamaliah Shariff hanya berkelulusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan menjual nasi lemak dan kuih muih di gerai mereka di Taiping. “Mereka bekerja keras untuk menyara saya dan adik beradik lain. Itu mendorong saya belajar bersungguh-sungguh mencapai kejayaan cemerlang, sekali gus dapat membanggakan mereka,” katanya. Shaiful, yang telah beberapa kali mendapat anugerah dan penghormatan sebagai pelajar di Universiti Adelaide berkata: “Setiap kejayaan yang saya capai adalah khas untuk kedua ibu bapa saya."

Beliau menyambung pelajaran di Adelaide pada 2005 di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan selepas menyesuaikan dirinya dengan cuaca dan kehidupan di sana, Shaiful memberi tumpuan dalam pelajarannya dan kini mempunyai ramai kenalan terutama warga Australia dan rakan senegara. Beliau juga tidak sabar untuk pulang ke Malaysia selepas menamatkan pengajian dan berharap dapat meneroka konsep seni bina hijau, memandangkan Malaysia kaya dengan sumber khazanah alam. - Bernama
LIOW (kiri) bersama Dr Ismail pada sesi taklimat bersama media, di Putrajaya, semalam.

400,000 dos vaksin ditempah
Kementerian terima bekalan bernilai RM14 juta Oktober, Januari depan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sudah menempah 400,000 dos vaksin Influenza A (H1N1) bernilai RM14 juta yang dijangka diterima pada Oktober dan Januari depan. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata vaksin itu mampu memenuhi keperluan 200,000 rakyat negara ini dan pihaknya bersedia menambah stok bekalan vaksin itu dari semasa ke semasa. "Suntikan vaksin akan diberikan kepada petugas hadapan khususnya kakitangan kementerian yang berurusan secara langsung dengan pesakit dan golongan yang berisiko tinggi seperti obesiti serta pengidap diabetes," katanya selepas mempengerusikan majlis dialog bersama media mengenai langkah menangani pandemik H1N1 di sini, semalam.

Liow turut mengingatkan semua doktor di klinik dan hospital swasta supaya mematuhi Garis Panduan Pencegahan H1N1 dikeluarkan kementerian. "Kementerian akan mengadakan pertemuan dengan doktor klinik dan hospital swasta minggu ini bagi memastikan mereka mematuhi garis panduan ditetapkan.

Pematuhan terhadap garis panduan ini bertujuan memastikan doktor dapat memberikan bantuan serta rawatan tepat dan cepat kepada pesakit ," katanya. Mengenai ubat antiviral, Liow berkata, semua klinik dan hospital swasta boleh mendapatkan bekalan ubat itu daripada pembekal pada harga RM80 sekotak berbanding RM160 hingga RM180 sekotak sebelum ini. Katanya, langkah itu bertujuan memudahkan klinik dan hospital swasta merawat pesakit yang disahkan positif H1N1.

Monday, August 24, 2009

H1N1; Wanita berusia 38 tahun korban terbaru

PUTRAJAYA: Selepas 3 hari berlalu tanpa sebarang korban virus H1N1, seorang wanita berusia 38 tahun menjadi korban terbaru virus H1N1 sekaligus menjadikan jumlah kematian akibat virus itu di negara ini meningkat kepada 69 orang. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata mangsa sebelum ini mendapatkan rawatan di klinik swasta pada 13 Ogos selepas menghidapi demam dan batuk selama dua hari. Katanya, daripada ujian segera yang dijalankan, mangsa turut didapati positif Influenza A dan diberikan rawatan simptomatik tanpa melibatkan rawatan antiviral Tamiflu.

"Lima hari selepas menerima rawatan untuk Influenza A, pesakit mendapatkan rawatan di hospital swasta pada 20 Ogos selepas mengalami sesak nafas secara tiba-tiba dan 'cyanosis'. "Mangsa dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur dan diberikan rawatan Tamiflu, namun disahkan meninggal dunia pada 20 Ogos akibat pneumonia dan keputusan swab tekak pada 20 Ogos mengesahkan mangsa positif H1N1," katanya selepas taklimat media di sini.
Bekalan antiviral H1N1 mencukupi

24/08/2009 5:50pm

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Bekalan ubat antiviral untuk rawatan Influenza A (H1N1) adalah mencukupi bagi menampung keperluan pesakit di semua hospital dan klinik kerajaan mahupun swasta, kata Naib Presiden Pertubuhan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) Leonard Ariff Abdul Shatar.
Beliau berkata, bekalan ubatan antiviral itu termasuk antiviral Tamiflu yang sering digunakan untuk merawat influenza itu juga mencukupi.
“Kami rasa tidak akan berlaku kekurangan, saya rasa bekalan pengeluar tempatan dan bekalan stok kerajaan adalah mencukupi untuk merawat pesakit di negara ini,” katanya di sini hari ini.
Terdapat tiga syarikat yang membekalkan antiviral Tamilflu bagi menampung keperluan pasaran tempatan iaitu Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM), Royce Pharma Manufacturing Sdn Bhd dan Ranbaxy (M) Sdn Bhd.
Mengenai langkah yang diambil kerajaan untuk menangani penularan wabak itu, Leonard Ariff berkata beliau amat berpuas hati kerana kerajaan sudah bersedia lebih awal termasuk mengadakan stok bekalan antiviral sejak tiga tahun lepas. -Bernama

Sunday, August 23, 2009

Soal jawab H1N1

Apa itu H1N1 (selesema babi)?

IA merupakan virus influenza baru yang boleh menyebabkan manusia jatuh sakit. Virus baru ini pertama kali dikesan pada manusia di Amerika Syarikat pada April 2009. Virus ini merebak daripada individu kepada individu lain di seluruh dunia seakan sama cara penyebaran virus influenza bermusim yang lain.
Pada 11 Jun 2009, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran bahawa wabak atau pandemik H1N1 sedang merebak.

Kenapa H1N1 kadang kala dipanggil selesema babi?

Virus ini asalnya dirujuk sebagai selesema babi kerana ujian makmal menunjukkan bahawa kebanyakan gen dalam virus baru ini amat sama dengan virus influenza yang biasanya terdapat pada babi di Amerika Utara.
Bagaimanapun kajian selanjutnya menunjukkan bahawa virus baru ini amat berbeza daripada yang biasanya tersebar pada babi di wilayah tersebut.
Ia mempunyai dua gen daripada virus selesema yang biasanya tersebar dalam babi di Eropah dan Asia dan gen burung dan gen manusia. Ahli sains memanggil ini sebagai virus quadruple reassortant.

Adakah virus H1N1 berjangkit?

Pusat kawalan penyakit Amerika Syarikat (CDC) telah mengenalpasti bahawa virus H1N1 berjangkit dan merebak dari manusia kepada manusia.

Bagaimana virus H1N1 merebak?

Virus H1N1 dipercayai merebak sama seperti cara selesema bermusim merebak. Virus selesema lazimnya merebak daripada seorang ke seorang melalui batuk atau bersin. Kadangkala orang ramai mungkin dijangkiti melalui sentuhan - seperti sentuhan pada permukaan atau objek tertentu - yang terdapat virus tersebut dan kemudian menyentuh hidung atau mulut.

Apakah tanda-tanda dan simptom orang yang dijangkiti virus?

Simptom bagi virus selesema H1N1 pada manusia termasuk demam, batuk, sakit tekak, hidung berair atau tersumbat, sakit badan, pening, seram sejuk dan letih. Sejumlah besar orang yang dijangkiti penyakit ini juga dilaporkan mengalami diarea (cirit birit). Kes kematian disebabkan virus ini juga semakin membimbangkan.

Berapa lama orang yang telah dijangkiti virus ini merebakkan kepada orang lain?

Individu yang dijangkiti dengan virus selesema bermusim dan H1N1 mungkin boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum dia jatuh sakit hingga 5 ke 7 hari selepas itu. Tempoh ini boleh menjadi lebih lama bagi sesetengah orang terutama kanak-kanak dan individu yang sistem imunisasinya lemah.

Apa yang boleh dilakukan untuk melindungi dari daripada jatuh sakit?

Setakat ini tidak ada vaksin untuk melindungi diri daripada virus H1N1. Bagaimanapun vaksin tersebut sedang dalam proses pengeluaran dan mungkin sudah boleh diperoleh oleh orang awam tidak lama lagi. Namun seperti kebiasaan, vaksin hanya mampu melindungi daripada influenza bermusim.

Terdapat langkah rutin yang boleh membantu mengelak merebaknya virus yang menyebabkan masalah pernafasan seperti influenza. Antaranya, tutup hidung dan mulut dengan tisu ketika batuk atau bersin. Buang tisu tersebut dalam tong sampah selepas digunakan.
Kerap mencuci tangan dengan air dan sabun terutama selepas batuk atau bersin. Pembersih seperti gel atau tisu lembap berasaskan alkohol juga efektif.
Elak daripada menyentuh mata, mulut atau hidung. Kuman mudah merebak cara itu.
Cuba elak daripada bersentuhan dengan orang yang sakit. Jika anda jatuh sakit dan mempunyai simptom seperti dijangkiti selesema, disarankan terus berada di rumah sehinggalah sekurang-kurangnya 24 jam selepas demam sembuh.
Seboleh mungkin jauhi diri daripada orang lain bagi mengelak mereka turut jatuh sakit.

Langkah-langkah penting lain yang boleh anda ambil:
Ikut nasihat pihak berkuasa kesihatan termasuk berkenaan penutupan sekolah, elak berada di tempat ramai orang dan jauhi diri daripada kegiatan sosial lain.
Bersiap sedia jika secara tiba-tiba anda sakit dan perlu berkurung dalam rumah sekurang-kurangnya selama seminggu dengan menyiapkan bekalan ubat-ubatan, tisu, pembersih tangan berasaskan alkohol dan barang-barang lain yang berkaitan dan berguna. Ini bagi mengelak anda terpaksa keluar rumah ketika sakit.

Jika saya mempunyai ahli keluarga yang dijangkiti virus H1N1, perlukah saya pergi berkerja?

Pekerja yang sihat tetapi mempunyai ahli keluarga yang dijangkiti H1N1 boleh datang kerja seperti biasa. Tetapi kesihatan pekerja ini perlu dipantau setiap hari dan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk kerap mencuci tangan dengan air dan sabun terutama selepas mereka batuk dan bersin.
Jika mereka jatuh sakit mereka harus memberitahu majikan dan tinggal di rumah.
Pekerja yang sememangnya mempunyai masalah kesihatan atau sedang hamil harus mendapatkan nasihat daripada doktor masing-masing kerana mereka mungkin perlu mengambil ubat antiviral bagi mengelak jatuh sakit.

Apa teknik terbaik untuk mencuci tangan bagi mengelak selesema?

Kerap mencuci tangan akan membantu mengelak daripada kuman. Cuci dengan sabun dan air atau pembersih tangan berasaskan alkohol.
Disarankan mencuci tangan - dengan sabun dan air suam - selama 15 hingga 20 saat. Jika tidak ada air atau sabun tisu basah pakai buang berasaskan alkohol atau gel sanitizers juga boleh digunakan.

Apa yang perlu dilakukan jika saya jatuh sakit?

Jika anda tinggal di kawasan di mana terdapat individu yang telah dikenal-pasti dijangkiti selesema H1N1 dan jatuh sakit dengan simptom-simptom seperti demam, sengal badan, hidung berair atau tersumbat, sakit tekak, loya atau muntah, diarea dan sebagainya anda harus berada dalam rumah dan elak daripada bersentuhan dengan orang lain.
Disarankan agar terus berada di rumah sekurang-kurangnya 24 jam selepas demam sembuh.
Jauhkan diri daripada orang lain bagi mengelak mereka turut jatuh sakit. Berada dalam rumah bermakna anda tidak harus keluar rumah kecuali untuk mendapatkan rawatan perubatan. Ini juga termasuk mengelak aktiviti biasa seperti bekerja, ke sekolah, melancong, membeli-belah, menghadiri majlis sosial dan berhimpun di tempat awam.
Jika sakit semakin teruk atau anda berhadapan risiko tinggi menghidap komplikasi selesema dapatkan nasihat doktor untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Tanda-tanda amaran untuk anda mendapatkan rawatan kecemasan:

Bagi kanak-kanak
- Nafas laju atau sukar bernafas.
- Warna kulit kebiruan atau pucat.
- Tidak mahu minum atau tidak cukup minum.
- Muntah berterusan.
- Anak tidur berterusan atau tidak berinteraksi (penurunan kesedaran).
- Anak menjadi sangat cerewet dan tidak mahu didukung.
- Gejala selesema seperti semakin pulih tetapi kemudian kembali lagi dengan demam dan batuk lebih terus.

Bagi orang dewasa
- Sukar bernafas atau nafas pendek-pendek.
- Berasa sakit atau tekanan pada dada atau perut.
- Pening secara tiba-tiba.
- Seperti orang bingung.
- Muntah yang teruk dan berterusan.
- Gejala selesema seakan pulih tetapi kembali semula dengan demam dan batuk yang teruk.

Berapa lama virus influenza boleh terus hidup pada sesuatu objek (seperti buku atau tombol pintu)?

Kajian menunjukkan virus influenza boleh hidup pada sesuatu permukaan terdedah dan masih boleh menjangkiti orang lain dua hingga lapan jam selepas berada di situ.
Apa yang boleh membunuh virus influenza ?
Virus influenza boleh dimusnahkan dengan suhu panas (75-100°Celcius). Selain itu, beberapa jenis kimia pembunuh kuman termasuk chlorine, hydrogen peroxide, detergents (sabun ), iodophors (antiseptik berasaskan iodin) dan alkohol juga berkesan jika digunakan dengan betul.
Sebagai contoh, tisu atau gel beralkohol boleh digunakan untuk membersihkan tangan. Gel tersebut harus digosok pada tangan hingga ia kering.
Ibu segala pandemik

KESEMUA pandemik Influenza A sejak itu (pandemik Spanish flu), dan hampir semua kes Influenza A di seluruh dunia (kecuali jangkitan virus unggas seperti H5N1 dan H7N7 pada manusia) berpunca daripada waris keturunan virus pada 1918 tersebut.
"Ini termasuk (variasi) virus H1N1 baru dan juga virus H2N2 dan H3N2 yang mengalami penyusunan semula genetik!"
Itu merupakan telahan Dr. Jeffery K. Taubenberger pada 2006, dalam rencananya kepada Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat bertajuk 'Influenza 1918: Ibu Segala Pandemik'.
Ini mungkin sukar difahami sesetengah pembaca. Asasnya, Dr. Taubenberger menceritakan bagaimana maklumat terbaru menunjukkan hampir kesemua variasi virus Influenza A merupakan pewaris kepada virus Influenza A H1N1 yang membunuh antara 50 hingga 100 juta penduduk dunia sekitar tahun 1918 dan 1919. Bermacam variasi virus Influenza A muncul selepas tahun 1919, termasuklah variasi terbaru (2009) yang sama namanya, Influenza A H1N1.

Dibandingkan antara virus Influenza A H1N1 pada 1918 dengan virus-virus Influenza kini, Dr. Taubenberger mendapati hanya terdapat perubahan kecil kepada susunan genetiknya.
Daripada 4,400 rantaian asid amino (binaan genetik) pada H1N1 tahun 1918, hanya 25 hingga 30 asid amino sahaja yang berbeza. Perbezaan kecil ini sudah cukup untuk mengubah satu virus unggas (burung) menjadi pembunuh yang mudah merebak antara manusia.
H1N1 yang bermula pada 1918 secara misteri, juga hilang secara misteri pada 1919. Selepas 90 tahun, evolusi virus Influenza A H1N1 telah menghasilkan bermacam variasi yang dinamakan mengikut struktur protein di permukaan kapsul virus, iaitu hemaglutinin (H) dan neuraminidase (N). Ciri H dan N ini juga menentukan tahap bahaya variasi virus tersebut. Dari 16 jenis protein H dan sembilan protein N, hanya H1, 2, 3 serta N1 dan 2 yang biasa ditemui pada virus yang menyerang manusia.

Dengan mengenali gen tertentu pada variasi baru virus, tahap ancamannya kepada manusia dapat dianggarkan sebelum wabak bermula. Ramalan ancaman bagaimanapun hanya dapat dibuat jika variasi baru virus Influenza A dilaporkan dengan segera. Kemunculan H1N1 pada April 2009 di Mexico bagaimanapun dilaporkan agak lewat, di ketika virus tersebut sudah pantas merebak.

Vaksin menjadi kaedah perlindungan pilihan untuk kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan warga emas, serta penghidap penyakit kronik. Bagaimanapun, keupayaan mutasi Influenza A yang tinggi bermakna vaksin yang sama mungkin tidak berkesan untuk jangka panjang dan perlu diformulasi semula mengikut perubahan virus.
Masa enam bulan diperlukan untuk menghasil dan mengedarkan vaksin kepada semua yang memerlukannya. Untuk virus H1N1 terbaru ini, vaksin dijangka hanya dapat diedarkan di penghujung 2009 dengan keutamaan kepada kakitangan kesihatan dan kumpulan berisiko tinggi.

Kaedah kawalan lain seperti penutupan sekolah dan tempat tumpuan awam semasa menghadapi pandemik-pandemik sebelum ini dilihat dapat memperlahankan penularan virus tetapi tidak memberi kesan kepada kadar kematian. Masalah yang dihadapi dengan tindakan penutupan sekolah dan tempat kerja adalah pergerakan individu dijangkiti ke tempat tumpuan umum yang lain, sedangkan mereka sepatutnya mengasingkan diri di rumah masing-masing.

Ketibaan Ramadan tahun ini agak berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Melihat kepada kadar peningkatan beratus-ratus kes setiap hari, cara penyebaran virus di hospital, pusat membeli belah mahupun di bazar Ramadan perlu dikawal dengan ketat oleh semua pihak.
Tidak perlu menghentikan terus aktiviti harian! Namun, mereka yang mempunyai walau sedikit gejala penyakit seakan-Influenza perlu mengasingkan diri dari tempat tumpuan umum. Bukan hanya orang ramai, pekerja dan terutamanya peniaga, perlu mengelakkan hubungan terus dengan umum jika berkemungkinan menghidap selesema.

Ingatlah bahawa virus Influenza A mempunyai kemampuan mutasi yang tinggi. Ini bermakna ancaman kesihatan mungkin jauh lebih dahsyat kelak, terutamanya ketika sesetengah saintis khuatir kemungkinan gabungan H1N1 dengan virus selesema burung (H5N1).
Jika kedua-dua virus itu bergabung, kemungkinan akan muncul satu virus baru yang mudah merebak seperti H1N1 dan keupayaan membunuh lebih tinggi seperti H5N1.
Jumlah kematian yang tinggi antara 1918 dan 1919 mungkin akibat tiadanya vaksin dan antiviral serta kurangnya keupayaan mengawal komplikasi yang timbul.
Walaupun kita jauh lebih bersedia menghadapi virus H1N1 terbaru ini, perlu diingat bahawa kematian tetap boleh berlaku jika badan pesakit terlalu lemah untuk menentang jangkitan.
Oleh itu, perkara utama adalah untuk memastikan diri dan keluarga anda terlindung daripada jangkitan mana-mana waris Influenza A H1N1, melalui sebarang dan semua kaedah pencegahan yang ada.

'Kena pakai topeng'

KUALA LUMPUR: "Pakai topeng mulut dan hidung," nasihat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada rakyat bagi mengelakkan mereka dijangkiti virus selesema babi (H1N1). Walaupun tiada kematian akibat wabak H1N1 dilaporkan dalam tempoh 24 jam semalam, beliau bimbang melihat sikap orang ramai yang seolah-olah tidak takut terhadap wabak penyakit itu. Sehingga semalam, angka korban kekal 68 orang sejak kematian pertama dilaporkan pada 21 Julai lalu.

Bagaimanapun, seramai 230 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) dimasukkan ke wad, manakala 310 pesakit sudah dibenarkan keluar. Jumlah pesakit menurun kepada 1,476 daripada 1,556 kelmarin yang dirawat di 102 hospital termasuk tiga hospital swasta di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 316 pesakit disahkan positif H1N1. Daripada jumlah itu, 40 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan empat kes adalah kemasukan baru, manakala lapan kes dikeluarkan daripada unit itu.

Daripada 40 kes yang dirawat di ICU, 25 kes mempunyai faktor risiko iaitu kanak-kanak dan bayi (7), diabetes (5), penyakit kronik (5), asma (3), obesiti (3), mengandung dan bersalin (1) dan kanak-kanak istimewa (1). Tun Dr Mahathir berharap orang ramai memakai topeng itu di tempat awam, termasuk ketika membeli-belah di bazar Ramadan. "Walaupun ada wabak H1N1, nampaknya orang ramai juga (membeli juadah berbuka puasa). Saya susah hati sikit, ramai tak pakai topeng penutup hidung dan mulut. Katanya, kemelesetan ekonomi juga seolah-olah seperti tidak berlaku berdasarkan sambutan orang ramai keluar membeli belah pada hari pertama Ramadan.

"Walaupun ada krisis kewangan, nampak orang tak berasa apa pun," katanya yang mengunjungi Bazar Ramadan di Kampung Baru untuk mencari cucur udang. "Kalau tak pakai topeng itu, kita tak tahu bila kita nak kena (jangkitan H1N1). Peniaga juga kena pakai topeng ... kena jaga kesihatan," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, di sini, semalam. Beliau yang memakai topeng itu berkata, orang ramai serta peniaga perlu berhati-hati dan mementingkan kebersihan makanan.