Dangi, 17 November - SMK Dangi telah menjadi tuan rumah bagi Program RIMUP Berkelompok dengan menganjurkan perlawanan Bola Tampar 3 Penjuru, melibatkan tuan rumah, SMK Jelai dan SMK Datuk Undang Abdul Manap.
Perlawanan pertama yang bermula jam 8.30 pagi menyaksikan pertarungan antara SMK Dangi dengan SMKDUAM yang dimenangi SMK Dangi dengan straight set 15 - 5 dan 15 - 4. Manakala perlawanan kedua di antara SMKDUAM dengan SMK Jelai berkesudahan SMKDUAM tewas lagi dengan 1 - 15 dan 5 - 15.
Perlawanan ketiga di antara SMK Dangi dengan SMK Jelai ibarat 'buku bertemu ruas'. Pertarungan berlangsung sengit dan pasukan masing-masing telah bermain bermati-matian. Walaupun ketinggalan pada awal perlawanan, pasukan SMK Dangi telah berjaya memenangi set pertama dengan 15 - 10. Namun pasukan SMK Jelai tidak berputus asa, sebaik set kedua dimulakan mereka telah menunjukkan peningkatan dan akhirnya berjaya membawa perlawanan ke set penentuan dengan kemenangan 15 - 12.
Perlawanan set ketiga dikuasai sepenuhnya oleh pemain SMK Jelai dan akhirnya memenangi perlawanan dengan 15 - 9. Ketiadaan ketua pasukan SMK Dangi, Rose Izzaty Ishak untuk mengemudi pasukan SMK Dangi dilihat sebagai salah satu faktor kekalahan mereka.
Selepas perlawanan, acara penyampaian hadiah dan jamuan telah diadakan di Bilik Gerakan SMK Dangi. Pihak penganjur berharap agar program ini dapat diteruskan demi mengeratkan hubungan sesama sekolah berjiran di samping mengintegrasikan pelajar yang berbilang kaum demi mencapai hasrat 1 Malaysia.