Budak 3 tahun korban kedua H1N1 di Melaka
MELAKA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun disahkan mangsa kedua di Melaka yang meninggal dunia akibat Influenza A (H1N1) menjadikan kematian akibat wabak itu setakat ini sebanyak sembilan kes. Pengarah Kesihatan negeri, Dr Ghazali Othman ketika dihubungi mengesahkan kematian kanak-kanak itu akibat H1N1. Iffah Syazwina Samsudin, dari Kilometer 18, Jalan Parit Putat, Sungai Rambai, kira-kira 33 kilometer dari sini meninggal dunia kira-kira jam 4.30 petang kelmarin di Hospital Melaka (HM) selepas pertama kali mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta akibat deman pada 26 Julai lalu.
Ibu Iffah, Suhaila Ahmad, berkata anak sulung daripada dua beradik itu mengalami demam sejak 26 Julai lalu dan beliau dibawa ke sebuah hospital swasta di negeri ini dua hari kemudian bagi mendapatkan rawatan tetapi dipindahkan ke HM Jumaat lalu dan disahkan meninggal dunia akibat selesema selepas mengalami lemah paru-paru di bahagian kiri. Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut, anaknya itu didapati mengalami demam teruk selain tekaknya turut mengalami kemerahan sebelum diberikan antibiotik demam dan batuk.
"Selepas diperiksa kali kedua, pihak hospital mengesan paru-paru anak saya dijangkiti kuman dan beliau dihantar ke HM, sebelum disahkan meninggal dunia petang kelmarin," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat sini, semalam.
Posted by: Zul Ezam Kamarul Ariffin
Guru Data SMK Dangi