Muhyiddin syor penutup mulut, hidung jadi barang kawalan
17/08/2009 10:43am
BUKIT MERTAJAM 17 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesyorkan supaya penutup mulut dan hidung dijadikan barang kawalan bagi memastikan harga yang dijual adalah berpatutan. Muhyiddin berkata, barangan ini diharap dapat diteliti oleh kementerian yang berkenaan berikutan terlalu banyak aduan berhubung harga penutup mulut dan hidung yang melambung tinggi.
"Saya difahamkan harganya daripada 30 sen telah melambung hingga RM5 seunit ketika ini, jadi diharapkan kementerian berkenaan dapat menjadikan ia barangan kawalan di bawah Akta Kawalan Harga.
"Bekalan juga harus dipastikan cukup selain harga yang munasabah perlu dipastikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kerana penutup mulut dan hidung sudah menjadi satu keperluan ketika keadaan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) seakan-akan menjadi darurat kesihatan," katanya. - Utusan.