flashvortex

Monday, August 10, 2009

Kes Denggi Meningkat, tetapi tiada kematian terbaru

Bagi tempoh 26 Julai hingga 1 Ogos 2009, sejumlah 568 kes demam denggi dan tiada kematian dilaporkan ke Kementerian Kesihatan. Jumlah ini meningkat sebanyak 40 (8%) kes jika dibandingkan dengan minggu sebelumnya iaitu 528 kes. Sebanyak lapan buah negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding dengan minggu lepas iaitu, Negeri Sembilan 100% (dari 7 kes minggu sebelumnya ke 14 kes), Sarawak 79%, Kedah 71%, Pulau Pinang 58%, Melaka 43%, Perak 42%, Kelantan 25% dan Pahang 8%. Jumlah terkumpul kes denggi pada tahun 2009 ialah 27,542 kes dengan 66 kematian berbanding 25,795 kes dengan 61 kematian bagi tempoh yang sama tahun 2008 iaitu peningkatan kes denggi sebanyak 1,747 (7%) kes.

Sebanyak 76,454 buah premis yang dijalankan pemeriksaan Aedes oleh KKM dan PBT pada minggu ini mendapati kadar pembiakan Aedes meningkat sebanyak 19% berbanding dengan minggu lepas. Lima buah negeri menunjukkan kadar peningkatan pembiakan Aedes yang tinggi iaitu Pulau Pinang 150%, Pahang 94%, Johor 42%, Sarawak 36% dan WPKL dan Putrajaya 23%. Di seluruh negara aktiviti gotong royong bagi tujuan menghapuskan punca pembiakan masih kurang dijalankan dimana hanya 35(59%) aktiviti dapat dijalankan, walaupun sebanyak 59 aktiviti yang disasarkan pada minggu ini. Sejumlah 200 kompaun bernilai RM43,800 dan 353 notis arahan pembersihan telah dikeluarkan pada minggu epid 30 melalui tindakan penguatkuasaan di seluruh negara.

Bagi penyakit Chikungunya, sejumlah 35 kes telah dilaporkan dengan penurunan tiga kes sahaja berbanding minggu sebelumnya iaitu 38 kes. Hanya tiga negeri iaitu Sarawak, Kedah dan Perlis yang menunjukkan peningkatan kes pada minggu 30. Bagaimanapun, tiada kematian berkaitan penyakit Chikungunya dilaporkan sehingga kini. Bilangan kes yang dilaporkan mengikut negeri adalah seperti di lampiran B.

Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar memandang serius penyakit demam denggi dan Chikungunya, memandangkan ia boleh merebak dengan cepat melalui gigitan nyamuk Aedes. Bagi pesakit yang mempunyai tanda-tanda demam denggi diminta mendapatkan rawatan awal untuk mengelakkan komplikasi yang boleh membahayakan nyawa pesakit. Bagi mereka yang telah dijangkiti demam denggi dan Chikungunya dinasihat untuk mengurangkan pergerakan keluar rumah bagi mengelakkan penularan jangkitan ke kawasan baru.

Petikan Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.
Kunjungi Laman Web http://moh.gov.my/MohPortal/newsFull.jsp?action=load&id=443 untuk maklumat terkini.

Posted by: Zul Ezam Kamarul Ariffin