flashvortex

Tuesday, September 1, 2009

TAZKIRAH RAMADHAN SIRI 6

Ramadan sinonim bulan penyucian rohani, fizikal

RAMADAN, bulan penuh dengan rahmat dan keampunan yang menyediakan pelbagai peluang baik, bukan saja untuk menyucikan diri daripada segala dosa malah juga memperbanyakkan amal kebajikan. Di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama manusia, Ramadan juga dapat mendidik Muslim untuk bersama membantu golongan daif agar mereka dapat menikmati kehidupan lebih baik melalui bantuan yang dihulurkan. Dalam ajaran Islam, amalan ini akan meningkatkan lagi jumlah pahala mereka.

Bulan ini turut dimaklumi sebagai bulan yang penuh dengan pelbagai dugaan. Dalam hal ini, dugaan untuk melakukan amalan yang baik pada setiap masa dan sentiasa pula berusaha untuk mengekalkan pahala yang diperoleh itu juga sebenarnya lebih sukar lagi daripada dugaan menahan lapar dan dahaga. Selain itu, dugaan bentuk baru yang melanda umat Islam ketika Ramadan tahun ini ialah merebaknya wabak H1N1. Penularan wabak yang tidak dijangka ini di kalangan manusia dikhuatiri akan menjadi lebih serius dalam bulan ini memandangkan mobiliti bebas di kalangan umat Islam yang secara tidak langsung memudahkan penularan virus wabak itu. Di dalam bulan mulia ini, umat Islam akan berpusu-pusu mengunjungi bazar Ramadan untuk membeli pelbagai juadah berbuka puasa. Selain itu, pada malam hari, pelbagai lapisan umur masyarakat Islam akan mengunjungi surau dan masjid untuk bersolat Tarawih dan tazkirah secara berjemaah.

Ramai lagi di kalangan mereka bertumpu di pusat beli-belah bagi persediaan menyambut ketibaan Aidilfitri nanti. Walaupun kekhuatiran terhadap wabak ini melanda seluruh masyarakat dunia, perlu diingatkan juga bahawa khusus bagi umat Islam, fadilat Ramadan yang dihayati dan diamalkan sebaik mungkin pasti akan dapat membantu mereka menghindarinya. Secara umumnya, antara sebab penularan penyakit selesema ini adalah berkaitan dengan sikap individu yang tidak prihatin dengan tahap penjagaan kesihatan dan kebersihan diri. Namun, aspek kebersihan ini amat diberi penekanan yang tinggi secara istimewa dalam bulan Ramadan. Dalam erti kata lain, menyucikan diri mereka daripada segala dosa dan noda, manakala penyucian diri, sudah pasti merangkumi penyucian dan kebersihan fizikal, spiritual dan persekitaran. Atas sebab itu, Ramadan itu amat sinonim sebagai bulan penyucian, dan memang tidak wajar jika aspek kebersihan dan kesucian itu diabaikan oleh setiap umat Islam yang berpuasa.

(Bersambung...)