flashvortex

Showing posts with label Zul Ezam Kamarul Ariffin - Panitia P. Moral. Show all posts
Showing posts with label Zul Ezam Kamarul Ariffin - Panitia P. Moral. Show all posts

Wednesday, November 18, 2009

REFLEKSI MORAL

Tikam kenalan, dipenjara 13 tahun

KUALA LUMPUR 17 Nov. -- Pergaduhan yang tercetus hanya 10 minit. Namun akibatnya seorang pemotong ayam warga Indonesia perlu menghabiskan 13 tahun di dalam penjara setelah mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian kenalannya. Syahrul Efendi, 30, dari Sumatera Utara yang mencari rezeki di Pasar Chow Kit, bertindak menikam dada Adi Syahputra, 31, buruh pasar yang sama pada pukul 9 malam, 3 Disember 2006 di tepi rumah No. 28, Jalan Raja Alang, Kampung Baru di sini.

Segalanya dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati Adi yang kehilangan telefon bimbitnya. Mangsa yang berketurunan Madura mengetuk kepala Syahrul menggunakan sebiji gelas sehingga luka dan menerima lima jahitan. Setelah pergaduhan dileraikan, Syahrul yang masih tidak berpuas hati mengambil sebilah pisau lalu menikam mangsa ketika melalui sebuah lorong. Mangsa yang cedera di dada akibat tikaman meninggal dunia pada pukul 1 pagi, keesokan harinya di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sumber: Utusan Malaysia Online

Refleksi: Nilai rasional sepatutnya diamalkan bagi mengelak kejadian seperti di atas berlaku. Mereka sepatutnya boleh berfikir tentang akibat buruk yang bakal berlaku sekiranya tidak bersabar menghadapi situasi sedemikian. Mereka juga sepatutnya bertindak wajar dengan tidak memulakan pergaduhan sehingga akhirnya menyebabkan kematian rakan sendiri.

Thursday, October 15, 2009

REFLEKSI MORAL

Laporan KPI: Guru wanita saman pengetua RM228,000

KUANTAN 6 Okt. - Akibat tidak puas hati dengan laporan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) oleh ketuanya, seorang guru sekolah menengah memfailkan saman terhadap pengetua sekolah tersebut bagi menuntut ganti rugi RM228,000. Rozilah Abdullah, 37, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota, Jalan Gambang memfailkan saman tersebut melalui firma guaman, Tetuan Balkish Alias & Co. di pejabat pendaftar Mahkamah Sesyen di sini pada 12 Ogos lalu.

Rozilah selaku plaintif yang diwakili peguam Balkish Alias menamakan pengetua sekolah tersebut, Aluwiyah Osman sebagai defendan. Kes berkenaan disebut di hadapan Hakim Hassan Abdul Ghani hari ini. Hassan bagaimanapun menetapkan 5 November ini sebutan semula kes tersebut selepas Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili defendan memohon masa untuk memfailkan pernyataan pembelaan.

Guru berkenaan yang telah berkhidmat sejak 11 tahun lalu mendakwa berlaku ketidakadilan dan penindasan terhadapnya melalui laporan KPI yang dikeluarkan oleh defendan. Menurut Rozilah, dia telah menerima surat menyatakan tiada pergerakan gajinya pada tahun lalu berikutan laporan KPI yang dinilai sebagai buruk yang dikeluarkan pengetua berkenaan.

''Pengetua itu turut memalukan saya di hadapan guru lain selain menuduh saya sengaja enggan mematuhi perintah.
''Malah, saya tidak diberi peluang untuk membela diri kerana tidak pernah dipanggil dalam sebarang siasatan atau diberi peluang menjawab laporan yang dibuat oleh ketua saya itu,'' dakwanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan mahkamah.

Menurut pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa mengalami tekanan perasaan selepas mengetahui laporan prestasinya diketahui pihak lain sebelum dia menerimanya. Ekoran tersebarnya laporan prestasinya yang buruk itu, dia mendakwa mengalami penyakit tekanan darah rendah selain perasaan malu yang akan kekal sepanjang hayat. Disebabkan laporan itu juga, dakwa Rozilah, kewibawaan dan reputasinya sebagai seorang pendidik dipandang rendah serta dicemuh masyarakat sekeliling. Sehubungan itu, dia tampil ke mahkamah untuk menuntut keadilan selain memulihkan kembali reputasinya yang terjejas teruk.

Refleksi: Pihak pentadbir dan staf sekolah seharusnya berbincang bersama bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan, bukannya saling salah-menyalahkan antara satu sama lain. Penyelesaian kes di mahkamah tidak membawa keuntungan kepada mana-mana pihak, malahan nama baik institusi pendidikan akan tercemar sehingga masyarakat bakal mempersoalkan kredibiliti para pendidik.

Sumber: Utusan Online - 7 Oktober 2009

Monday, October 5, 2009

REFLEKSI MORAL

Bersyukurlah kita dengan nikmat perpaduan...

BUMI bagaikan marah dan mengamuk. Di sana sini ada saja bencana yang menimpa. Bermula dengan Ketsana, taufan yang membawa sekali bencana banjir di Filipina, diikuti gempa bumi yang membawa tsunami di Samoa dan gempa bumi di Sumatera Barat. Beberapa lagi kejadian tanah runtuh, kebakaran, bangunan runtuh dan banjir terus melanda. Ternyata manusia tidak dapat menghalang bencana yang menyapa. Bencana yang melanda menyapu bersih apa yang ada di muka bumi ini - manusia, tumbuh-tumbuhan, ternakan, kenderaan dan sebagainya.

Tidak mengenal agama, darjat dan keturunan. Itulah kehendak Tuhan yang tidak dapat dihalang. Sebagai jiran, kita menumpang sedih dengan penduduk Filipina dan Indonesia.Walaupun kadangkala ada tindakan sesetengah penduduk tetangga kita itu menyinggung perasaan tetapi sebagai manusia, kita harus menghulurkan simpati. Bak kata orang cubit paha kanan paha kiri juga terasa sakitnya.

Maka dalam menyatakan rasa simpati itu, kita harus bersyukur kerana negara kita masih selamat daripada bencana seumpama itu. Belum ada yang terlalu serius hingga mengorbankan ratusan jiwa atau menyebabkan ribuan lagi hilang ditelan bumi atau cedera. Bertuahnya bumi Malaysia ini. Ketika kita sibuk mengadakan rumah terbuka Aidilfitri, rumah saudara seagama kita ranap dan ditelan bumi. Justeru, jagalah negara kita. Tetapi bagaimana mahu menjaganya?

Jadi harus diingatkan, dalam kesibukan mencari kuasa untuk menjaga Malaysia ini, tolonglah dihindarkan perkara-perkara yang boleh merosakkan perpaduan dan keharmonian masyarakat. Kenapa sekadar untuk mencari wakil rakyat, kita sebagai warganegara Malaysia sanggup memaki hamun sesama saudara seagama dan sebangsa, ada pula sanggup bertumbuk dan mencederakan orang lain. Contohnya pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung di beberapa kawasan menyaksikan orang politik hilang pertimbangan kerana kuasa. Budaya apa yang mahu dibawa ke dalam dunia politik di negara ini? Apakah atas nama demokrasi, kita boleh bersuara apa sahaja sesuka hati tanpa mengambil kira perasaan orang lain?

Sebelum ini, ada pemimpin parti politik yang mempelopori budaya demonstrasi jalanan. Kini ia semakin segar. Sudah beberapa kali 'acara' ini diadakan yang melibatkan orang politik sebagai dalangnya. Tujuannya sekadar mahu menyerahkan memorandum bantahan tetapi akhirnya menyusahkan banyak pihak. Adakah budaya demonstrasi jalanan ini akan terus segar bugar seperti yang berlaku di negara tetangga kita Indonesia dan Filipina?

Mungkin disebabkan negara kita aman dan harmoni, maka ada unsur-unsur yang mahu mencari sesuatu yang baru, yang luar biasa tanpa memikirkan kesan buruk kepada negara. Kadangkala manusia tidak pernah bersyukur dengan nikmat yang ada sehinggalah mereka diberi petunjuk dengan bencana yang menimpa. Semoga negara ini akan terus mengekalkan nikmat perpaduan, dan seterusnya terhindar dari bencana...

Friday, October 2, 2009

REFLEKSI MORAL

Kenal pasti punca perubahan sikap pemanduan

PENYEBAB kegagalan Ops Sikap yang kita sering dengar ialah sikap pemandu itu sendiri. Oleh itu, ‘sikap’ telah dituduh sebagai penyebab utama kegagalan operasi murni kerajaan. Saya yang berkecimpung secara serius dan mendalam mentadbir dan mengkaji pembangunan sains teknologi perlumbaan kereta dan motosikal, terpanggil untuk memberi pendapat namun tidak berminat berbincang mengenai jumlah kemalangan dan kematian yang dihasilkan oleh sikap-sikap pemandu di Malaysia masa kini.

Apa yang perlu dikerjakan sekarang ialah kajian dan kaedah mengelakkan ‘punca’ sikap itu sendiri. Mencegah itu lebih baik daripada merawat – selalu kita dengar ayat keramat ini namun mungkin kaedah pelaksanaannya kurang tepat. Pada pendapat saya, kaedah-kaedah ‘bijak’ yang digunakan dalam sains dan teknologi sukan bermotor boleh diketengahkan untuk diguna pakai oleh masyarakat umum.

Untuk tidak disalah anggap, bukanlah faktor ‘kelajuan’ dan ‘keberanian’ yang dimaksudkan kerana itu adalah punca datangnya sikap ego serta mudah tersinggung dan akhirnya membawa padah dan kecelakaan.

‘Kebijaksanaan’ pemandu dan penunggang ialah satu-satunya kaedah terbaik yang dapat membawa ke arah pembaikpulihan. Oleh itu, persediaan rapi semua aspek termasuk fizikal dan mental secara bijak oleh setiap pemandu dan penunggang motosikal adalah keutamaan bagi membasmi kemalangan di jalan raya.

Mungkin sesetengah pihak sudah terlepas pandang atau tidak tahu bahawa jika sesebuah kenderaan itu telah terlebih muatan seperti memenuhkan boot simpanan barangan atau bilangan penumpang yang lebih daripada biasa. Ingat, di samping tangki minyak yang penuh, kenderaan tersebut perlu dipandu dengan cara yang berbeza daripada kebiasaan. Kita perlu membrek dengan lebih awal dan perlu mengambil selekoh dengan lebih perlahan. Dengan bebanan dan berat yang lebih daripada biasa ini juga menyebabkan kenderaan itu akan berkurangan tenaga untuk memotong kenderaan lain dan ini mampu menyebabkan kemalangan akibat berat dan bebanan luar daripada kebiasaan.

Momentum pergerakan kenderaan itu sudah berbeza apabila ia tidak dapat berhenti cepat seperti dikehendaki dan tidak dapat mengambil selekoh dengan cekap seperti biasa. Jika pemandu tidak sedar dengan realiti ini, mereka sangat terdedah dengan kemalangan.

Saya senaraikan secara ringkas antara faktor ‘penyebab’ sikap buruk pemandu dan penunggang motosikal di atas jalan raya.
1. Pemakanan dan cara hidup yang tidak normal di musim perayaan.Tidak cukup tidur dan rehat. Pengambilan gula, karbohidrat dan makanan berlemak secara berlebihan menyebabkan otak menjadi lembap, leka dan lalai. Meminum kopi atau apa-apa yang mengandungi kafein serta merokok terutamanya pengambilan yang lebih daripada biasa akan membuatkan kita menjadi lebih teruja dan peka, namun tanpa disedari kita menjadi lebih mudah gementar, mudah terkejut serta kekok dan mudah melatah hinggakan otak gagal berfungsi dengan bijak dan efisien.
2. Papan-papan iklan di sepanjang jalan raya dan lebuh raya secara tidak langsung mengganggu konsentrasi pemanduan pengguna jalan raya. Iklan-Iklan menarik di radio juga mengganggu konsentrasi. Pengguna telefon bimbit secara lebih kerap bagi melayani kemeriahan perayaan akan memburukkan keadaan.
3. Menggunakan kasut dan pakaian baru tidak sesuai untuk pemanduan dan tunggangan bagi perjalanan jarak jauh.Pengisian barangan di dalam boot belakang tidak disusun dengan betul atau lebih muatan. Cockpit atau ruang tempat duduk pemandu sarat dengan perkakasan dan aksesori yang tanpa disedari telah mengganggu konsentrasi pemandu.
4. Segelintir pemandu atau pemilik kenderaan tidak mampu menyelenggara kenderaan mereka dengan cara terbaik. Tidak mampu dari segi kewangan. Tidak mampu dari segi masa yang terhad akibat kerja baik pulih kenderaan pada saat-saat akhir. Penyelenggaraan kereta atau motosikal dibuat sendiri dengan pengetahuan dan perkakasan kerja yang serba kekurangan.
5. Kos perbelanjaan yang tinggi hingga mengganggu jiwa atau perasaan sangat teruja dan berbesar hati untuk menghadapi kemeriahan perayaan membuatkan sikap manusia ini berubah seketika di musim perayaan.

Terjemahkanlah dengan bijak dan positif pendapat-pendapat ringkas ini. Jika anda sudah tidak sayangkan nyawa sendiri, sekurang-kurangnya sayangilah nyawa orang lain.

Thursday, October 1, 2009

MORALITI BANGSA

Remaja potong tangan bapa

TAIPEI 29 Sept. - Seorang remaja lelaki Taiwan berusia 17 tahun ditahan kerana menetak tangan bapanya ekoran dendam kerana penderaan fizikal selama bertahun-tahun.Remaja tersebut memotong pergelangan tangan bapanya dengan sebilah pisau semasa bapanya sedang tidur di rumah keluarga mereka di Miaoli semalam, kata pegawai rasmi polis yang enggan dikenali hari ini.

Mangsa yang merupakan seorang tukang besi berusia 37 tahun yang telah bercerai, berada di dalam keadaan stabil selepas doktor menyambung semula tangannya yang terputus, ujar pegawai tersebut. Kedua-dua anak beranak itu hanya dikenali dengan nama keluarga mereka iaitu Fan.

Menurut pegawai polis, remaja lelaki itu mengakui memotong tangan bapanya tanpa menunjukkan perasaan kesal mengadu bahawa dia dipukul ekoran tidak mahu mendapatkan pekerjaan sejak masih bersekolah. Akhbar Apply Daily memetik remaja itu sebagai berkata kepada polis bahawa sejak ibunya meninggalkan rumah kira-kira 10 tahun lalu, bapanya kerap memukulnya malah membaling kerusi dan barang-barang ke arahnya.

Akhbar itu turut melaporkan remaja tersebut mengakui membeli pisau dan merancang untuk membunuh bapanya dua hari sebelum kejadian itu, selepas bapanya memarahinya kerana tidak bekerja serta enggan memberikan elaun kepadanya. Remaja itu akan diserahkan kepada mahkamah juvenil yang akan menentukan sama ada dia akan didakwa atau tidak. - AP

Moral: Kasih sayang terhadap keluarga harus dipupuk tidak kira sama ada keluarga itu terlibat dengan masalah penceraian. Sebagai bapa seharusnya membimbing anak dan bertanggungjawab menghantar anak mendapatkan pendidikan setinggi mungkin, bukan memaksa anak bekerja.

Tuesday, September 29, 2009

REFLEKSI MORAL

Kaunseling mampu bina ketahanan keluarga
Oleh Dr Rohany Nasir
rencanabh@bharian.com.my

GLOBALISASI menyaksikan perubahan pesat di persekitaran individu dan masyarakat umum. Seiring kepesatan perubahan sejagat, masyarakat terdedah dengan pelbagai ancaman luaran dan dalaman. Justeru, ia menuntut keluarga khususnya ibu bapa menjadi lebih kuat, bersedia dan mampu menangani cabaran. Laporan World Resources Institute (2008) menyebut ketahanan diri boleh meningkat dalam tiga dimensi iaitu lebih mantap dari segi ekonomi; lebih berdaya tahan dari segi sosial dan boleh bekerjasama untuk kebaikan bersama; dan ekosistem tempat tinggal manusia lebih berdaya tahan dari segi biologi supaya produktif dan stabil. Dengan mengambil kira keadaan masa kini, wajar kaunseling keluarga memberi tumpuan kepada usaha mempersiapkan keluarga dengan ciri-ciri ketahanan diri yang mantap bagi mengekang gejala negatif yang semakin menular.

Tumpuan kepada aspek positif ketahanan diri dapat membantu ahli keluarga lebih bersedia berdepan cabaran. Pendekatan ini menekankan kepada usaha membina ketahanan diri ibu bapa berlandaskan prinsip ibu bapa adalah orang yang mempunyai ketahanan diri mampu membina keluarga bahagia dan membesarkan anak. Ibu bapa kini berdepan pelbagai tuntutan untuk peka dengan pelbagai pengalaman baru yang positif dan negatif, peluang dan jenis pendidikan untuk anak; memahami dan memenuhi keperluan rohani dan jasmani; tuntutan terhadap dirinya sendiri sebagai seorang pekerja dan sebagai anak kepada orang tua mereka. Semua ini mencabar kestabilan keluarga. Oleh itu ibu bapa sebagai teraju perlu ada ketahanan diri supaya mereka mampu membina sebuah keluarga teguh dan kukuh yang mampu berdepan dengan tuntutan semasa dan melangkah maju.

Ahli psikologi mengkaji ketahanan diri dan tingkah laku menangani masalah sejak 1970-an. Minat mengkaji konsep ini menurun buat beberapa lama. Namun, sejak peristiwa pengeboman World Trade Center di Amerika Syarikat pengkaji lebih memberi tumpuan kepada kajian ketahanan diri khususnya dalam berdepan krisis, trauma, bencana alam dan pengaruh negatif. Ketahanan diri adalah keupayaan individu berdepan tekanan dan bencana, juga mempunyai pengertian sama dengan faktor pelindung dan digunakan berlawanan dengan faktor risiko. Ini bermakna, individu yang mempunyai ketahanan diri memperoleh faktor pelindung diri dan tidak berisiko menjadi rapuh. Ia akan bangkit tanpa tunduk kepada tekanan atau kesukaran yang dialaminya.

Selepas tragedi 11 September itu, pengkaji lebih tertumpu kepada psikologi positif, faktor pelindung dan pencegah, optimisme dan keyakinan, penyesuaian dan ketahanan diri. Individu yang mempunyai ketahanan diri mampu melihat daripada sudut positif, menggunakan pengalaman pahit atau trauma sebagai peluang membaiki diri. Mereka mampu bertahan dan tidak menunjukkan tanda-tanda seperti kebimbangan kronik, kemurungan, atau sakit mental. Ketahanan diri di kalangan rakyat tempatan dapat dilihat melalui sejarah pembentukan negara kita. Sebelum Persekutuan Tanah Melayu, rakyat berdepan pelbagai kesukaran disebabkan penjajahan.

Monday, September 28, 2009

REFLEKSI MORAL

Hargai nyawa rakyat Malaysia

Ops Sikap Ke-20 sudah berakhir semalam. Harapan untuk mengurangkan angka kematian, kemalangan dan pengeluaran saman pada Ops Sikap kali ini ternyata tidak berjaya. Angka kematian di jalan raya semakin meningkat. Kadar kemalangan tidak pun menurun setelah satu demi satu Ops Sikap dilaksanakan. Jadi sudah ada komentar yang mengkritik pelaksanaan Ops Sikap.

Segelintir pengkritik mendakwa Ops Sikap tidak berjaya mendidik disiplin pengguna jalan raya. Lalu langkah mencegah kemalangan itu dianggap sebagai projek membuang masa dan membazir wang kerajaan semata-mata.vWalaupun Ops Sikap kali ini mencatatkan jumlah kemalangan maut paling tinggi sejak ia dilancarkan pada 2001, jumlah ini masih rendah berbanding dengan kadar kematian harian peringkat nasional iaitu 18 orang, manakala kadar kematian harian musim perayaan sebelum Ops Sikap mula dilancarkan pada tahun 2001 ialah 23 orang.Hakikatnya kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya serta agensi yang berkaitan telah berusaha untuk mengurangkan angka kematian dan kemalangan. Pelbagai pendekatan pencegahan kemalangan, penguatkuasaan undang-undang dan penggunaan teknologi moden diperkenalkan dari tahun ke tahun -- tetapi kadar kematian dan kemalangan tidak berubah.

Usaha ini kurang berjaya kerana sikap pemandu Malaysia sendiri. Pemandu negara kita gemar memandu laju, suka langgar peraturan lalu lintas dan tidak berdisiplin di jalan raya. Malah menurut Jabatan Keselamatan Jalan Raya, antara sebab utama kemalangan berlaku di Malaysia ialah sikap memandu melebihi had laju.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan meluahkan rasa kecewa terhadap peningkatan kes kemalangan maut khususnya pada musim perayaan di negara ini.Katanya; "Di Malaysia, walaupun hukuman mati sekalipun (dikenakan), pengguna jalan raya akan tetap melanggar undang-undang."

Ia adalah punca utama masalah kemalangan jalan raya.Peningkatan kematian dan kemalangan adalah disebabkan sikap pengguna yang tidak bertanggungjawab dan melanggar peraturan termasuk memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kemalangan.
Jika benarlah pemandu Malaysia gemar melanggar peraturan jalan raya, sudah tiba masanya kita menilai harga nyawa mereka. Malaysia sekarang berada dalam senarai salah satu negara yang paling tinggi kadar kematian akibat kemalangan jalan raya berbanding dengan negara jiran dan negara membangun lain.

Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia adalah yang paling tinggi jumlah kematian di jalan raya bagi setiap 100,000 penduduk. Malaysia mencatatkan 23.6 kematian berbanding dengan Thailand 19.6, Indonesia 7.1, Singapura 4.8 dan Filipina 1.3.
Ungkapan kata-kata "kelajuan itu membunuh" ternyata tidak meresap ke dalam minda pemandu Malaysia. Sedangkan setiap hari kita boleh membaca laporan media tentang tiada satu hari tanpa berita kemalangan jalan raya di negara ini. Menurut Menteri Pengangkutan, dianggarkan antara 7,000 hingga 7,500 orang mati di jalan raya dan lebuh raya Malaysia setiap tahun di antara 2001 hingga 2007. Angka kematian itu jika dibandingkan dengan jumlah 27 juta penduduk negara ini, ia dianggap tinggi.

Datuk Seri Ong Tee Keat baru-baru ini berkata memandu terlampau laju biasanya menyumbang 60 hingga 70 peratus kemalangan. Kajian yang dijalankan oleh International Institute of Administrative Sciences dua tahun lalu mendapati kelajuan adalah faktor utama risiko kemalangan di jalan raya. Kelajuan boleh memberi kesan pada risiko berlaku kemalangan dan kecederaan teruk. Kelajuan yang tinggi mendorong risiko lebih besar terhadap pelanggaran dan kemungkiman kecederaan parah yang serius. Pemanduan laju juga mengundang kesilapan lebih besar dilakukan oleh pemandu.

Namun jarang-jarang pesalah mahu mengakui mereka telah memandu laju melebihi had ditetapkan. Mungkin sikap pemanduan sebegini akan berubah apabila langkah penguatkuasaan dan pencegahan dilakukan melalui peralatan elektronik. Jika Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berpendapat cadangannya memasang Kamera Pengesan Saman Secara Automatik (AES) di 831 kawasan berisiko berlaku kemalangan di seluruh negara mampu mengurangkan kadar nahas jalan raya, maka kerajaan harus sokong.

Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, tinjauan di lebih 12 negara dan uji kaji yang dijalankan di Lebuh Raya Guthrie mendapati teknologi itu sesuai digunakan di Malaysia.Malaysia tidak patut beralah dan putus asa dalam menangani masalah kemalangan jalan raya. Jika sistem lampu berkamera yang diperkenalkan beberapa tahun lalu dianggap gagal kerana kurang penyeliaan, maka pihak berkenaan terutama JPJ perlu mengambil iktibar dan jangan perkara yang sama diulangi.

Kita percaya jika sistem AES digunakan di tempat strategik, mana-mana pesalah pasti diberikan saman tanpa rasa takut dan memilih, malah ia mencegah daripada berlaku rasuah. Di samping itu, kadar denda kerana kelajuan perlu dilihat semula. Kadar saman yang mampu dibayar oleh pesalah menjadikan usaha pencegahan nampak lemah.

Jika dibandingkan kadar bayaran saman kerana kelajuan di antara Malaysia dengan negara lain, jelas negara kita mengenakan saman paling rendah. Namun ramai yang bersikap ingkar membayar saman, lebih-lebih lagi apabila mereka boleh 'berunding' untuk mendapat diskaun pada masa dan musim tertentu. Penguatkuasaan peraturan, pelaksanaan dan pengenalan sistem lalu lintas dibuat untuk menjamin keselamatan nyawa pengguna jalan raya di negara ini.

Semua ini dibuat kerana kos kemalangan di jalan raya menyebabkan Malaysia kerugian dari sudut ekonomi sebanyak dua peratus daripada Keluaran Negara Kasar setiap tahun. Menurut Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, dianggarkan kos kemalangan di negara ini adalah RM9 bilion setahun. Angka itu belum termasuk kes kemalangan jalan raya yang tidak direkodkan.Nilai kos kemalangan jalan raya di Malaysia amat tinggi. Harga yang mahal itu cukup terasa apabila kebanyakan kemalangan meragut nyawa golongan yang produktif dalam ekonomi. Jika kita membaca berita di dalam surat khabar, hakikatnya mangsa yang terlibat kemalangan adalah golongan berumur 18 hingga 50 tahun.

Malaysia perlu belajar dan mengambil pendekatan terbaik daripada negara luar. Mungkin ia amat berguna untuk menyelamatkan nyawa rakyat, memerangi gejala rasuah dan menjadikan pemandu Malaysia berhemah di jalan raya. Apa yang lebih penting ialah kita patut menghargai nilai nyawa rakyat Malaysia.

Thursday, September 24, 2009

REFLEKSI MORAL

Kajian perbandingan tangani kemalangan maut

MUNGKIN ada kebenarannya apa yang dinyatakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Sekalipun hukuman mati dikenakan, ia tidak mampu mengubah sikap pemanduan rakyat Malaysia di jalan raya. Semua pihak terutama penguatkuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sendiri buntu bagaimana untuk menangani isu kemalangan maut di negara ini.

Pihak polis sentiasa berusaha untuk mengurangkan kadar kemalangan maut dengan menjalankan Ops Sikap setiap tahun semasa musim perayaan, namun statistik kemalangan maut tetap tidak menurun bahkan semakin bertambah. Tidak terkecuali Ops Sikap sempena Aidilfitri tahun ini. Namun mengurangkan kadar kemalangan maut bukanlah berada di bahu pihak polis dan JPJ semata-mata.

Kata-kata KPN ini menggambarkan rasa terkilan beliau dengan sikap pemanduan Malaysia yang seperti lupa diri apabila memegang stereng. Seolah-olah jalan raya merupakan pentas terbaik untuk menunjuk lagak. Rasa tidak hormat dengan pemandu yang lain juga menyebabkan tragedi kemalangan maut sering berlaku. Ini tidak termasuk sikap kurang ajar segelintir pemandu yang tidak menghormati undang-undang.

Isu kemalangan jalan raya terutamanya melibatkan kematian yang cukup tinggi merupakan satu isu nasional. Maka, disyorkan satu kajian yang mendalam melibatkan kemalangan maut. Dicadangkan data-data kemalangan yang direkodkan oleh pihak polis bermula daripada Ops Sikap 1 sehingga yang terbaru ini (Ops Sikap 20) dikaji dengan teliti.

Perkara-perkara seperti apakah punca kemalangan, jenis kenderaan dan golongan yang paling banyak terlibat dengan kemalangan, kawasan bagaimanakah yang paling banyak berlaku kemalangan dan bagaimanakah kematian boleh berlaku perlu dikaji secara mendalam. Kajian sebegini membolehkan segala maklumat terperinci mengenai kemalangan maut dapat dirungkaikan supaya polisi-polisi yang lebih berkesan dan tepat dapat digubal. Kerjasama pihak polis bersama-sama dengan pakar-pakar dalam bidang pengangkutan diperlukan untuk memastikan kajian sebegini siap sepenuhnya.

Di samping itu, hasil kajian ini mestilah disokong dengan kajian perbandingan dengan negara-negara yang mempunyai rekod kemalangan yang rendah dan pemandu-pemandunya berhemah tinggi seperti di New Zealand, United Kingdom, Jerman, Jepun dan Australia. Persoalan bagaimanakah cara pemanduan rakyat mereka dan undang-undang apakah yang boleh diguna pakai di Malaysia patut dikaji untuk mengurangkan kadar kemalangan di negara ini. Paling penting, kajian perbandingan ini mestilah memberi satu dapatan dan impak yang besar yang membolehkan kerajaan dan rakyat Malaysia membudayakan sikap pemanduan yang berhemah tinggi.

Pembudayaan sikap pemanduan yang berhemah tinggi dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia merupakan penyelesaian jangka masa panjang untuk membendung kemalangan maut di kalangan rakyat Malaysia. Umpamanya di New Zealand, penunggang motosikal di sana sentiasa beratur di belakang kenderaan di depan mereka apabila lampu isyarat berwarna merah. Tetapi di Malaysia sudah diketahui umum kebanyakan penunggang motosikal berlumba-lumba untuk berada paling depan ketika berhenti di lampu isyarat meskipun kenderaan-kenderaan lain terlebih dahulu tiba.

Bagaimanakah sikap berhemah ketika memandu di kalangan rakyat di negara-negara tersebut boleh diterjemahkan dengan membudayakannya di Malaysia merupakan satu jawapan yang amat penting dalam menyelesaikan isu nasional ini. Adakah ia dibudayakan sejak kecil lagi atau diajar dalam kurikulum pendidikan pemanduan mereka agar mereka lebih berhemah, bertimbang rasa dan cekap memandu?

Kajian perbandingan ini mestilah menyeluruh dari semua segi agar mendapat gambaran yang kukuh untuk merangka strategi menangani isu kemalangan ini. Kajian ini seharusnya dibuat seberapa segera yang mungkin, seterusnya dibentangkan kepada satu jawatankuasa khas yang melibatkan menteri, polis, JPJ dan pakar-pakar berkaitan sebelum dibentangkan kepada Kabinet untuk dibuat keputusan. Apa yang penting, Malaysia tidak seharusnya sekadar menyediakan prasarana dan kemudahan jalan raya kelas pertama sahaja tetapi mestilah juga memastikan rakyatnya merupakan pemandu-pemandu yang mempunyai mentaliti kelas pertama di jalan raya melalui pembudayaan pemanduan berhemah serta memberi komitmen yang tinggi dalam mengatasi isu kemalangan dan kematian di jalan raya.

Jika ini dapat dilakukan, statistik kemalangan maut bukanlah lagi satu isu yang diperdebatkan setiap kali musim perayaan.

Thursday, September 10, 2009

REFLEKSI MORAL

Adelina Raisa Sufian


Adelina pelajar terbaik di London

Pelajar Malaysia, Adelina Raisa Sufian, 21, meraih anugerah 'Pelajar Terbaik Keseluruhan' dengan kelulusan Kelas Pertama Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris di Queen Mary College di University of London yang sekali gus mengharumkan nama negara. Beliau mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih untuk anugerah 'Westfield Trust Prize for Outstanding Academic Achievement' apabila berjaya menjadi pelajar Malaysia pertama memenangi anugerah yang dianggap paling berprestij dari universiti tersebut. Anak sulung kepada pasangan, Datuk Sufian Majid dan Datin Alissa Fitri ini berkata, beliau begitu gembira dan bangga kerana mendapat kelulusan kelas pertama dan berjaya menggondol anugerah tersebut kerana ia merupakan impian dan cita-citanya ketika mula menjejak kaki ke universiti tersebut.

''Saya belajar bersungguh-sungguh dengan menetapkan sasaran tertentu. Yang penting adalah kesungguhan dan keyakinan pada diri kita. Saya terpaksa menandingi ramai pelajar di London dan juga pelajar dari negara lain tetapi berbekalkan semangat yakin boleh, saya berjaya melakukannya.

''Saya juga selalu mendapat sokongan dan rangsangan daripada ibu bapa dan juga adik saya. Kata-kata rangsangan mereka memberikan suntikan semangat yang kuat kepada saya,'' katanya kepada Bernama.

Adelina Raisa yang mahir bermain piano dan pernah mewakili universiti dalam pertandingan koir, pertandingan Matematik dan banyak lagi aktiviti lain berkata, pelajar Malaysia boleh melakukan yang terbaik dalam pengajian bahasa Inggeris walaupun meneruskan pengajian di luar negara seperti di London yang penuh dengan cabaran. Beliau juga pernah memenangi anugerah 'Headmaster's Prize' pada 2004 di Oakham School dan juga Anugerah Terbaik untuk mata pelajaran Matematik, Inggeris dan Kimia pada tahun yang sama.

Ketika ditanya mengenai perancangan seterusnya, Adelina Raisa yang suka meluangkan masanya untuk menulis berkata: ''Saya akan bekerja di Malaysia. Saya sayangkan Malaysia. Negara kita tetap menjadi pilihan saya untuk meneruskan karier saya kerana banyak peluang di sini. ''Apabila kita habis belajar di luar negara, adalah lebih baik kita balik dan menyumbang tenaga dan khidmat kita kepada negara kita yang tercinta,'' katanya yang bercadang meneruskan pengajian mastersnya kelak.

Wednesday, September 9, 2009

REFLEKSI MORAL

Anugerah keunggulan SMKDP: Usaha dan kerajinan tangga kejayaan

BACHOK 8 Sept. – Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Perdana (SMKDP) di sini belum mencecah usia satu dekad, justeru agak mengejutkan apabila pada Ogos lalu menerima anugerah paling berprestij bagi sesebuah sekolah di negara ini.

Pengetuanya, Saupi Majid melangkah ke tengah pentas Dewan Banquet UPM bagi membawa pulang Anugerah Sekolah Cemerlang (ASC) peringkat kebangsaan 2009 kategori sekolah menengah harian luar bandar. ASC yang diperkenalkan pada tahun 2007 adalah bagi memberi pengiktirafan kepada sekolah yang mencapai taraf cemerlang (tahap 6) dan taraf gemilang (tahap 7) dengan skor 80 peratus mengikut indeks pengukuran Standard Kualiti Pelajaran Malaysia. Apakah keistimewaannya sekolah dan warganya dan bagaimanakah SMKDP yang belum begitu dikenali umum di Kelantan ini berupaya memperoleh kejayaan demi kejayaan sehingga menggapai kemuncaknya -ASC?

Melihat suasana sekolah, keceriaan warganya, persekitarannya yang menghijau dan menarik, boleh dijadikan asas penilaian awal untuk menyelami rantaian kejayaan yang dicapai dari semasa ke semasa. Saupi memberikan jawapan bahawa segala usaha bertolak atas premis bahawa anak-anak bangsa berpotensi untuk maju, setanding dengan sesiapa sahaja, biarpun di mana mereka berada jika diberi perhatian secukupnya.

‘‘Sejak awal penubuhan sekolah ini, saya meletakkan visi dan misi dengan jelas, lalu berusaha merealisasikan dari setahun ke setahun dengan peluang berkhidmat di sini agak panjang.‘‘Visi sekolah ialah SMKDP akan menjadi sekolah berkesan, terunggul dan sekolah contoh dalam negeri selepas 2008 dan ternyata ia berhasil.‘‘Apakah yang membanggakan seorang guru selain kejayaan buat pelajar dan sekolahnya di mana seluruh penat sudah terbayar,” ujarnya ketika ditemui.

Katanya, kekuatan utamanya adalah semangat, kerjasama dan muafakat seluruh warganya termasuk kakitangan sokongan, pentadbir, guru-guru dan murid-murid. Semangat kekitaan yang masih menebal dalam kehidupan di kampung membolehkan masyarakat bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru memberi sokongan padu.

Saufi menceritakan, SMKDP bermula sebagai sekolah harian biasa (dahulunya dikenali sebagai SMK Tangok) dan ia dinaik taraf kepada Sekolah Rancangan Khas (SRK) Pejabat Pelajaran Daerah Bachok mulai 2004 dan SRK Jabatan Pelajaran negeri 2008. Namun sehingga Mei lalu, ia masih lagi sekolah gred B.

‘‘Seiiring dengan perkembangan tersebut, syarat minimum kemasukan murid tingkatan satu ialah sekurang-kurang 4A 1B dalam UPSR dan 6A dalam PMR bagi masukan ke tingkatan empat,” ujar beliau.

Antara kejayaan SMKDP ialah menerima Anugerah Gemilang 2005 bagi kategori Lompatan Saujana PMR 2004, juara Pertandingan Memasak (puteri) Perkhemahan Perdana Kadet Remaja Malaysia. Juga Anugerah Kantin 5 Bintang 2007, Anugerah Peratusan Kelulusan Am 100 peratus bagi peperiksaan SPM dan STPM 2008, Anugerah Peratus Tertinggi PMR 2008, juara paint ball peringkat negeri dan tempat keempat peringkat kebangsaan di samping juara Pidato Lembaga Hasil Dalam Negeri peringkat negeri 2009.

‘‘Bidang hal ewal murid juga diperhebatkan dengan pelbagai program ke arah memupuk insan yang seimbang dari segi pencapaian akademik, jasmani dan rohani."
‘‘Program Guru Masuk Kampung telah dilaksanakan sejak sekolah ini dibuka bagi mewujudkan hubungan erat pihak sekolah dengan masyarakat dan menyelesaikan masalah disiplin pelajar.
‘‘Untuk mengeratkan hubungan guru dan pelajar pula, program Permata Hati diperkenalkan di samping Budaya Sambut Guru yang merupakan etos sekolah selain sekolah dalam taman,” ujarnya.

Pihak sekolah juga telah mempersiapkan para pelajar dengan kemahiran kepimpinan mengikut konsep di universiti dengan menubuhkan badan pembantu tadbir, merangkumi pengawas, pembimbing rakan sebaya, pengawas perpustakaan, ketua tingkatan dan pegawas koperasi.‘‘Badan pembantu tadbir ini menjadi penyelaras kepada semua kegiatan tahunan yang dianjurkan termasuk majlis makan malam dan perkhemahan tahunan agar mereka lebih berkeyakinan, berwibawa dalam mengendalikan urusan,” ujarnya.
Bersama dengan PIBG pula katanya, antara lain kelas malam diwujudkan setiap tahun mulai Febuari hingga September yang ternyata membantu pelajar memperkukuh pencapaian dalam bidang akademik.

Hasil usaha pelaksanaan program-program tersebut akhirnya mendatangkan kejayaan yang begitu besar ertinya kepada warga SMKDP.

Tuesday, September 8, 2009

REFLEKSI MORAL

Amalkan budaya nasihat

DALAM menempuh kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Pelbagai faktor boleh dikaitkan dalam melakukan kesilapan, mungkin kerana lupa, terlepas pandang, tidak disengajakan atau tidak mendapat maklumat yang cukup. Oleh itu, amalan nasihat menasihati dalam kehidupan merupakan salah satu cara untuk mewujudkan keharmonian hidup. Amalan hidup nasihat menasihati merupakan tuntutan dan beberapa perkara berkaitan perlu diberi perhatian. Dalam memberi dan menerima nasihat, kita perlulah bersifat positif, tidak terburu-buru, tidak buruk sangka, sentiasa menyelidik dan mengelakkan diri daripada sifat dendam.

Seorang ibu bapa tidak boleh tidak untuk sentiasa memberi nasihat kepada anak-anaknya. Ini merupakan satu kewajipan yang perlu dipikul dalam mendidik anak-anak. Namun apa yang tidak disukai oleh anak-anak adalah amalan sikap suka meleter yang tidak bertempat. Amalkan sikap menjadi pendengar yang teliti dan aktif. Hidupkan suasana dan naluri bertanya (dua hala) dan elakkan mencari kesalahan serta carilah perkara yang baik dan positif.

Dalam keadaan tertentu, bukan semua orang suka mendengar nasihat. Namun sifat yang baik apabila diberi nasihat, cubalah jadikan diri sebagai orang positif dalam menerima nasihat. Dalam nasihat, ada terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul. Apa yang penting dalam amalan nasihat menasihati ialah semangat dan amalan silaturahim hendaklah terus terjalin. Jangan jadikan nasihat sebagai satu kritikan yang boleh menyakiti hati dan perasaan yang boleh memutuskan hubungan baik yang telah terjalin.

Sunday, September 6, 2009

REFLEKSI MORAL (ULANG SIARAN)

Kenapa masyarakat sekarang sukar berterima kasih?

DALAM kita begitu asyik dan sibuk mengejar kedudukan dan kemewahan, masyarakat kita semakin hari semakin jauh dari beberapa nilai-nilai murni seperti rasa kasih sayang, hormat menghormati, menghargai jasa dan sumbangan orang lain serta ucapan terima kasih. Sama ada sedar atau tidak, sekarang kita lebih banyak menerima daripada memberi. Kita sering dibantu dalam pelbagai cara dan bentuk oleh orang lain yang berada di sekeliling kita. Walaupun kita sering dibantu namun amat jarang sekali kita dengar ungkapan terima kasih keluar daripada mulut orang yang menerima bantuan tersebut. Masyarakat kita semakin ego dan sombong walaupun untuk sekadar mengukir sekuntum senyuman ikhlas dari hati.

Satu senario terkini yang agak menarik untuk dikupas adalah peranan pihak kerajaan melalui Kementerian Kesihatan dan sumbangan para petugas pasukan perubatan ataupun kesihatan dalam hal membendung dan mencegah penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1). Saban hari kita dapat lihat baik di media cetak mahupun di media elektronik pelbagai hebahan dilaksanakan oleh pihak Kementerian Kesihatan dan agensi yang berkaitan tentang bahaya wabak ini serta langkah-langkah yang perlu dipatuhi dan diamalkan oleh orang ramai. Di samping itu para petugas pasukan perubatan juga bertungkus lumus tanpa mengenal erti penat dan jemu menghulurkan bantuan dan perkhidmatan mereka kepada pesakit dan masyarakat yang memerlukan bantuan tanpa mengira waktu dan masa.

Namun hakikatnya apabila wabak ini semakin menular dan angka kematian pula dilaporkan semakin meningkat maka ramai di kalangan kita begitu mudah menuding jari menyalahkan pihak Kementerian Kesihatan, hospital dan petugas perubatan. Pelbagai tohmahan dilemparkan antaranya Kementerian Kesihatan dikatakan tidak memainkan peranan secara efektif, hospital lambat bertindak dan cuai, para petugas perubatan pula dikatakan tidak menjalankan tugas dengan baik dan sebagainya. Kita lupa bahawa empat lagi jari terarah kepada siapa.

Pada masa yang sama, berapa ramai daripada kita yang sedar dan tahu akan keperitan dan kepayahan yang dilalui oleh mereka terutamanya para petugas perubatan dan pihak hospital. Para petugas perubatan misalnya adalah pasukan hadapan yang paling awal akan menemui para pesakit dan menghulurkan bantuan yang diperlukan walaupun dalam keadaan mendedahkan diri mereka kepada bahaya jangkitan wabak ini. Mereka menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi dalam usaha untuk membendung penularan wabak ini dengan menghulurkan bantuan kepada para pesakit di samping berusaha untuk mendidik masyarakat melalui pendidikan kesihatan. Berapa ramai daripada kita selain marah dan melemparkan pelbagai tohmahan kepada mereka, pernah berterima kasih di atas jasa, sumbangan dan pengorbanan mereka selama ini? Mungkin masih ramai yang tidak tahu dan sedar pengorbanan mereka di mana pihak hospital dan klinik kesihatan terpaksa melanjutkan waktu operasi, para petugas pula terpaksa bekerja sampai lewat malam, giliran syif bertugas bertambah, cuti dibekukan dan sebagainya. Mengambil kira situasi ini, apakah mereka tidak layak untuk menerima ucapan terima kasih di atas sumbangan mereka itu.

Sukar sangatkah untuk kita menghargai jasa dan sumbangan mereka selama ini. Adakah wajar untuk kita menyalahkan mereka semata-mata di kala masyarakat itu sendiri masih leka dan tidak mahu mengikut nasihat yang disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan untuk membendung penularan wabak ini. Kita sebenarnya banyak terhutang budi kepada orang lain daripada pelbagai aspek. Misalnya pernahkah kita berterima kasih kepada nenek moyang kita yang memberi peluang kepada kita untuk menikmati kemerdekaan yang ada pada hari ini? Ataupun pernahkah kita berterima kasih kepada pasukan keselamatan negara seperti tentera dan polis yang terus menjaga keselamatan dan keamanan negara tanpa mengenal erti penat dan lelah malah jauh sekali untuk kita berterima kasih kepada pihak kerajaan yang terus memelihara keamanan dan kesejahteraan rakyat? Budaya kacang melupakan kulit semakin menular dan mula meragut budaya bersyukur dan berterima kasih dari hati dan sanubari rakyat Malaysia. Kita semakin bongkak untuk bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang kita nikmati selama ini. Masyarakat kita juga semakin mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan hati dan perasaan orang lain. Semakin kita maju ke hadapan, semakin kita hilang dan lupa akan nilai dan identiti masyarakat timur yang penuh dengan adat kesopanan dan kesusilaan. Manusia sememangnya mudah lupa. Kita lupa kepada pertolongan orang lain, kita lupa kepada pengorbanan orang lain, kita lupa kepada jasa dan sumbangan orang lain dan yang pastinya kita semakin lupa untuk berterima kasih.

Saturday, September 5, 2009

REFLEKSI MORAL

Pasang surut hubungan negara serumpun unik

SEORANG diplomat Malaysia di Indonesia pernah mengeluh kenapa rakyat Malaysia tidak ambil tahu mengenai perkara yang harus dilaluinya di Jakarta. Hampir setiap hari dia terpaksa melalui penunjuk perasaan yang berkumpul dengan sepanduk dan jeritan memarahi Malaysia. Isunya pelbagai dan seakan-akan tiada apa yang kena mengenai Malaysia. Kalau tidak kisah kawasan yang sama-sama dituntut, seperti Sipadan, Ligitan dan Ambalat; ada protes konon rakyat Indonesia dianiaya, lagu mereka dicuri, dan kebelakangan ini pula dikatakan kita memberitahu dunia tarian mereka itu kita yang punya. Maka bendera kita dibakar, laman web kita dicemar, dan telur tembelang dibaling ke kedutaan kita. Negara dan pemimpin kita dimaki hamun.

Kita dikenali sebagai lanun budaya, muka tidak malu mengaku hak orang hak kita. Masih ada yang marahkan lagu kebangsaan kita, Negaraku. Kita tidak pernah menafikan melodinya diilhamkan oleh lagu Terang Bulan, dan jika sudah lebih 50 tahun diguna kenapa tiba-tiba banyak betul yang marah? Saya amat bersimpati kepada diplomat berkenaan. Memang sedikit orang Malaysia yang tahu marah orang Indonesia yang berkumpul di luar kedutaan, kerana media kita jarang melaporkan perkara seperti itu.

Maka saya cadangkan beliau mengadu nasib kepada kementeriannya sendiri atau pun Kementerian Dalam Negeri, kerana pengamal media kerap diingati melalui teguran atau surat pekeliling supaya jangan melaporkan apa-apa yang negatif mengenai Indonesia, ataupun masalah hubungan Malaysia-Indonesia, kerana kita tidak mahu menjejas perhubungan dua hala. Tetapi jelas tiada sebarang arahan wujud untuk media Indonesia, jika dilihat daripada laporan-laporan mereka. Saya tidak tahu sudah berapa lama arahan kepada media kita supaya jangan buat Indonesia marah, tetapi setahu saya, sejak lebih dua dekad bekerja di surat khabar, arahan ini sudah wujud. Agaknya, sejak lepas tamat Konfrontasi pada 1960-an.

Apakah rakyat Malaysia tidak perlu tahu bagaimana negara dan mereka dilihat oleh jiran kita. Adakah mereka tidak perlu tahu Jalur Gemilang kita sengaja dijadikan abu? Perlukah hanya kita saja yang cuba menjaga hati orang lain? Letih juga dibuatnya melihat tindakan sesetengah rakyat Indonesia menghentam negara kita, tidak habis-habis, rasanya. Sejak penubuhan Malaysia pada 1963 di mana hubungan diplomatik putus dan kedutaan kita dihujani batu, Presiden Sukarno dengan konfrontasinya, hingga ke sate dan batik, semuanya menjadi punca kemarahan. Bukankah kita serumpun, maka banyaklah kesamaan antara kita? Bahasa kita pun hampir sama. Seluruh Malaysia juga dimarahi bila ada pembantu rumah berbangsa Indonesia yang didera, atau pendatang tanpa izin dihukum, atau bila artis kesayangan mereka berkahwin rakyat negara ini. Terdengar-dengar kata Sukarno 'Ganyang Malaysia' menyemarakkan kemarahan rakyat Indonesia.

Kita semua tahu tindakan dan kemarahan ini bukan dasar Jakarta, atau yang disokong seluruh rakyat Indonesia. Tetapi tindakan segelintir mampu menabur pasir yang boleh mempengaruhi kelancaran hubungan. Di manakah mulanya kemarahan mereka kepada kita? Adakah sebab Malaysia ditubuhkan walaupun ditentang Indonesia? Adakah sebab kita lawan utama badminton Piala Thomas puluhan tahun dulu, walaupun kini kedua-dua negara tidak lagi sehandal dulu? Adakah kerana kita yang sepatutnya menjadi adik kecil tiba-tiba menjadi lebih maju dan agaknya nampak seperti mengepak dan mendabik dada dengan kejayaan kita? Adakah kita yang sepatutnya merendah diri dan berjalan selangkah di belakang, tiba-tiba ingin menjadi penggerak utama suara dunia ketiga? Atau adakah kerana Indonesia terkilan kerana lebih sejuta rakyatnya merantau mencari kerja di Malaysia, membuat kerja yang tidak mahu dibuat oleh orang tempatan? Di tapak bangunan, ladang, kilang, restoran dan rumah-rumah, orang Indonesia tahu tiada banyak yang boleh berfungsi baik tanpa rakan senegaranya menjadi penggerak. Adakah ini punca kemarahan mereka, yang mereka menganggap negara kita dibina dengan titik peluh rakan senegaranya, namun kita tidak menghargai pengorbanan ini?

Ataupun mereka marah kepada diri sendiri atau pemerintah mereka kerana keadaan yang memerlukan jutaan rakyat negara mereka merantau, termasuk ke Malaysia, secara haram atau halal, untuk mencari rezeki dan menyara keluarga di kampung. Mereka harus faham bahawa datangnya rakyat Indonesia ke Malaysia ialah melalui perjanjian ekonomi berasaskan kelaziman permintaan dan penawaran. Mungkin gaji kecil tetapi ia dipersetujui, seperti juga keadaan rakyat Malaysia yang mencari makan di negara lain. Tiada paksaan dan tiada apa yang Malaysia boleh lakukan jika rakyat Indonesia hendak ke negara lain. Apakah yang boleh kita buat, atau adakah perkara yang boleh kita lakukan kalau orang hendak marah dengan kita? Rasanya tidak banyak yang boleh kita lakukan, kecuali cuba memahami punca kemarahan mereka dan terus sentiasa cuba menerangkan kedudukan sebenar kita. Namun kita tidak bolehlah berdiam jika simbol kedaulatan kita dicemar, atau kita sentiasa dicemuh dan dikecam.

Friday, September 4, 2009

REFLEKSI MORAL

Kenapa masyarakat sekarang sukar berterima kasih?

DALAM kita begitu asyik dan sibuk mengejar kedudukan dan kemewahan, masyarakat kita semakin hari semakin jauh dari beberapa nilai-nilai murni seperti rasa kasih sayang, hormat menghormati, menghargai jasa dan sumbangan orang lain serta ucapan terima kasih. Sama ada sedar atau tidak, sekarang kita lebih banyak menerima daripada memberi. Kita sering dibantu dalam pelbagai cara dan bentuk oleh orang lain yang berada di sekeliling kita.

Walaupun kita sering dibantu namun amat jarang sekali kita dengar ungkapan terima kasih keluar daripada mulut orang yang menerima bantuan tersebut. Masyarakat kita semakin ego dan sombong walaupun untuk sekadar mengukir sekuntum senyuman ikhlas dari hati.

Satu senario terkini yang agak menarik untuk dikupas adalah peranan pihak kerajaan melalui Kementerian Kesihatan dan sumbangan para petugas pasukan perubatan ataupun kesihatan dalam hal membendung dan mencegah penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).Saban hari kita dapat lihat baik di media cetak mahupun di media elektronik pelbagai hebahan dilaksanakan oleh pihak Kementerian Kesihatan dan agensi yang berkaitan tentang bahaya wabak ini serta langkah-langkah yang perlu dipatuhi dan diamalkan oleh orang ramai. Di samping itu para petugas pasukan perubatan juga bertungkus lumus tanpa mengenal erti penat dan jemu menghulurkan bantuan dan perkhidmatan mereka kepada pesakit dan masyarakat yang memerlukan bantuan tanpa mengira waktu dan masa.

Namun hakikatnya apabila wabak ini semakin menular dan angka kematian pula dilaporkan semakin meningkat maka ramai di kalangan kita begitu mudah menuding jari menyalahkan pihak Kementerian Kesihatan, hospital dan petugas perubatan. Pelbagai tohmahan dilemparkan antaranya Kementerian Kesihatan dikatakan tidak memainkan peranan secara efektif, hospital lambat bertindak dan cuai, para petugas perubatan pula dikatakan tidak menjalankan tugas dengan baik dan sebagainya. Kita lupa bahawa empat lagi jari terarah kepada siapa.

Pada masa yang sama, berapa ramai daripada kita yang sedar dan tahu akan keperitan dan kepayahan yang dilalui oleh mereka terutamanya para petugas perubatan dan pihak hospital. Para petugas perubatan misalnya adalah pasukan hadapan yang paling awal akan menemui para pesakit dan menghulurkan bantuan yang diperlukan walaupun dalam keadaan mendedahkan diri mereka kepada bahaya jangkitan wabak ini.

Mereka menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi dalam usaha untuk membendung penularan wabak ini dengan menghulurkan bantuan kepada para pesakit di samping berusaha untuk mendidik masyarakat melalui pendidikan kesihatan. Berapa ramai daripada kita selain marah dan melemparkan pelbagai tohmahan kepada mereka, pernah berterima kasih di atas jasa, sumbangan dan pengorbanan mereka selama ini?

Mungkin masih ramai yang tidak tahu dan sedar pengorbanan mereka di mana pihak hospital dan klinik kesihatan terpaksa melanjutkan waktu operasi, para petugas pula terpaksa bekerja sampai lewat malam, giliran syif bertugas bertambah, cuti dibekukan dan sebagainya. Mengambil kira situasi ini, apakah mereka tidak layak untuk menerima ucapan terima kasih di atas sumbangan mereka itu. Sukar sangatkah untuk kita menghargai jasa dan sumbangan mereka selama ini.

Adakah wajar untuk kita menyalahkan mereka semata-mata di kala masyarakat itu sendiri masih leka dan tidak mahu mengikut nasihat yang disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan untuk membendung penularan wabak ini. Kita sebenarnya banyak terhutang budi kepada orang lain daripada pelbagai aspek. Misalnya pernahkah kita berterima kasih kepada nenek moyang kita yang memberi peluang kepada kita untuk menikmati kemerdekaan yang ada pada hari ini?

Ataupun pernahkah kita berterima kasih kepada pasukan keselamatan negara seperti tentera dan polis yang terus menjaga keselamatan dan keamanan negara tanpa mengenal erti penat dan lelah malah jauh sekali untuk kita berterima kasih kepada pihak kerajaan yang terus memelihara keamanan dan kesejahteraan rakyat?

Budaya kacang melupakan kulit semakin menular dan mula meragut budaya bersyukur dan berterima kasih dari hati dan sanubari rakyat Malaysia. Kita semakin bongkak untuk bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang kita nikmati selama ini. Masyarakat kita juga semakin mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan hati dan perasaan orang lain.

Semakin kita maju ke hadapan, semakin kita hilang dan lupa akan nilai dan identiti masyarakat timur yang penuh dengan adat kesopanan dan kesusilaan. Manusia sememangnya mudah lupa. Kita lupa kepada pertolongan orang lain, kita lupa kepada pengorbanan orang lain, kita lupa kepada jasa dan sumbangan orang lain dan yang pastinya kita semakin lupa untuk berterima kasih.

REFLEKSI MORAL

Menggilap erti sebenar kemerdekaan

TEMPOH 52 tahun merdeka merupakan jangka masa yang memadai untuk mematangkan setiap warga di negara merdeka ini. Seharusnya tempoh ini menjadi sesuatu yang bermakna untuk rakyat Malaysia menggilap semangat patriotik (cintakan negara). Daripada segi makna, patriotisme membawa erti cinta dan rasa tanggungjawab terhadap negara dan bangsa.

Seorang cendekiawan , Muhammad Iqbal turut memberi pandangan yang positif terhadap patriotisme. Beliau berkata: "Patriotisme merupakan satu kebajikan yang benar-benar selaras dengan fitrah manusia dan mempunyai tempat di dalam kehidupan moral manusia. Namun yang merupakan kepentingan sebenarnya adalah keyakinan manusia, kebudayaannya dan tradisinya. Inilah hal-hal yang merupakan erti yang harus dibawa hidup dan dibawa mati, bukan sejengkal tanah di mana jiwa manusia dihubungkan untuk sementara waktu."

Sehubungan itu juga, pada masa yang sama kita dikelirukan dengan apa yang dikenali sebagai nasionalisme. Muhammad Iqbal dan seorang lagi tokoh, Ismail Faruqi menolak nasionalisme. Bagi Ismail, nasionalisme merupakan ethnocentrism yang kemudiannya melahirkan rasisme yang melampau.

Sementara Muhammad Iqbal pula menolak nasionalisme seperti amalan di Barat iaitu yang berasaskan kebendaan dan menolak kehidupan beragama serta sangat berbahaya kepada kehidupan manusia.

Maka dengan itu, pada kesempatan merayakan sambutan kemerdekaan Malaysia kali yang ke-52 ini, penting bagi kita semua untuk kembali menggarap kefahaman terhadap kemerdekaan ini dengan lebih mendalam dan mantap. Perjuangan kemerdekaan memerlukan jiwa kental , iaitu jiwa yang memiliki pandangan dan memahami dimensi perjuangan dan bebanan yang harus dipikul. Perjuangan untuk kemerdekaan kemanusiaan seluruhnya bukan sekadar perjuangan untuk mendapat sebidang tanah atau kepuasan membalas dendam kepada penjajah.

Wednesday, September 2, 2009

Kemajuan Negara Hasil Usaha Pemimpin Terbilang

31 Ogos 1957, suatu tarikh di mana menitisnya air mata, terungkapnya senyum kepuasan dan melahirkan rasa kepuasan kepada para penduduk Malaya ketika itu. Setelah sekian lama dijajah, tarikh inilah Malaya dibebaskan dari segalanya. Setelah sekian lama bermandi darah, tarikh inilah menyucikan mereka daripada warna merah darah. Setelah sekian lama penuh hiba dan takut, tarikh inilah memberi kepuasan kegembiraan kepada mereka semua.

Tarikh kemerdekaan Malaya merupakan suatu tarikh wajib yang harus diingati oleh setiap yang bergelar warganegara Malaysia yang berbilang bangsa dan keturunan. Tarikh ini merupakan suatu tarikh nostalgia dan kenangan sepanjang zaman yang seharusnya warganegara perlu sentiasa tidak alpa dan sentiasa menghayati setiap perjuangan yang telah dibuat oleh perjuang-perjuang negara untuk memastikan pada tarikh 31 Ogos 1957 itu, laungan MERDEKA!! MERDEKA!! MERDEKA!! berkumandang di ruang maya Malaya ketika itu.

Bapa Kemerdekaan negara, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, seorang kaum kerabat Kesultanan Negeri Kedah telah dengan lantang dan bersemangat melaungkan kalimah MERDEKA di Stadium Merdeka pada tarikh tersebut. Ini secara tidak langsung telah memperlihatkan bahawa kemerdekaan negara kita penuh dengan kedaulatan dan kemuliaan, ditambah dengan jasa dan pengorbanan para perjuang kemerdekaan yang mengorbankan apa sahaja demi untuk memerdekakan negara. Negara Malaysia kian hari kian bertambah maju dan berjaya.

Setelah Almarhum Tunku tidak lagi bergelar Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku telah tidak teragak-agak untuk memberi jawatan tersebut kepada Tun Abdul Razak Hussein bagi bergelar Perdana Menteri Malaysia Kedua. Tun Razak telah menerima jawatan berat itu dengan penuh semangat kebangsaan kerana beliau tahu bukan mudah untuk negara ini mencapai 31 Ogos 1957 tersebut. Tun Razak telah memacu negara dengan menekankan atau mengutamakan rakyat jelata agar kemerdekaan negara akan terus terbela.

Setelah kematian mengejut Tun Razak di luar negara, kemerdekaan negara telah dibela dan dipelihara oleh Tun Hussein Onn selaku Perdana Menteri Malaysia Ketiga. Tun Hussein tahu bahawa hanya dengan perpaduan rakyatlah kemerdekaan sesebuah negara itu akan dapat kukuh dan terpelihara sampai bila-bila. Oleh yang demikian, Tun Hussein telah memacu Malaysia dengan menekankan konsep perpaduan antara kaum di Malaysia agar kemerdekaan negara yang dicapai dengan penuh kemegahan pada 31 Ogos 1957 tidak akan diperbodohkan oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.

Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menjadi Perdana Menteri Malaysia Keempat menggantikan Tun Hussein. Tun Dr. Mahathir merupakan seorang negarawan Malaysia yang cukup dikagumi kawan dan lawan dari dalam dan luar negara kerana pemikiran dan strategi beliau dalam memacu negara tercinta. Tun Dr. Mahathir sedar bahawa kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 bukan suatu perkara yang mudah untuk dikecapi, oleh itu Tun Dr. Mahathir telah menggagaskan Wawasan 2020 sebagai hala tuju Malaysia demi memelihara kemerdekaan dan kemakmuran negara. Selama 23 tahun bergelar Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir telah 'membina' Malaysia mengikut acuan sendiri dan telah 'membina' benteng-benteng kemerdekaan negara dari diceroboh oleh bangsa asing yang sudah semestinya kurang senang dengan kemerdekaan dan perpaduan rakyat Malaysia sehingga kini.

Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan Perdana Menteri Malaysia Kelima yang banyak menumpukan kepada keterbukaan dan integriti di Malaysia. Tun Abdullah sedar bahawa dengan adanya keterbukaan yang baik di negara ini, sesebuah kemerdekaan negara itu boleh dikuatkan melalui rakyatnya yang diberi beberapa 'kuasa' dalam sistem demokrasi dan keterbukaan.

Tuesday, September 1, 2009

Sudahkah kita cukup patriotik dan nasionalis?

USIA 52 tahun bagi seorang kakitangan awam, adalah petunjuk bahawa usia persaraan kian hampir tiba. Namun bagi sebuah negara bangsa seperti Malaysia, 52 tahun usia merdeka, adalah petunjuk bahawa masih banyak usaha perlu dilestarikan. Negara sebagai sebuah entiti berdaulat tidak boleh bersara daripada melaksanakan tiga fungsi asasinya. Pertama melindungi keselamatan wilayah dan rakyatnya. Kedua, menjamin dan merealisasikan hak sivil warganya, dan ketiga memberi identiti serta membina semangat kekitaan kepada penduduknya.

Rakyat tanpa negara, ibarat warga Palestin, yang diusir ke sana ke mari. Negara tanpa rakyat, adalah satu ruang kosong yang tidak memberi apa-apa makna. Justeru, sebagai rakyat Malaysia kita cukup beruntung. Bertuah dalam erti kata, sudah banyak modenisasi, urbanisasi, dan kejayaan demi kejayaan yang kita kecapi. Kita juga bertuah kerana kemerdekaan kali ke-52 tahun ini disambut dalam bulan Ramadan, bulan penuh barakhah yang dijanjikan Allah pelbagai ganjaran pahala bagi segala amal kebaikan, yang kita jayakan.
Tempoh 446 tahun usia negara dijajah, oleh pelbagai kuasa asing, hak rakyat dirampas, masyarakatnya dipecah perintah, landskap sosio-budaya diubah, ekonomi diperah, kita menjadi hamba di bumi sendiri. Ini bahana akibat penjajahan. Ini kesan bila perpaduan tidak dipedulikan sebaliknya persengketaan jadi keutamaan. Ingatlah kembali sebab-musabab Perjanjian Pangkor pada Januari 1874 ditandatangani.
Ingatlah kembali bagaimana dengan tipu daya British dan atas nama kemanusiaan dan usaha mengamankan negeri, British mampu mentadbir negeri ini melalui peranan Residennya. Hasil mahsul bumi diperah, kekayaan negara diratah, tidak cukup dengan itu, bagi memenuhi tembolok dan perut penjajah, dan kononnya atas dasar rakyat pribumi malas bekerja, maka ramai imigran dibawa masuk pada penghujung kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 untuk bekerja di ladang getah dan lombong bijih timah. Bukan itu sahaja, sejarah negara ditulis semula, nama bandar, jalan, empayar Melayu diubah secara semborono, lalu dijustifikasikan kononnya pemodenan yang berlaku adalah hasil buah tangan penjajah dan kaum pendatang.
Walhal, kaum pribumi tidak diberi peluang yang wajar, jika dibina sekolah sekalipun, sekadar bertujuan ibarat melepaskan batuk di tangga. Tidak lebih semata-mata mahu menjadikan anak-anak Melayu belajar menjadi petani, peladang atau nelayan yang lebih baik sedikit daripada keturunan mereka.
Semenjak merdeka, begitu banyak perubahan. Sebut apa sahaja, baik ekonomi, pembangunan politik, kesejahteraan sosial, dipacu oleh kerajaan yang dipilih rakyat. Pelbagai dasar dirangka, program dilaksana, semuanya bermatlamat untuk memenuhi keperluan rakyat. Mengutamakan rakyat, supaya igauan penindasan secara halus, langsung mahupun tidak langsung yang dialami oleh generasi terdahulu tidak berulang menimpa generasi kini.
Lantaran itu, setiap warga Malaysia harus bertanya diri sendiri. Sudah cukup patriotikkah kita? Adakah kita faham akan susah payah, pengorbanan pimpinan, pejuang terdahulu memerdekakan negara? Apakah pengertian dan makna Merdeka di sanubari kita? Apakah cuti Merdeka diingati sekadar satu cuti umum, melihat perarakan, berlibur ataupun tidak lebih daripada hari-hari biasa yang kita lalui.
Sama seperti Ramadan, yang ibadahnya kita jalani, adakah puasa hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, sedangkan mata, telinga, hati kita, nafsu kita, niat kita tidak berpuasa dalam erti kata sebenarnya.
Siang kita berpuasa, namun malam harinya kita asyik bercerita perihal keburukan orang. Siang kita berpuasa, namun dalam masa yang sama timbul niat tidak baik kepada saudara seagama kita.
Siang kita berpuasa, namun malamnya kita tidak mengimarahkan masjid atau surau, memperbanyakkan tadarus al-Quran, berqiamulail, beriktikaf dan berusaha menghubung silaturrahim, sebaliknya sibuk berpesta membeli belah, akibat gamitan promosi Hari Raya yang entah apa-apa.
Siang kita berpuasa, namun kita kikir untuk bersedekah, sebaliknya membazir ketika berbuka. Kita remehkan anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin. Bantuan diberi kita alunkan dengan liputan media secara besar-besaran, walhal konsep sedekah dalam erti kata yang sebenarnya, 'tangan kanan yang memberi, tangan kiri pun tidak akan sedar perihal pemberian tersebut'.
Demikian juga darihal Merdeka, jika pengertian Ramadan hakiki mahu diserapkan dalam usaha menghayati Merdeka di bulan Puasa.

Patriotik dan nasionaliskah kita, jika kita asyik menyatakan keburukan kerajaan yang selama ini menjaga keselamatan dan kebajikan kita? Patriotik dan nasionaliskah kita jika kerajaan yang selama ini membantu menjayakan agenda pendidikan anak-anak kita dituduh dengan pelbagai tohmahan dan kata nista yang tiada kesudahannya? Patriotik dan nasionaliskah kita, jika hanya kerana berebut kuasa politik, saudara seagama kita kafirkan, rakyat kita peralatkan, agama jadi mainan dan keamanan jadi taruhan.Patriotik dan nasionaliskah kita, jika amanah yang diberi pada kita dijadikan laluan untuk berlaku rasuah dan salah guna kuasa? Patriotik dan nasionaliskah kita jika kekayaan yang kita perolehi berkat dinamisme dasar kerajaan, namun akhirnya dengan kekayaan yang kita ada digunakan pula untuk meruntuhkan tamadun yang sedia ada?Patriotik dan nasionaliskah kita jika kita asyik merungut itu dan ini, mengharapkan kerajaan memberi itu dan ini, sedangkan kita sendiri sebagai warganegara tidak pernah ataupun masih kurang dalam mewakafkan diri kita dalam usaha berkorban untuk negara.
Jika kesemua persoalan ini mampu dijawab, difahami, dimuhasabahkan, dipraktik secara jujur dan ikhlas, barulah rahmat Merdeka di bulan Ramadan yang mulia ini mampu menyerlahkan barakahnya. Biarlah seluruh rakyat Malaysia dapat hidup sebagai satu bangsa, satu suara, satu hasrat, Satu Malaysia dengan mengutamakan perpaduan, kemajuan, keharmonian dan kemajuan berterusan.
Keharmonian kaum formula berkesan perpaduan, keamanan

MESKIPUN sudah 52 tahun kita merdeka, cabaran paling besar yang dilihat sebagai penghalang kesejahteraan dan keharmonian kaum ialah perpaduan. Masih ada sekelompok masyarakat berpendirian melampau sehingga sukar bertolak-ansur atas nama perpaduan kaum dan bangsa. Rasa sangsi terhadap sesama sendiri juga masih wujud. Keadaan menjadi lebih parah berikutan perbezaan fahaman politik, terutama sejak selepas pilihan raya umum pada Mac 2008, diikuti pelbagai kejadian yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama. Semua perbezaan ini perlu kita ketepikan dan dengan semangat 1Malaysia, seluruh rakyat tanpa mengira kaum seharusnya bersama-sama berjuang sebagai rakyat Malaysia. Hakikatnya, perpaduan boleh dipupuk melebihi sempadan politik demi kepentingan negara. Jika ini gagal kita pupuk dan sepakat, maka mudahnya 'jambatan' kerjasama itu bergoyang dan rapuhlah kejituan perpaduan yang kita pupuk selama ini.

Perkara ini turut diakui Datuk Seri Najib Razak apabila menyatakan bahawa cabaran terbesar rakyat Malaysia kini ialah untuk membaik pulih jambatan sedia ada, di samping meruntuhkan tembok pemisah yang wujud antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Menurut Perdana Menteri, masa yang berlalu menyaksikan jambatan yang dibina pejuang terdahulu dengan segala susah payah sudah mula digoyahkan oleh golongan tertentu yang cuba menangguk di air keruh. Golongan itu mengeksploitasikan garis-garis gelinciran yang wujud dalam masyarakat berbilang kaum, sama ada ia bersifat politik, agama mahupun sosial demi memuaskan agenda sempit mereka.

Namun, apa yang penting rakyat perlu terus mengurus kejayaan dan membina di atas apa yang ada dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang terpupuk selama ini. Kita harus ingat lipatan sejarah yang sarat dengan catatan kejayaan, sehingga Malaysia kini muncul antara negara membangun paling maju, tidak akan terurus jika kita gagal mengendalikannya dengan baik berikutan halangan yang menghambat kerjasama. Kita harus ingat, apa yang ada tidak semestinya akan bertambah baik, malah akan musnah jika rakyat tidak berwaspada. Seperti kata Najib, kejayaan dan kemakmuran negara sejak 52 tahun lalu, tumbuh dan berkembang hasil sumbangan serta dokongan semua kaum dan lapisan masyarakat sama ada di desa mahupun kota, yang berada mahupun tidak serta tua atau muda. Oleh itu, kita harus diingatkan sekali lagi, terutama generasi muda bahawa nikmat yang sedang dikecapi hari ini tidak terhasil begitu saja tanpa perancangan rapi, pelaksanaan cekap dan pengorbanan yang tinggi.

Formula rahsia yang mendasari kejayaan ini adalah faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan berteraskan kepada falsafah meraikan kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan. Untuk menentukan hari esok lebih baik dari hari ini, pentadbiran Najib memperkenalkan dasar lebih ampuh dan mampu menjulang Malaysia menjadi sebuah negara maju, antaranya konsep 1Malaysia sebagai dasar yang mempaksikan matlamat kerajaan. Apa pun, kita tidak mampu bernostalgia dengan kejayaan lampau tanpa berusaha mencipta kejayaan baru dan kejayaan baru itu boleh digapai melalui perpaduan jitu, tanpa ada sebarang unsur yang cuba mensabotajnya.