Keharmonian kaum formula berkesan perpaduan, keamanan
MESKIPUN sudah 52 tahun kita merdeka, cabaran paling besar yang dilihat sebagai penghalang kesejahteraan dan keharmonian kaum ialah perpaduan. Masih ada sekelompok masyarakat berpendirian melampau sehingga sukar bertolak-ansur atas nama perpaduan kaum dan bangsa. Rasa sangsi terhadap sesama sendiri juga masih wujud. Keadaan menjadi lebih parah berikutan perbezaan fahaman politik, terutama sejak selepas pilihan raya umum pada Mac 2008, diikuti pelbagai kejadian yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama. Semua perbezaan ini perlu kita ketepikan dan dengan semangat 1Malaysia, seluruh rakyat tanpa mengira kaum seharusnya bersama-sama berjuang sebagai rakyat Malaysia. Hakikatnya, perpaduan boleh dipupuk melebihi sempadan politik demi kepentingan negara. Jika ini gagal kita pupuk dan sepakat, maka mudahnya 'jambatan' kerjasama itu bergoyang dan rapuhlah kejituan perpaduan yang kita pupuk selama ini.
Perkara ini turut diakui Datuk Seri Najib Razak apabila menyatakan bahawa cabaran terbesar rakyat Malaysia kini ialah untuk membaik pulih jambatan sedia ada, di samping meruntuhkan tembok pemisah yang wujud antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Menurut Perdana Menteri, masa yang berlalu menyaksikan jambatan yang dibina pejuang terdahulu dengan segala susah payah sudah mula digoyahkan oleh golongan tertentu yang cuba menangguk di air keruh. Golongan itu mengeksploitasikan garis-garis gelinciran yang wujud dalam masyarakat berbilang kaum, sama ada ia bersifat politik, agama mahupun sosial demi memuaskan agenda sempit mereka.
Namun, apa yang penting rakyat perlu terus mengurus kejayaan dan membina di atas apa yang ada dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang terpupuk selama ini. Kita harus ingat lipatan sejarah yang sarat dengan catatan kejayaan, sehingga Malaysia kini muncul antara negara membangun paling maju, tidak akan terurus jika kita gagal mengendalikannya dengan baik berikutan halangan yang menghambat kerjasama. Kita harus ingat, apa yang ada tidak semestinya akan bertambah baik, malah akan musnah jika rakyat tidak berwaspada. Seperti kata Najib, kejayaan dan kemakmuran negara sejak 52 tahun lalu, tumbuh dan berkembang hasil sumbangan serta dokongan semua kaum dan lapisan masyarakat sama ada di desa mahupun kota, yang berada mahupun tidak serta tua atau muda. Oleh itu, kita harus diingatkan sekali lagi, terutama generasi muda bahawa nikmat yang sedang dikecapi hari ini tidak terhasil begitu saja tanpa perancangan rapi, pelaksanaan cekap dan pengorbanan yang tinggi.
Formula rahsia yang mendasari kejayaan ini adalah faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan berteraskan kepada falsafah meraikan kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan. Untuk menentukan hari esok lebih baik dari hari ini, pentadbiran Najib memperkenalkan dasar lebih ampuh dan mampu menjulang Malaysia menjadi sebuah negara maju, antaranya konsep 1Malaysia sebagai dasar yang mempaksikan matlamat kerajaan. Apa pun, kita tidak mampu bernostalgia dengan kejayaan lampau tanpa berusaha mencipta kejayaan baru dan kejayaan baru itu boleh digapai melalui perpaduan jitu, tanpa ada sebarang unsur yang cuba mensabotajnya.