flashvortex

Tuesday, September 1, 2009

TAZKIRAH RAMADHAN SIRI 7

Ramadan sinonim bulan penyucian rohani, fizikal (SAMBUNGAN)

Etika penjagaan kesihatan dan kebersihan diri dalam Islam menuntut amalan seperti bersuci dengan air yang bersih lagi menyucikan, memakan hanya makanan yang halal, tidak membazir dan tidak berlebih-lebihan dalam setiap perkara. Di bulan Ramadan ini, berlebihan ketika berbuka mahupun bersahur amatlah dilarang kerana ia mengundang pembaziran, bahkan jika berlaku pembaziran pula ia amatlah dikeji, manakala makanan yang tidak halal dan tidak suci akan membatalkan terus pahala puasa yang diperoleh dan menjadikannya sia-sia saja. Amalan berdoa dan membasuh tangan sebelum dan selepas makan, menutup hidung dan mulut ketika bersin atau batuk dan ketika menguap serta sentiasa mencuci hidung dan muka sering dituntut demi memelihara kesucian dan kebersihan diri.

Begitu juga dalam ajaran Islam, apabila seseorang itu dihinggapi penyakit, amalan kebersihan tidak pernah diabaikan. Ini kerana dalam etika penjagaan kebersihan ketika wabak melanda dalam Islam adalah dengan mengasingkan diri daripada kelompok masyarakat agar ia tidak dijangkiti atau menjangkiti orang lain yang berhampiran kerana ia mampu mencemari kesucian dan kebersihan persekitaran lantas mengundang bencana.

Secara asasnya, sesuatu penyakit itu tidak akan berjangkit jika tiada penghidapnya atau mereka yang berpenyakit itu tidak menjangkitkan kepada orang lain dengan apa cara sekalipun. Huraian ini adalah bagi menggambarkan fadilat Ramadan dalam menghalang penularan H1N1. Ia juga sebenarnya adalah perkara asas yang perlu diselami dan diamalkan setiap umat Islam. Oleh itu, di sepanjang Ramadan ini, majlis tazkirah yang diadakan selepas solat tarawih perlu turut membincangkan situasi semasa yang sedang melanda ini. Institusi agama pula, khususnya yang berkaitan dengan kemaslahatan hal ehwal orang Islam seperti Majlis Fatwa Kebangsaan perlu turut serta memberikan panduan bagi kesejahteraan umat Islam dalam menjalani aktiviti Ramadan atau Haji ketika wabak seperti ini. Memandangkan jumlah kematian akibat H1N1 ini ada peningkatan saban hari, semua lapisan masyarakat wajar bekerjasama antara satu sama lain bagi mengawal keadaan.